Minda Pengarang: Kenyataan Rommel melulu, tak berasas - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Minda Pengarang: Kenyataan Rommel melulu, tak berasas

SEKALI lagi bekas wakil Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Thierry Rommel mengeluarkan kenyataan berbaur 'campur tangan' urusan dalaman Malaysia apabila mendakwa negara kini dalam keadaan darurat, berikutan tindakan polis menyuraikan perhimpunan haram di Dataran Merdeka, Sabtu lalu. Rommel turut mendakwa ketidakadilan dalam pilihan raya di Malaysia bukan satu rahsia dan mempertikaikan dasar Bumiputera yang dilaksanakan kerajaan. Beliau yang mengakhiri tugasnya kelmarin selepas berkhidmat selama empat tahun enam bulan di Malaysia, juga berkata, beberapa undang-undang darurat seperti Ordinan Darurat yang diwujudkan sejak 1969 dan Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) masih diguna pakai. Dalam kejadian Sabtu lalu, polis melepaskan gas pemedih mata dan pancutan air bagi meleraikan orang ramai yang berarak ke Istana Negara bagi menyampaikan memorandum menuntut pilihan raya bersih. Walaupun 245 orang ditahan dan kemudian dibebaskan selepas keterangan mereka diambil, polis tidak menggunakan Ordinan Darurat bagi menyuraikan mereka. Malah, kerajaan tidak menggunakan ISA untuk menahan ahli politik pembangkang dan golongan aktivis sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Rommel patut tahu hal ini selepas berada sendiri di Kuala Lumpur selama lebih empat tahun. Yang ada hanya desakan daripada pemimpin politik tempatan supaya ISA digunakan, jika perlu, untuk menangani masalah perhimpunan seumpama itu pada masa akan datang. Dalam peristiwa Sabtu lalu, polis sudah memberi amaran beberapa kali meminta orang ramai yang berhimpun supaya bersurai, tiada kekerasan digunakan dan gas pemedih mata digunakan, selepas sebahagian mereka berdegil.

Ini bukan kali pertama Rommel membuat kenyataan menyinggung perasaan Kerajaan Malaysia. Kita tidak tahu apa niat sebenar beliau untuk terus berbuat demikian. Hakikat bahawa Rommel memberi syarat kepada Reuters supaya kenyataannya itu disiarkan selepas beliau meninggalkan negara ini petang Selasa lalu, seolah-olah ada niat yang terselindung. Mungkin Rommel tidak suka kepada Malaysia dan rakyatnya, malah beliau amat jarang sekali kelihatan pada majlis rasmi kerajaan yang turut dihadiri oleh diplomat asing yang bertugas di ibu negara. Pada 21 Jun lalu, Rommel mengundang kecaman pelbagai pihak apabila mendakwa bahawa dasar yang memberi keistimewaan kepada Bumiputera tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia dan penghalang kepada perjanjian perdagangan bebas kerana ia bersifat memberi perlindungan. Berikutan itu, Rommel dipanggil ke Wisma Putra untuk memberi penjelasan. Beliau kemudian menjelaskan kononnya kenyataan itu tidak bermaksud campur tangan dalam hal ehwal dalaman Malaysia. Bagaimanapun, dalam kenyataan terbarunya kelmarin, Rommel mengulangi pendirian yang sama mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) itu. Selepas empat tahun berada di negara ini, apakah beliau tidak melihat keadaan setempat dan usaha kerajaan untuk mengimbangi pembangunan sosieokonomi. Dasar untuk membantu Bumiputera adalah agenda nasional, tetapi ia tidak bermakna kerajaan akan berlaku tidak adil kepada bukan Bumiputera.

Kita juga tidak faham apa maksud sebenar Rommel sebagai pilihan raya tidak adil di Malaysia. Selama berada di Malaysia, apakah Rommel tidak melihat sendiri bahawa Kelantan terus dikuasai pembangkang dan Terengganu pula pernah diperintah Pas. Tidak akan ada pemimpin pembangkang memenangi kerusi yang dipertandingkan jika proses pilihan raya sejak 1955 di negara ini tidak telus. Malaysia bukan negara yang berada di bawah darurat dan apa yang dilakukan oleh polis ialah menguatkuasakan undang-undang. Setiap negara berhak mempunyai undang-undang masing-masing dan hakikat ini perlu dihormati oleh Rommel.

0 Komentar untuk "Minda Pengarang: Kenyataan Rommel melulu, tak berasas"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI