Meniti Arus: 'Cakap-cakap' tidak lagi kedengaran - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Meniti Arus: 'Cakap-cakap' tidak lagi kedengaran

Bersama Datuk Abdul Rahman Sulaiman
rahmansulaiman@yahoo.com

Mesej Perhimpunan Agung Umno bukti sokongan kukuh buat Pak Lah

PERHIMPUNAN Agung Umno 2007 yang berakhir di Kuala Lumpur minggu lalu, membawa beberapa mesej penting. Jika dihayati secara ikhlas dan jujur, ia boleh membantu gerak laku dan tabiat politik banyak pihak, terutama anggota komponen Barisan Nasional sendiri.

Antaranya;

Sokongan anggota parti terhadap kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden parti dan Perdana Menteri jelas kelihatan semakin kukuh dan jitu;

Perdana Menteri sendiri tampak lebih yakin dan berwewenang (authoritative) daripada dalam perhimpunan agung sebelum ini, terutama selepas mengambil alih kepemimpinan negara empat tahun lalu;

Kerajaan dan BN berada dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-12 yang diramalkan tidak lama lagi;

Kerajaan yang didukung Umno bersedia menghadapi apa jua cabaran yang wujud atau masalah yang bakal mendatang akibat fenomena global secara berdepan;

Anggota akar umbi memahami dan menerima hakikat bahawa Umno tidak boleh menubuhkan sebuah kerajaan yang berkesan di negara ini tanpa penyertaan parti bukan Melayu;

Selepas mengikuti perbahasan pada perhimpunan itu selama tiga hari berturut-turut, termasuk ucapan perasmian dan penggulungan oleh Perdana Menteri dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak serta bertukar-tukar nota dengan anggota perwakilan lain, ramai yang sependapat dengan penulis mengenai rumusan di atas.

Sokongan terhadap Abdullah semakin kukuh dan jitu jelas daripada nada ucapan wakil negeri. Berbeza dengan tiga perhimpunan sebelum ini, nada-nada sinis dan kritikan yang melulu tidak kedengaran lagi. Perbincangan di luar dewan sama ada ketika berehat di ruang jamuan atau di ruang legar PWTC juga menyentuh tema sama.

Apa yang dijelas ialah dasar dan program kerajaan diperkenalkan Abdullah sudah mula difahami dan dihayati ahli parti pada peringkat akar umbi. Cakap-cakap mengenai kelemahan kepemimpinan kurang kedengaran. Sebaliknya, keperluan untuk mengukuhkan perpaduan dan merapatkan jurang perbezaan pendapat mendominasi perbincangan di luar dewan.

Abdullah yang tentunya pantas membaca trend ini kelihatan lebih yakin dan santai pada sepanjang persidangan.

Malah, ketika taklimat tertutup untuk pemimpin utama Umno bahagian menjelang Perhimpunan Pemuda, Wanita, Puteri dan Perhimpunan Agung, beliau secara terus-terang menggariskan tiga cabaran besar yang amat menggerunkan beliau. Cabaran itu ialah kenaikan harga minyak dan harga barang serta perkhidmatan, masalah perpaduan kaum dan ancaman estremisme agama.

Abdullah berkata, walaupun cabaran itu �menggerunkan�, dengan sokongan padu daripada seluruh anggota dan kepemimpinan parti, beliau berazam untuk menghadapinya secara berdepan.

Katanya, sebagai sebuah parti yang kaya dengan pengalaman dan berjaya mengatasi pelbagai masalah sebelum ini, beliau yakin ancaman yang dihadapi sekarang mampu diselesaikan dengan baik.

Serentak itu, beliau mengumumkan keputusan untuk menstruktur semula formula subsidi, khususnya subsidi petroleum yang kini sudah mencecah RM35 bilion setahun akibat kenaikan harga minyak dunia. Beliau juga berikrar mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang mencabar undang-undang negara.

Sama ada gejala ini menunjukkan bahawa Umno kini lebih matang selepas lebih 60 tahun kewujudannya dan sudah menerajui pemerintahan negara lebih lima dekad atau ia cuma reaksi spontan sebuah parti yang berkuasa menjelang pilihan raya umum yang diramalkan sudah begitu hampir sukar dipastikan.

Tetapi apa yang pasti ialah sekiranya ini adalah tanda kematangan keadaan dalam Umno akan hanya boleh bertambah baik dan bukan sebaliknya, pada tahun akan datang sehinggakan selepas pilihan raya dan pemilihan pucuk kepemimpinan parti yang akan menyusul kemudian.

Ini penting difahami oleh setiap pihak yang meminati politik, terutama yang menjadi anggota parti politik, tidak kira sama ada parti yang menjadi komponen BN atau parti pembangkang.

Tidak siapa boleh menafikan bahawa dengan keanggotaan melebihi tiga juta orang, ditubuhkan sejak 1946 dan menjadi tulang belakang pemerintahan negara sejak lebih 50 tahun, Umno bukan saja sebuah parti terbesar, malah tertua di Malaysia.

Kedewasaan ini memperkayakan parti itu dengan pelbagai pengalaman, pahit dan manis, di samping keyakinan luar biasa serta kewibawaan yang tiada tolok bandingnya untuk berhadapan dengan realiti politik, ekonomi dan sosial semasa.

Kedudukan ini juga memberi peluang kepada Umno untuk mencorakkan landskap politik negara, dalam erti kata apa yang berlaku dalam parti itu lazimnya mempunyai direct bearing atau kesan langsung kepada corak dan arah aliran politik masa depan negara.

Ketidakfahaman mengenai hakikat ini boleh menjadikan tindakan atau tabiat politik mana-mana pihak tidak relevan atau terkeluar daripada gelagat politik umum. Jika ini berlaku, ia pasti akan merugikan pihak berkenaan kerana tindakan politik yang tidak relevan itu bukan saja akan memakan diri sendiri, tetapi juga ditentang atau ditolak oleh pemikiran politik arus perdana.

Logiknya, setiap anak muda Melayu yang meminati politik dan mempunyai semangat berkobar-kobar untuk menyumbang ke arah pembangunan negara, tidak mempunyai pilihan melainkan menyertai Umno dan berjuang daripada dalam.

Bagi mereka yang memilih atau terpaksa menganggotai parti lain, mereka perlu menyesuaikan strategi dan tindakan masing-masing dengan realiti politik semasa. Setakat ini penulis tidak nampak pilihan lain.
0 Komentar untuk "Meniti Arus: 'Cakap-cakap' tidak lagi kedengaran"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI