Tiga didakwa bunuh Wahab Akhbar - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Tiga didakwa bunuh Wahab Akhbar


Tiga suspek yang disyaki terlibat dalam letupan di luar bangunan Kongres Filipina menunggu pendakwaan dibuat ke atas mereka di Jabatan Kehakiman Manila, semalam. – AP.

MANILA 19 Nov. – Polis Filipina hari ini memfailkan aduan membunuh terhadap tiga lelaki yang ditangkap berhubung serangan bom yang meragut nyawa seorang anggota Kongres dan tiga yang lain di luar bangunan Kongres minggu lepas.

Salah seorang suspek itu dikenal pasti sebagai bekas pemandu seorang musuh politik bagi Ahli Dewan Perwakilan, Wahab Akbar yang terbunuh dalam serangan itu.

Wahab dari wilayah Basilan, selatan negara ini terbunuh bersama-sama tiga kakitangan Kongres dalam letupan di luar Dewan Perwakilan pada 13 November lalu.

Seramai 12 lagi cedera dalam serangan tersebut.

Pendakwa Raya, Peter Ong berkata, polis memfailkan empat aduan membunuh dan 12 aduan percubaan membunuh di Jabatan Kehakiman.

Pihak pendakwa menetapkan perbicaraan awal pada 29 November ini untuk menentukan sama ada bukti mencukupi untuk mendakwa suspek secara rasmi, katanya Ong.

Ketua Polis Negara, Avelino Razon memberitahu, siasatan akan diteruskan sehingga dalang serangan bom itu dikenal pasti.

Seorang musuh politik Wahab, bekas Ahli Dewan Perwakilan, Gerry Salapuddin membuat kenyataan rasmi kepada penyiasat semalam untuk menafikan spekulasi kononnya beliau terlibat kerana salah seorang suspek, Ikram Indama pernah menjadi pemandu peribadinya.

Razon berkata, Gerry bukan suspek pada waktu ini.

Ikram dan dua lagi suspek itu ditangkap pada Khamis lalu selepas pihak berkuasa menyerbu sebuah rumah tidak jauh dari Kongres untuk menangkap Pakir Said yang disyaki menganggotai kumpulan Abu Sayyaf.

Pakir dan dua yang lain terbunuh dalam kejadian tembak-menembak sementara tiga lelaki lain menyerah diri.

Pegawai menemui surat penjualan bagi sebuah motosikal yang dikatakan digunakan dalam letupan itu tetapi belum jelas sama ada kumpulan itu bertindak sendirian.

Wahab, 47, pernah dikaitkan dengan Abu Sayyaf tetapi beliau kemudian menyokong kempen tentera untuk menghancurkan kumpulan itu.

Beliau juga mengetuai sebuah dinasti politik berpengaruh yang mentadbir wilayah Basilan.

Dalam pilihan raya Mei lalu, salah seorang isteri Wahab menewaskan Gerry dalam perebutan untuk menjadi Gabenor Basilan.

– AP

0 Komentar untuk "Tiga didakwa bunuh Wahab Akhbar"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI