Oleh HAMDAN AHMAD
KEPUTUSAN peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007 baru-baru ini menunjukkan peningkatan prestasi yang menakjubkan oleh para pelajar yang mendudukinya. Ia sebagai satu petanda baik kepada kita semua selari dengan penekanan oleh kerajaan kepada memperkasa dan membangunkan modal insan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).
Apa yang menggembirakan ialah pencapaian cemerlang para pelajar daripada keluarga yang kurang berada dan juga pelajar kurang upaya. Ada daripada pelajar ini bapa mereka bekerja sebagai tukang sapu, pemandu lori, nelayan, peniaga kedai kopi dan pelajar yang kurang upaya pula terdiri daripada mereka yang berkerusi roda, cacat penglihatan dan pelajar lembam.
Dengan pendapatan yang sederhana itulah keluarga terus disara oleh ibu bapa dalam menyekolahkan anak-anak mereka dan makan minum. Fikirkanlah ada keluarga para pelajar ini yang berpendapatan sekadar RM300 sebulan dan pendapatan sedemikian digunakan untuk menyara anak yang ramai. Ibu bapa terbabit terus tabah menyara keluarga mereka demi untuk meneruskan kehidupan.
Kemiskinan dan kesempitan hidup keluarga telah dijadikan sebagai pendorong kuat dan pembakar semangat oleh para pelajar tadi untuk belajar bersungguh-sungguh dan meraih kejayaan cemerlang. Ada yang berkata ia melihat bapa dan ibu bekerja teruk setiap hari untuk menyara keluarga dan ada di antara pelajar ini pergi ke sekolah dengan mengayuh basikal sejauh kira-kira dua kilometer. Faktor-faktor inilah yang menjadikan para pelajar belajar dengan bersungguh-sungguh dan meraih kejayaan cemerlang.
Kita tidak merasa pelik di atas pencapaian cemerlang para pelajar daripada keluarga golongan kaya dan berada dan menghuni di bandar besar seperti Kuala Lumpur sebab ibu bapa mereka mampu memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak mereka.
Dalam konteks ini, pencapaian yang diperoleh oleh para pelajar daripada keluarga kurang berada juga mampu mencapai kejayaan cemerlang sama seperti pelajar daripada keluarga berada. Pokok pangkalnya berkisar kepada usaha gigih yang perlu ditunjukkan oleh seseorang pelajar itu sendiri dan tiada korelasi boleh dikaitkan secara langsung kalau keluarga berada pelajar berkenaan mesti mendapat keputusan cemerlang.
Sesungguhnya Allah s.w.t itu Maha Adil dan Saksama, akan memberi kejayaan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki tanpa mengira status sama ada ia kaya atau miskin. Yang penting seseorang itu perlu berusaha gigih dan kemudian memohon kepada-Nya. Allah s.w.t sama sekali tidak mendiskriminasi manusia itu dan manusia perlu adil kepada dirinya dengan bekerja keras ke atas setiap apa yang dilakukan. Sesuatu kejayaan itu sebenarnya tidak mengenal status kehidupan sesebuah keluarga. Apa jua status sesebuah keluarga tiada kena-mengena secara langsung ke atas pencapaian cemerlang seseorang pelajar itu.
* HAMDAN AHMAD ialah Timbalan Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
0 Komentar untuk "Kejayaan tidak mengenal status kehidupan"