ISLAMABAD 20 Nov. – Bekas Perdana Menteri Pakistan dalam buangan, Nawaz Sharif mengajak Benazir Bhutto, seorang pemimpin pembangkang lain, supaya memboikot pilihan raya umum yang bakal diadakan pada 8 Januari ini setelah menolak untuk mengadakan perbincangan dengan Presiden Pervez Musharraf.
Kenyataan Nawaz ketika dalam perbualan telefon dengan AFP, sewaktu Pakistan terus dilanda “demam politik” dengan Pervez bergelut dengan seteru beliau mengenai pengisytiharan darurat.
Pervez berlepas ke Arab Saudi hari ini untuk berunding dengan Raja Abdullah tentang krisis politik Pakistan.
Lawatan mengejut dua hari itu telah menimbulkan spekulasi hangat bahawa Pervez mungkin akan cuba berdamai dengan musuh ketatnya, Nawaz Sharif yang beliau singkirkan dalam rampasan kuasa 1999.
Nawaz bagaimanapun, enggan mengadakan sebarang pertemuan dengan individu yang bertanggungjawab menggulingkan beliau lapan tahun lalu itu.
“Saya tidak bersedia bertemu dengan Pervez setelah beliau mengganggu badan kehakiman, menekan media dan menggantung perlembagaan.
“Pakistan perlu bersedia menentang pemerintahan ditaktor,” tegas Nawaz dari kediaman beliau di Jeddah.
Tambah beliau, Pervez telah cuba menghubunginya tiga kali sejak dua bulan lalu untuk mengadakan pertemuan empat mata tetapi ia ditolak bulat-bulat.
Nawaz sebelum ini hanya menjejakkan kaki di Pakistan selama beberapa jam sebelum sekali lagi diusir ke Arab Saudi pada September lalu.
Pada masa yang sama, Nawaz menyatakan bahawa rundingan untuk menubuhkan barisan pembangkang telah menunjukkan kemajuan dalam agenda untuk menentang Pervez.
– AFP
0 Komentar untuk "Boikot pilihan raya 8 Januari -- Nawaz cari sokongan Benazir, tolak bertemu Pervez"