Oleh AZMAN ANUAR (WARTAWAN UTUSAN)
Taman herba yang dicadangkan di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) diyakini kena pada masanya. Ini kerana produk herba tidak lagi dikaitkan dengan kisah nenek kebayan tetapi rahsia khazanah dalam hutan itu akan dihipotesis secara saintifik dan dikeluarkan secara moden.
Potensi produk herba sebagai satu sumber ekonomi kini berkembang luas, khasnya digunakan sebagai makanan kesihatan, produk kosmetik dan kecantikan serta ubat-ubatan.
Sebagai industri yang punya potensi besar, maka kerajaan merancang untuk meletakkannya pada satu peringkat yang lebih tinggi.
Usaha kerajaan mengetengahkan bidang pertanian terutama sektor tanaman herba ini bakal memberi pulangan berganda kepada ekonomi rakyat dan negara.
Pada peringkat makro, industri herba yang sedang dimajukan di seluruh negara ini mampu meletakkan Malaysia sebagai hab herba yang paling unggul di dunia. Secara tidak langsung, ia turut menarik minat pakar-pakar dari luar negara menempatkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) herba mereka di negara ini.
Kesan utama apabila kita majukan taman bioteknologi herba, ia dapat menjimatkan tukaran wang asing yang pada masa kini 90 peratus bahan mentah untuk industri produk herba masih bergantung dari China, Indonesia dan India. Nilai import itu pada 1996 sahaja mencecah RM264.7 juta.
Faedah yang diterima oleh penduduk tempatan sudah tentu dari segi pendapatan tambahan apabila mereka menanam tumbuhan herba di sekitar rumah. Malah kaum wanita juga boleh melakukan kerja ini dari rumah sahaja.
Hasil daripada usaha meningkatkan cara penanaman dan pengurusan tanaman herba ini, ia mampu mewujudkan lebih ramai usahawan bumiputera.
Pengusaha produk herba tempatan perlu mengambil peluang dari kemewahan khazanah rimba Malaysia untuk memastikan industri herba menjadi komoditi baru dalam negara.
Malaysia mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan negara-negara lain dalam perniagaan herba. Negara kita disenaraikan tangga ke-12 negara paling biodiverse di dunia dan yang keempat di Asia.
Sebenarnya masih banyak ruang yang perlu diterokai dalam industri ini kerana Malaysia memiliki lebih 15,000 tumbuhan berbunga dan lebih 3,000 spesies tumbuhan perubatan tetapi hanya 50 sahaja yang digunakan.
Pasaran produk herba mempunyai masa depan yang cerah untuk berkembang. Malah pasaran produk berasaskan herba pada masa ini terbuka luas. Berdasarkan laporan Bank Dunia, pasaran herba dijangka meningkat kepada AS$200 bilion (RM760 bilion) pada tahun 2008 dan mencecah AS$5 trilion (RM19 trilion) pada tahun 2050.
Pasaran herba di Malaysia sahaja dianggarkan bernilai lebih RM4.55 bilion dengan kadar pertumbuhan tahunan kira-kira 15 – 20 peratus.
Faktor utama yang mendorong Malaysia memberi tumpuan pada herba adalah kerana wujudnya trend masyarakat dunia yang mula mengutamakan produk berasaskan alam semula jadi berbanding produk-produk lain yang mengandungi bahan kimia.
Kini perubatan berasaskan herba menjadi pilihan kerana ia didapati lebih selamat dan untuk itu para petani digesa mengusahakan tanaman herba kerana ia mempunyai pasaran dan permintaan yang lumayan.
Dengan wujudnya Pusat Penyelidikan Bioteknologi Herba, Taman Teknologi Malaysia (TPM) di Raub, Pahang dan terbaru cadangan Taman Bioteknologi dan Herba Gua Musang di Kelantan, maka kedua-duanya diharap menjadi pusat untuk menyediakan prasarana pemprosesan herba bagi tujuan komersial serta membantu usahawan bioteknologi mendapatkan khidmat saintifik dan nasihat.
Bagaimanapun Taman Bioteknologi dan Herba Gua Musang adalah antara salah satu projek baru yang dijalankan dalam perancangan ECER. Ia akan dibina sebagai pusat kecemerlangan bagi ubat-ubatan alternatif dan organik.
Taman ini terletak di kawasan 1,000 hektar dan di dalamnya termasuk taman satelit 50 hektar di Kuala Balah, Jeli. Ia diletakkan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (Kesedar) yang turut melibatkan kerjasama Felda, Universiti Malaysia Kelantan dan MARDI.
Jika penduduk tempatan di ECER menyahut projek tanaman herba, barangkali tidak lama lagi seluruh dunia akan menggunakan produk berasaskan misai kucing, pegaga, roselle, halia, tongkat ali, serai, kesum, lengkuas, kunyit dan kemangi yang diperbuat dari Malaysia bersama logo ECER pada bungkusannya.
Industri herba di negara ini boleh berjaya seperti produk ginseng di Korea Selatan yang terkenal dengan khasiat kesihatan apabila mampu memasarkannya di seluruh dunia.
Dengan wujudnya taman bioteknologi herba dan ladang herba, rakyat yang bergantung sumber pendapatan dengan mencari herba di dalam hutan tidak perlu berbuat demikian lagi.
Tumbuhan herba yang tumbuh di hutan Kelantan terutama di Gua Musang boleh ditanam secara ladang komersial.
Dengan adanya pusat R&D di Gua Musang misalnya, kerajaan akan memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada para petani mengenai kelebihan industri herba yang berpotensi tinggi.
ECER adalah komitmen besar kerajaan dalam usaha meletakkan wilayah Pantai Timur setanding kawasan lain dari segi kemajuan dan taraf hidup masyarakatnya, golongan sasar terutama yang miskin tegar perlu menyahut seruan dan bersama dalam perubahan ini.
0 Komentar untuk "ECER perluas industri herba"