ISLAMABAD 15 Nov. – Presiden Pervez Musharraf mengumumkan kerajaan sementara hari ini bagi mentadbir Pakistan sehingga pilihan raya Parlimen diadakan selewat-lewatnya 9 Januari depan.
Parlimen kebangsaan dibubarkan pada tengah malam ini bagi menandakan berakhirnya penggal lima tahun.
Mandat Pervez juga tamat hari ini sekalipun beliau melanjutkannya dengan mengisytiharkan darurat yang menjerumuskan Pakistan ke dalam krisis politik.
Pengerusi Parlimen, Mohammedmian Soomro menjadi calon utama untuk memegang jawatan penting sebagai Perdana Menteri sementara.
“Saya menganggapnya sebagai Perdana Menteri sementara tetapi keputusan rasmi akan diumumkan oleh Presiden,” Menteri Kereta Api, Sheikh Rashid Ahmad.
Kerajaan sementara itu akan mengangkat sumpah esok.
Timbalan Menteri Penerangan, Tariq Azeem berkata, Pervez akan terus menjadi Presiden dan ketua tentera sehinggalah Mahkamah Agung memutuskan sah atau tidaknya kemenangan beliau pada pemilihan Presiden pada 6 Oktober lalu.
“Pemegang jawatan akan terus berkhidmat sehingga Presiden baru mengangkat sumpah kerana jawatan itu tidak boleh dibiarkan kosong begitu sahaja,” kata Tariq.
Menurut beliau lagi, sementara menantikan keputusan mahkamah, Pervez boleh melepaskan jawatan ketua tentera pada akhir bulan ini, atau lebih awal.
“Sebaik sahaja Mahkamah mengetepikan halangan, mereka akan mengesahkan kemenangannya dan beliau akan dapat mengangkat sumpah jawatan.
– Agensi
0 Komentar untuk "Parlimen bubar, tubuh kerajaan sementara"