PIAGAM ASEAN MENGESAHKAN PENDEKATAN CARA ASEAN - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

PIAGAM ASEAN MENGESAHKAN PENDEKATAN CARA ASEAN

Rencana Pengarang
PENUBUHAN Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada 8 Ogos, 1967 mulanya dilihat sebagai satu respons atau tindak balas negara-negara menyokong pasaran bebas atau idea kapitalisme terhadap kejatuhan negara-negara Indo-China kepada fahaman komunis pada masa era Perang Dingin Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet.

Namun, selepas kejatuhan serta perpecahan Kesatuan Soviet pada 1991, kebimbangan terhadap kesan domino yang dikhuatiri berlaku di Asia Tenggara ekoran kejatuhan Vietnam, Laos dan Kemboja kepada komunisme seakan-akan menyatukan negara-negara di rantau ini ke dalam satu persatuan yang unik dan berpotensi.

Selepas 40 tahun ‘tidur bersama tetapi bermimpikan impian berbeza’, ASEAN terus mengorak langkah lebih teguh dan sangat berani dengan menandatangani sebuah piagam yang akan mengikat dan menggabung kesemua 10 negara Asia Tenggara di dalam satu hala tuju serta masa depan bersama.

Piagam ASEAN, yang dimeterai di Singapura hari ini (20 November 2007), akan memberi identiti perundangan kepada badan serantau ini, sekali gus membolehkan pembentukan sebuah komuniti serantau yang lebih jitu lagi mantap dalam segenap bentuk – ekonomi, sosial dan politik.

Piagam 13 bab (yang ditandatangani pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-13) itu menggariskan komitmen 10 negara anggota untuk bersatu di bawah satu visi, satu identiti dan satu komuniti.

Ia menegaskan kembali prinsip-prinsip asas kerjasama serta kejayaan ASEAN untuk hormat menghormati dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman rakan anggota, di samping mengutamakan kepentingan proses konsensus (persetujuan ramai) dalam membuat sebarang keputusan. Inilah cara ASEAN.

Untuk menggapai pencapaian bersejarah ini bukanlah merupakan satu perjalanan yang tidak berliku dan tanpa cabaran getir mahupun pahit.

Namun, jalan di hadapan ASEAN tidak semesti ‘panas hingga ke petang’ selepas ini kerana akan ada ‘hujan pada tengah hari’.

Isu nilai demokrasi serta hak asasi manusia bakal mewarnai serta mencorakkan percaturan para pemimpin dalam mengemudikan bahtera ASEAN ini, apatah lagi selepas penubuhan badan hak asasi manusia peringkat serantau.

Insiden penentangan terhadap kerajaan junta tentera di Myanmar, yang menuntut lebih banyak kebebasan, akan menjadi ukuran pertama ASEAN ke arah melahirkan Satu Komuniti ASEAN yang diharap-harapkan itu.

Cara ASEAN menyelesaikan masalah – ‘bagai menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan terserak’ – wajar dijadikan Peraturan Perdana (Prime Directive) ASEAN.

Jangan kerana ingin menggembirakan pihak luar, kesepaduan dan kesepakatan ASEAN tercalar.

Keamanan dan kestabilan ASEAN melangkaui sempadan negara serta serantau. Ia berjaya membawa kemakmuran dan kemewahan hari ini. Cara ASEAN sudah terbukti.

0 Komentar untuk "PIAGAM ASEAN MENGESAHKAN PENDEKATAN CARA ASEAN"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI