Menjaga toleransi negara - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Menjaga toleransi negara

Oleh RAHISAM RAMLI

Toleransi itulah perkataan keramat yang menjadi satu formula bagi menjamin keamanan dan keharmonian masyarakat pelbagai etnik di negara ini. Sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi banyak belajar mengenai sejarah kepimpinan masa lalu demi menjamin survival generasi akan datang.

Mengapakah pemimpin nombor satu negara yang juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) masih mengungkapkan perkataan ‘toleransi’, meskipun kita telah berjaya mengekalkan kemerdekaan yang ke-50 pada tahun ini?

Terdapat dua jawapan yang harus diberi perhatian bagi mengupas persoalan tersebut. Pertama kerana ia merupakan formula kejayaan Malaysia sebagai model negara Islam dalam menterjemahkan hubungan perpaduan ke seluruh lapisan masyarakat majmuk.

Kedua, kerana kita harus memahami betapa pentingnya membudayakan toleransi secara berterusan dan patut berasa gerun dengan ancaman keselamatan negara sekiranya budaya ini sudah hilang dari jiwa 26 juta rakyat Malaysia.

Berlawanan dengan sikap toleransi ialah perbuatan diskriminasi yang mana ia menjurus kepada perilaku yang tidak bermoral. Akibatnya jika melaksanakan perbuatan diskriminasi hanya akan menghambat segala agenda negara untuk mencapai kemajuan.

Lantaran perbuatan diskriminasi hanya mencetuskan peperangan, pergaduhan dan konflik perkauman yang sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan. Pada ketika itu senjata pembunuhan akan menjadi alat pengadilan atau hukuman sepanjang masa dalam sebarang perbezaan pendapat atau pertikaian sesama manusia.

Akhirnya lenyaplah proses diplomasi dan musyawarah yang sangat dianjurkan dalam Islam kerana setiap pihak saling mencurigai antara satu sama lain.

Kepelbagaian anutan agama dan budaya tidak boleh menjadi penghalang kepada ajaran Islam yang menjadi landasan al-deen (satu cara hidup), kerana di sinilah letaknya keindahan dan sifat universal Islam yang mampu difahami oleh semua kaum.

Terdapat juga pandangan skeptikal yang mengatakan bahwa antara punca kelemahan umat Islam masa kini ialah kerana begitu toleransi dengan penganut agama lain sehingga mereka tidak menghargai usaha umat Islam. Ingatlah bahawasanya Allah s.w.t. telah berfirman di dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Daripada dalil di atas membuktikan bahawa amalan bermuafakat, berkongsi kuasa ataupun sikap toleransi bukan sekadar sebagai nilai tambah terhadap kelangsungan umat Islam untuk meneruskan syiar Islam, malahan ia boleh dikatakan menjadi pra-syarat kepada keberkesanan dakwah Islamiah ke seluruh pelosok dunia.

Faktanya banyak telah dicatatkan mengenai kejayaan Rasulullah s.a.w. ketika berusaha untuk menyebarkan ajaran Islam sebagai agama baru di Semenanjung Tanah Arab.

Alangkah indahnya jika ungkapan toleransi ini dapat dilaksanakan di bumi Palestin yang semakin hari semakin genting dengan bunyi letupan bom, tembakan senjata api, jeritan dan ketakutan yang menghantui umat Islam hampir saban hari.

Betapa kejadian pembunuhan manusia yang tidak berdosa sering dipaparkan di dalam media massa untuk menagih simpati penduduk dunia agar keamanan akan muncul di bumi mereka. Begitu juga Iraq yang kini sedang bergelut tercari-cari erti keamanan dan mengimpikan sebuah kerajaan yang berdaulat tanpa pencerobohan tentera Amerika Syarikat.

Kita juga tidak harus lupa dengan nasib umat Islam yang ditimpa musibah di Afghanistan, peperangan saudara di Afrika, ancaman kebuluran di Darfur serta entah di mana-mana lagi ceruk yang dihuni oleh saudara seagama kita. Konflik yang terkini dan tidak kurang hebatnya dapat kita saksikan kemelut politik di Pakistan.

Semakin kuat mereka berusaha untuk memperbaiki keadaan, semakin ganas dirobek oleh manusia yang suka menyalakan api permusuhan. Tidak dapat dinafikan sebenarnya fenomena konflik yang sedang berlaku selama ini berpunca kerana tiada pihak secara gigih membudayakan sikap bertolak ansur, sanggup berkongi kuasa dan apatah lagi saling memaafkan antara satu sama lain.

Namun begitu, biarpun situasi genting sedang hebat melanda negara-negara tersebut, kita sewajarnya boleh mengusulkan kaedah penyelesaian yang terbaik dengan menjadikan Malaysia dan pemimpin kita sebagai rujukan atau orang tengah dalam menangani kemelut tersebut.

Kita harus belajar dan mengambil iktibar daripada pendedahan kisah-kisah yang terjadi di luar negara. Betapa indahnya bumi Malaysia jika hendak dibandingkan dengan negara lain, lantaran kesediaan kita menjunjung tinggi semangat toleransi dan keamanan sepanjang masa.

Alangkah ruginya jika hubungan antara kaum yang telah lama terjalin erat dengan mudahnya akan dibinasakan dengan sikap perkauman yang membunuh semangat perpaduan, melahirkan perasaan benci dan dendam kesumat, akhirnya tiada siapa yang menang malah generasi akan datang pasti akan hidup merana akibat persengketaan yang melanda dalam negara.

Pada waktu itu barulah kita akan sedar betapa ruginya kerana mencemarkan nilai-nilai persahabatan di kalangan etnik kerana ia mampu menjadi benteng kebal bagi mengusir jiwa yang sarat dengan konfrontasi dan kemelut yang tidak berkesudahan.

Tanyalah pada diri kita sendiri adakah Rasulullah pernah menimbulkan pergaduhan, sekalipun dicabar? Sudah tentu jawapannya tidak. Adakah Baginda sering membuat provokasi dengan isu-isu sensitif di kalangan umat Islam dan bukan Islam agar hidup saling berantakan? Juga jawapannya pasti tidak.

Adakah Baginda pernah melafazkan kata-kata yang menyakitkan hati orang lain? Sudah tentu tidak. Justeru ikutlah role model yang banyak dirakamkan oleh para penulis mengenai kepemimpinan Baginda yang sering mendorong agar seluruh rakyat menjalankan fungsi permuafakatan yang dikongsi bersama-sama dengan kaum-kaum lain.

Perbezaan agama tidak sewajarnya dijadikan medan percaturan untuk melakukan keganasan, memulakan api permusuhan lalu menyuntik racun kebencian yang akhirnya menjerumuskan diri ke dalam kegiatan yang boleh menggadaikan maruah sebuah negara Islam.

Padamkanlah anasir-anasir benci yang sememangnya hanya merosakkan akal dan hati untuk bersatu padu. Betapa bahayanya provokasi yang dicetuskan dengan sengaja boleh merobek nilai-nilai persaudaraan dan hubungan baik sesama kaum kerana perlakuan dan pertuturan yang tidak terkawal sehinggakan kita tidak mempunyai perasaan untuk menjaga maruah sebagai umat Islam.

Perpaduan tidak akan wujud tanpa adanya sifat toleransi yang sangat utuh dan sentiasa diamalkan di kalangan rakyat. Disebabkan itu juga antara saranan hukama’ tentang etika-etika yang patut dijadikan amalan pada setiap orang Islam adalah seperti berikut:

* Hadapilah kawan atau musuh dengan wajah gembira, penuh kerelaan dan kesopanan.

* Rendahkan diri, bukannya kerana kurang harga diri.

* Jangan berbangga-banggakan diri sendiri.

* Jangan mendorong orang lain melakukan penganiayaan.

* Jika berdebat, berpeganglah dengan kesopanan.

* Jika sedang marah diamlah dahulu dan apabila reda ucapkanlah isi hati dengan baik.

Untuk menjadikan toleransi sebagai budaya kita, haruslah disemai dengan semangat cintakan negara atau patriotisme yang cukup mendalam dengan nilai-nilai jati diri sebagai seorang Muslim. Dengan itu setiap individu akan berusaha dan sentiasa berhati-hati dengan setiap tindakan dan percakapan agar selari dengan semangat muhibah yang sedang disemarakkan oleh pemimpin negara.

* RAHISAM RAMLI ialah pensyarah dan penyelaras Program Diploma Pengurusan dan Pentadbiran Islam, Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka (KTIAM).

0 Komentar untuk "Menjaga toleransi negara"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI