Keperluan banyak skrip bermutu - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Keperluan banyak skrip bermutu

Oleh ABD. AZIZ ITAR (WARTAWAN UTUSAN)

SKRIP merupakan elemen yang paling penting untuk menarik para penonton menghayati sesebuah jalan cerita dalam filem, drama ataupun teater.

Tanpa jalan cerita yang tersendiri dan garapan plot yang kemas, sesebuah karya yang dipersembahkan itu mungkin sukar untuk menarik perhatian para penonton.

Kejayaan sesebuah filem misalnya, banyak dipengaruhi skrip serta konsep jalan ceritanya, selain ditunjangi oleh barisan pelakon yang berbakat dan popular.

Menyedari hakikat itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menganjurkan Kursus Penulisan Skrip Filem Cereka mulai hari ini (12 November) hingga 18 November di Finas, Hulu Klang, Selangor.

Kursus selama seminggu itu diadakan sebagai salah satu aktiviti sempena penganjuran Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF 2007) yang akan berlangsung dari 28 November hingga 2 Disember ini.

Diharap kursus yang dikendalikan oleh penulis skrip terkenal dari United Kingdom, Barbara Slade itu akan memberi lebih banyak pendedahan kepada 15 peserta kursus tersebut.

Sejak kebelakangan ini, dunia perfileman tempatan menerbitkan tidak kurang 20 buah filem setahun di mana jumlah itu tidak termasuk ratusan drama untuk siaran televisyen (TV).

Masalah

Sayangnya, daripada jumlah itu banyak karya yang cuba diketengahkan kurang memberi kesan yang benar-benar mendalam di hati para penonton kerana masalah kualiti dan skrip yang lemah.

Ada penerbit dan pengarah filem yang cuba mengetengahkan penyanyi popular dan menggunakan pelbagai jenis teknologi canggih dengan tujuan untuk memancing perhatian para penonton supaya berkunjung ke pawagam.

Tetapi jika skrip dalam sesebuah karya itu tidak meyakinkan, para penonton bukan sahaja akan mudah berasa bosan, malah mesej-mesej yang hendak disampaikan juga mungkin sukar untuk mencapai matlamatnya.

Justeru, dalam hal ini, banyak aspek yang perlu diberi penekanan secara khusus dalam usaha menghasilkan skrip-skrip yang lebih bermutu untuk filem, drama dan teater kita pada masa depan.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah soal keaslian jalan cerita, pengembangan watak terutamanya watak jahat (antagonis) dan pratagonis (watak baik) yang berkesan bagi menghidupkan jalan cerita dalam sesebuah karya.

Penghayatan

Selain itu, dialog yang padat, tidak meleret-leret dan mempunyai maksud serta falsafah yang sesuai dengan tema sesebuah karya juga amat penting bagi meruntun penghayatan para penonton.

Semua itu bukan sahaja memerlukan pengamatan yang tinggi, tetapi penulis skrip juga haruslah peka dan mempunyai pengetahuan luas dalam sesuatu karya yang hendak disampaikan.

Ini kerana, apa-apa juga idea dan mesej yang dicetuskan dalam sesebuah skrip, ia secara tidak langsung menggambarkan daya pemikiran dan kreativiti penulis skrip itu sendiri.

Dengan adanya skrip yang bagus sebagai tonggak paling penting, barulah perancangan lain boleh difikirkan misalnya, soal pemilihan pelakon, lokasi, bajet, pemasaran dan sebagainya.

Sebab itu kita berharap agar kursus-kursus penulisan skrip seperti itu tidak hanya dianjurkan oleh Finas sempena kedatangan festival filem seperti KLIFF 2007 semata-mata.

Sebaliknya, kursus-kursus penulisan skrip sepatutnya diadakan lebih kerap dengan menarik lebih ramai peserta supaya mutu skrip dan filem-filem kita akan meningkat pada masa depan.

0 Komentar untuk "Keperluan banyak skrip bermutu"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI