Honda komited hasil kenderaan mesra alam - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Honda komited hasil kenderaan mesra alam

Oleh Rosli Safar (Yang mengikuti lawatan ke Tokyo Motor Show 2007, di Tokyo baru-baru ini)

KOMITMEN kebanyakan syarikat pengeluar kereta untuk melindungi dunia daripada terus dibebani masalah alam sekitar amat jelas dalam dewan besar Tokyo Motor Show 2007 di Tokyo, bermula 24 Oktober lalu.

Bukan saja dari segi ucapan pihak pengurusan syarikat, malah secara tidak langsung juga menerusi produk dipamerkan sepanjang pameran berlangsung mulai 24 Oktober hingga 11 November lalu.

Persaingan menghasilkan kenderaan, khususnya kereta yang berprestij dan tangkas langsung tidak memisahkan mereka daripada mencapai matlamat sama untuk mengekalkan dunia dalam keadaan terbaik bagi diwarisi generasi akan datang.

Kebanyakan daripada mereka sedar persaingan bagi mendapatkan prestij saja tidak ada kesudahannya, kerana tanggungjawab utama memastikan keselamatan penduduk dunia. Tambahan pula tatkala ini bahan penjana tenaga bagi menggerakkan semua kenderaan dihasilkan adalah minyak yang sumbernya semakin berkurangan.

Antara pengeluar kereta yang tampil memberikan jaminan untuk merangka dan mencari kaedah terbaik melindungi dunia daripada berdepan masalah alam sekitar ialah Honda Motor Co Ltd.

Honda yang menjadi antara peneraju utama dalam bidang permotoran dunia, termasuk menguasai teknologi membina pesawat sudah menetapkan matlamat jelas untuk tidak membiarkan alam sekitar dunia terabai dan tidak dibela.

Produk yang dihasilkan dipastikan bukan saja mesra pengguna baik dari segi penggunaan dan keselamatan, malah lebih penting lagi ialah mesra alam.

Ini dapat ditafsirkan daripada ucapan Presiden, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Honda, Takeo Fukui, bahawa pihaknya sentiasa mengutamakan pelestarian alam sekitar dan berusaha melaksanakan segala inisiatif bagi melindungi alam untuk warisan generasi akan datang.

Teknologi yang dibangunkan akan digunakan sepenuhnya membantu melindungi alam sekitar mengikut cara tersendiri yang unik.

Syarikat berkenaan tidak sekadar memperkenalkan kenderaan menggunakan teknologi fuel cell, hybrid, enjin diesel dan gasolin yang mesra alam, sebaliknya kini sedang meneroka kaedah dan teknologi bagi menghasilkan sumber tenaga baru menggantikan minyak daripada bahan bio-ethanol menggunakan jerami padi untuk menggerakkan kenderaan.

Memang sukar dibayangkan bagaimana untuk menghasilkan bahan bakar menggunakan jerami padi, tetapi Honda sudah membuktikan bahawa sektor penanaman padi dan bidang permotoran sememangnya boleh bergerak seiring.

Rombongan wartawan Malaysia yang hadir ke Tokyo Motor Show kemudian dibawa melawat Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Honda di Tochigi yang canggih dengan teknologi terkini, tetapi masih menjadikan sawah padi sebahagian daripada landskapnya.

Penulis dan rakan-rakan kemudian dibawa memandu uji kereta keluaran terkini Honda dan daripada banyak model yang disediakan, hanya satu menjadi tumpuan ramai iaitu kereta konsep Honda FCX yang menggunakan teknologi elektrik fuel cell.

Sungguh pun kuasanya berteraskan elektrik, Honda FCX mampu memecut laju dan lancar, selain pengendaliannya langsung tiada beza dengan kenderaan yang berada di atas jalan raya sekarang.

Kereta elektrik dijangka bakal menguasai jalan raya pada masa akan datang bagi menggantikan kenderaan sedia ada yang menggunakan enjin berteraskan petroleum.

Teknologi FCX sememangnya mesra alam, bukan sekadar tidak menghasil dan melepaskan karbon, malah perjalanan langsung tidak mencemarkan bunyi.

Tokyo Motor Show yang diadakan dua tahun sekali dan tahun ini menyambut ulang tahun penganjuran ke-40 terbukti berjaya menyatukan pengeluar kereta seluruh dunia bukan sekadar untuk mempamerkan kenderaan dan teknologi terkini mereka, sebaliknya membentuk kesepakatan dalam usaha membantu memulihara alam sekitar.

Pameran kali ini mempamerkan 542 kenderaan, termasuk motosikal, lori dan bas membabitkan 110 pengeluar utama dunia, termasuk 103 pengeluar Jepun.

Selain itu, penganjur juga turut mengadakan beberapa acara sampingan membabitkan pengunjung dan pelajar dalam memberi input mengenai kelebihan kenderaan yang diketengahkan dalam memulihara alam sekitar, selain memberi gambaran kenderaan masa depan.
0 Komentar untuk "Honda komited hasil kenderaan mesra alam"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI