Peperiksaan awam sekolah perlu penilaian semula - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Peperiksaan awam sekolah perlu penilaian semula

Pendapat
DEWASA ini, pelbagai kritikan ditujukan kepada sistem peperiksaan di negara ini tentang keupayaan sistem peperiksaan dalam menyediakan modal insan khususnya untuk menghadapi cabaran sebuah negara maju.

Matlamat dan wawasan pendidikan negara dikatakan kurang berjaya kerana terlampau menekan matlamat pencapaian peratusan akademik dalam siri-siri peperiksaan awam sekolah seperti UPSR, PMR, SPM, STPM, STAM dan sebagainya.

Kebiasaannya, pencapaian peratusan akademik inilah yang menjadi kriteria utama kepada para pendidik, institusi pelajaran dan ibu bapa.

Perubahan dalam sistem peperiksaan sangat perlu untuk membebaskan murid atau pelajar daripada belenggu budaya belajar yang sifatnya menghafal, melatih dan menguji semula apa yang dipelajari secara berulang kali.

Cadangan untuk menghapuskan sistem peperiksaan awam di sekolah seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM oleh bekas Menteri Pelajaran yang kini menjadi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak pada dekad yang lalu ada rasionalnya. Memendekkan tahun berada di sekolah daripada 17 kepada 14 atau 15 tahun dan hanya melalui satu peperiksaan kelayakan memasuki universiti sebagaimana diamalkan oleh negara maju seperti di Britain, Amerika Syarikat dan Australia adalah dianggap relevan.

Pada usia 21 atau 22 tahun setiap pelajar sudah boleh memasuki pasaran pekerjaan berbanding pada masa kini umur 24 tahun. Satu-satunya peperiksaan iaitu peperiksaan pra universiti yang akan diamalkan itu menjadikan pendidikan di negara ini diiktiraf.

Dalam tempoh 14 atau 15 tahun berada di sekolah secara berterusan tanpa dihalangi oleh peperiksaan awam, banyak bidang ilmu yang boleh dipelajari, diketahui dan diamalkan.

Jika difikirkan secara mendalam, sistem peperiksaan kini didapati memberi tekanan psikologi dan pemikiran bukan sahaja kepada murid atau pelajar tetapi juga kepada ibu bapa dan guru. Ibu bapa dan pelajar akan menghadapi tekanan untuk cemerlang dalam peperiksaan.

Kegagalan untuk cemerlang akan memberikan gambaran seolah-olah pintu kehidupan mereka tertutup, bergaji rendah, miskin, hina atau terbuang dalam keluarga atau masyarakat. Paling menyedihkan ialah, anak-anak yang gagal akademik ini dilabelkan sebagai bodoh, lemah, malas dan tidak berpotensi untuk berjaya.

Kejayaan dalam peperiksaan pula dianggap memberi cahaya dan tiket untuk mendapat kerja yang baik, bergaji besar dan dihormati.

Pelajar mati digilis kereta api, pelajar ponteng dan merokok di rumah kosong, pelajar bermain video dan sebagainya adalah rentetan kesilapan peperiksaan yang dilaksanakan.

Jika peperiksaan awam sekolah dihapuskan, pelajar boleh menumpukan pengajaran dan pembelajaran sehingga akhir tahun dan hanya bersedia dengan peperiksaan dalaman yang boleh dilaksanakan pada minggu terakhir persekolahan di penghujung tahun untuk tujuan pembahagian kelas.

Sistem peperiksaan pada era hari ini seharusnya ke arah pembinaan masyarakat yang sihat, berdaya maju dan mampu survival dalam kehidupan dan tidak sahaja memiliki intelek yang tinggi.

Memberi peluang yang seimbang kepada setiap pelajar atau individu untuk cemerlang mengikut pengetahuan, kebolehan, kemahiran dan kepakaran adalah langkah positif. Contohnya, memberikan pengiktirafan selain daripada sijil akademik seperti sijil-sijil kokurikulum dan sijil kemahiran yang dinilai secara sistematik seperti sijil akademik.

Langkah Kementerian Pelajaran yang mewajibkan aktiviti kokurikulum untuk dinilai sebagai sebahagian keperluan kelayakan masuk ke institusi pengajian tinggi adalah langkah betul menghasilkan modal insan yang seimbang dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan di negara ini.

Justeru, sistem peperiksaan yang dilaksanakan di negara ini sangat perlu mengalami perubahan dan inovasi agar pencapaian matlamat pendidikan dan matlamat negara menjadi selari.

Walau apa pun perubahan yang akan dilakukan, paling penting ialah pencapaian pengembangan potensi individu secara menyeluruh. Hasilnya, kecemerlangan pendidikan bertaraf dunia itu akan tercapai.

– MOHD. SUBHI MARSAN,

Sabak Bernam, Selangor.

0 Komentar untuk "Peperiksaan awam sekolah perlu penilaian semula"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI