KECAM PRESIDEN: Aktivis hak asasi manusia melaungkan slogan antikerajaan ketika membantah perintah darurat di Islamabad, kelmarin. |
Soomro pemangku PM, Nawaz-Benazir umum kerjasama
ISLAMABAD: Presiden Pakistan, Pervez Musharraf kini dalam proses mewujudkan kerajaan sementara berikutan tamatnya penggal pemerintahan beliau sebagai Presiden, semalam, serentak dengan pembubaran Parlimen.
Kerajaan sementara itu dipertanggungjawabkan mentadbir Pakistan sehingga pilihan raya Parlimen yang dijadualkan pada 9 Januari depan.
Mengikut Perlembagaan, Musharraf kekal sebagai Presiden dan Panglima Tentera sehinggalah Mahkamah Agung mengiktiraf kemenangannya dalam pemilihan Presiden, 6 Oktober lalu.
Senarai kerajaan sementara baru dijangka diumumkan hari ini. Seorang anggota Kabinet mencadangkan Mohammedmian Soomro, Pengerusi Dewan Tinggi Parlimen sebagai calon paling layak menduduki kerusi Perdana Menteri sementara, menggantikan Shaukat Aziz.
"Saya melihatnya sebagai calon yang paling sesuai, tetapi sebarang kata putus mengenainya akan diumumkan Presiden Musharraf sendiri," kata Menteri Perkhidmatan Kereta Api Sheikh Rashid Ahmad.
Media Pakistan berkata calon lain termasuk pesara tentera yang kini berkhidmat sebagai duta Pakistan ke Turki, Iftikhar Hussein Shah dan bekas Gabenor Bank Negara, Ishrat Hussain.
Pilihan raya negara itu sepatutnya menyempurnakan pemerintahan demokrasi di Pakistan - 8 tahun selepas Musharraf berkuasa menerusi rampasan kuasa. Musharraf menguatkuasakan perintah darurat itu pada 3 November lalu.
Sementara itu, dua bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto dan Nawaz Sharif yang diketahui sebagai lawan, bersetuju bergabung tenaga bagi menyingkirkan Musharraf.
Pemimpin Parti Rakyat Pakistan (PPP) dan Parti Liga Muslim (PML) itu mencapai persetujuan dalam perbincangan menerusi telefon, kata pegawai kanan parti.
Benazir dan Nawaz, bersetuju mengenepikan perselisihan mereka demi memastikan Musharraf dapat ditumbangkan.
"Benazir memberi jaminan terus menentang Musharraf sehingga beliau meletak jawatan sebagai Presiden mahupun Panglima Tentera. Musharraf tidak akan diterima baik sebagai pemimpin negara atau pun tentera," katanya.
Di Lahore, legenda kriket Pakistan, Imran Khan, diserahkan sendiri kepada polis oleh sekumpulan penuntut yang mengkhianatinya tidak lama selepas beliau muncul dari persembunyian untuk menyertai tunjuk perasaan menentang perintah darurat di Universiti Lahore, kelmarin.
Imran, yang kini menjadi tokoh pembangkang, pada awalnya ditunjukkan isyarat 'V' sebagai tanda kemenangan ketika dijulang di atas bahu mereka sebelum kemudian ditolak masuk ke sebuah van putih oleh golongan yang disangka penyokongnya.
Beliau kini didakwa di bawah Akta Antikeganasan Pakistan dan dijangka ditahan selama beberapa hari sebelum diarahkan menjalani tahanan dalam rumah, lapor akhbar Daily Mail.
Tiada maklumat dakwaan diberikan, tetapi kesalahan menurut akta itu boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Pegawai polis Lahore, Aftab Cheema, berkata: "Beliau mencetuskan masalah keselamatan dan menyebabkan gangguan dalam aktiviti pendidikan." � Agensi
0 Komentar untuk "Musharraf bentuk kerajaan sementara"