Mekanisme kerjasama di Selat Melaka - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Mekanisme kerjasama di Selat Melaka

Oleh NAZERY KHALID

BARU-baru ini, Malaysia, Indonesia dan Singapura telah mengorak langkah baru dalam memupuk kerjasama dalam bidang maritim serantau dengan membentuk satu mekanisme kerjasama untuk meningkatkan keselamatan dan kawalan alam sekitar di Selat Melaka.

Ia merupakan satu langkah besar dalam menyediakan rangka kerjasama di kalangan negara pesisir Selat Melaka dan di antara mereka dengan pengguna selat ini. Usaha ini berjaya setelah sekian lama rundingan demi rundingan diadakan bagi mencapai kata sepakat dalam menyediakan mekanisme terbaik bagi menjalin kerjasama antarabangsa dalam menguruskan laluan maritim yang penting ini.

Mekanisme kerjasama tersebut dipersetujui pada mesyuarat negara-negara pesisir Selat Melaka anjuran Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) yang diadakan di Singapura pada September 2007.

Ia mengandungi tiga komponen iaitu Forum Kerjasama, Jawatankuasa Koordinasi Projek dan Dana Bantuan Pelayaran. Pembentukan mekanisme ini menjadi bukti kepada kesungguhan negara-negara pesisir selat ini untuk memastikan bahawa laluan penting ini sentiasa dibuka dan selamat untuk dilayari oleh para penggunanya.

Usaha kerjasama ini sejajar dengan Artikel 43 UNCLOS atau Konvensyen Perundangan Lautan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menyediakan rangka kerja rasmi bagi negara-negara tersebut berganding bahu dengan masyarakat antarabangsa untuk menjamin keselamatan di laluan strategik ini dan memelihara persekitarannya.

Pembentukan mekanisme ini menggariskan kesedaran untuk merealisasikan objektif memantau dan menguruskan keselamatan dan alam sekitar di laluan perkapalan yang tersibuk di dunia ini.

Delegasi dari 38 negara dan pelbagai badan yang mewakili industri perkapalan yang hadir di mesyuarat tersebut sepakat memberikan sokongan terhadap mekanisme kerjasama yang dicadangkan. Antara negara pengguna intensif Selat Melaka adalah seperti Australia, China, Jerman, India, Jepun, Norway, Panama, Korea Selatan, Britain dan Amerika Syarikat.

Organisasi yang memberikan sokongan padu terhadap pembentukan mekanisme tersebut termasuklah Intertanko, International Chamber of Shipping dan Yayasan Nippon dari Jepun yang telah banyak memberikan bantuan kewangan dalam menjayakan pelbagai projek pengurusan Selat Melaka.

Enam projek kerjasama di antara negara-negara pesisir yang dicadangkan dalam mekanisma kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan pelayaran dan pemeliharaan alam sekitar di Selat Melaka.

Projek-projek tersebut ialah pengalihan bangkai-bangkai kapal di dalam kawasan Skim Penyuraian Trafik (TSS) di Selat Melaka; pembinaan kapasiti bagi membersihkan tumpahan bahan-bahan berbahaya; demonstrasi sistem pengenalan transponder automatik yang dipasang di atas kapal-kapal kecil; penyediaan sistem pengukuran aras laut, ombak dan angin; dan penggantian dan penyelenggaraan peralatan mengemudi pelayaran, termasuk penggantian sistem pelayaran yang rosak akibat tsunami pada tahun 2004.

Pelaksanaan projek-projek ini bakal meningkatkan lagi tahap keselamatan pelayaran di selat yang semakin meningkat jumlah trafiknya dari tahun ke tahun serta meninggikan tahap kesediaan negara-negera pesisir bagi mengaadapi kemungkinan pencemaran ke atas ekosistemnya.

Walaupun pembentukan mekanisme ini merupakan perkembangan yang positif dalam pengurusan Selat Melaka, ia tidak sepatutnya dianggap sebagai satu tugas yang sudah selesai.

Masih banyak lagi cabaran yang bakal dihadapi oleh negara-negara pesisir untuk memastikan yang perairan penting ini terjamin keselamatan dan persekitarannya.

Dari segi kewangan, kejayaan mekanisme kerjasama ini bakal bergantung kepada sejauh mana negara-negara pesisir dapat menarik lebih banyak penyumbang kepada tabung Dana Bantuan Pelayaran yang merupakan komponen penting dalam mekanisme ini.

Tanpa sumbangan dari negara-negara pengguna, adalah sukar untuk menjalankan pelbagai projek dan inisiatif yang dicadangkan di bawah mekanisme kerjasama ini.

Dalam dunia pasca 11 September, pelbagai jenis ancaman keselamatan baru yang bersifat tidak konvensional, terutamanya yang datang dari non-state actors seperti kumpulan pengganas, perlu sentiasa diawasi walaupun tiada bukti menunjukkan wujudnya perancangan serangan keganasan ke atas aset maritim seperti pelabuhan dan kapal-kapal di Selat Melaka.

Dalam pada kita akur yang usaha negara-negara pesisir telah berhasil meningkatkan tahap keselamatan di Selat Melaka, kemungkinan terorisme berlaku di perairan ini sewajarnya diambil kira walau sekecil mana sekalipun kebarangkaliannya.

Peningkatan jumlah kapal yang belayar melalui selat ini juga bakal mengundang pelbagai cabaran bagi memastikan keselamatan pelayaran, memelihara persekitaran dari ancaman pencemaran, dan menyediakan sumber, tenaga dan peralatan yang mencukupi bagi menguruskan jumlah trafik perkapalan yang semakin meningkat.

Seharusnyalah agensi-agensi penguatkuasaan keselamatan dan kawalan pencemaran negara-negara pesisir mengambil peluang ke atas pembentukan mekanisme kerjasama tersebut untuk meningkatkan lagi tahap kesediaan dan mengukuhkan saluran komunikasi di kalangan mereka bagi memastikan objektif mekanisme kerjasama tersebut dipenuhi.

Langkah seterusnya ialah untuk negara-negara pesisir merealisasikan mekanisme kerjasama yang terbentuk dengan cara mengoperasikan projek dan inisiatif yang dicadangkan di dalamnya.

* NAZERY KHALID ialah Fellow Penyelidik di Institut Maritim Malaysia (MIMA).

0 Komentar untuk "Mekanisme kerjasama di Selat Melaka"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI