Perikatan tentang Pervez -- Bekas Perdana Menteri berusaha satukan musuh-musuh politik - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Perikatan tentang Pervez -- Bekas Perdana Menteri berusaha satukan musuh-musuh politik

ISLAMABAD 14 Nov. – Bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto berusaha membentuk satu perikatan besar dengan parti-parti pembangkang dan Islam bagi melancarkan kempen memaksa Presiden Jeneral Pervez Musharraf turun dari tampuk kuasa.

Pervez yang merupakan sekutu Washington dan mula berkuasa sejak rampasan kuasa 1999 pada 3 November lalu telah mengisytiharkan perintah darurat, menggantung perlembagaan dan menangkap beribu-ribu musuh politiknya.

Marah dengan dirinya ditahan di rumah dan penangkapan para pengikut, Benazir semalam menyatakan, rundingan perkongsian kuasa dengan Pervez sudah berakhir dan mendesak Presiden itu meletakkan semua jawatan.

Seorang pegawai kanan kerajaan pula menyatakan bahawa penahanan itu akan dilanjutkan untuk sekurang-kurangnya sehari lagi.

Benazir juga dilaporkan telah menghubungi musuh politik, termasuk Qazi Hussain Ahmed yang mengetuai perikatan parti-parti Islamis serta parti pimpinan bekas bintang kriket, Imran Khan.

“Beliau cuba menyatukan semua parti politik dengan agenda minimum iaitu mengembalikan negara ini kepada demokrasi,” kata Latif Khosa, seorang Senator dan pembantu Benazir.

“Agenda minimum adalah menyingkirkan Pervez dan membentuk kerajaan berkecuali bagi mengadakan pilihan raya bebas dan adil,” jelasnya.

Benazir yang kini ditahan di rumah Latif turut menghubungi seorang lagi bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif yang kini berada dalam buangan.

Sementara itu, Pervez dalam kenyataan terbarunya menyatakan bahawa beliau akan melepaskan jawatan sebagai ketua tentera menjelang hujung bulan ini dan akan memulakan penggal baru Presiden sebagai seorang rakyat biasa.

Beliau turut mempersalahkan Benazir atas apa yang disifatkan sebagai “hilang kepercayaan yang teruk” tetapi masih membuka pintu rundingan selepas pilihan raya berakhir nanti.

Pervez tidak mempedulikan tekanan oleh Barat yang mahu beliau menamatkan darurat, memungkin ia berterusan semasa pilihan raya Januari nanti.

– Agensi

0 Komentar untuk "Perikatan tentang Pervez -- Bekas Perdana Menteri berusaha satukan musuh-musuh politik"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI