Laksana segera skim bantu pekerja diberhenti - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Laksana segera skim bantu pekerja diberhenti

CADANGAN mewujudkan skim bantuan khas khusus untuk pekerja yang diberhentikan tanpa mendapat sebarang pampasan adalah satu lagi langkah bagi melindungi pekerja daripada terus menghadapi masalah menyara diri dan keluarga selepas tidak lagi bekerja. Skim yang sedang dirumuskan itu akan menawarkan bantuan dalam bentuk kewangan dan latihan semula sementara pekerja berkenaan mendapat pekerjaan lain. Jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Sumber Manusia menyarankan majikan menyumbang RM1 sebulan bagi setiap kakitangan kepada skim jaringan sosial itu manakala pihak pekerja pula mencarum 50 sen. Langkah itu, selain membantu pekerja menghadapi masa depan jika syarikat mereka muflis atau dibeli syarikat lain, juga menghindari keadaan di mana subsidi terpaksa diberikan kepada majikan yang tidak cekap atau melakukan kesilapan di dalam pengurusan sehingga mengakibatkan kerugian dan syarikat gulung tikar.

Konsep tabungan mirip kepada Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu dilihat praktikal dan kerana carumannya turut disumbang oleh pekerja selain majikan. Ini bermakna, wujud kerjasama kedua-dua pihak dalam menjaga kebajikan pekerja andainya berlaku penutupan syarikat yang mengakibatkan kehilangan pekerjaan tanpa sebarang pampasan. Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn ketika mengumumkannya kelmarin bagaimanapun berkata, bantuan itu hanyalah berbentuk sementara untuk mereka yang hilang pekerjaan bukan disebabkan kesilapan sendiri tetapi kerana faktor ekonomi ataupun berikutan kegiatan penggabungan atau pengambilalihan syarikat.

Kita percaya jawatankuasa khas yang dianggotai wakil kementerian serta wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) akan membincangkan perkara itu dengan lebih teliti dan rasional agar tidak berlaku rumah sudah siap tapi pahat masih berbunyi. Jawatankuasa itu harus memutuskan tempoh dan jumlah sumbangan kewangan yang layak diterima pekerja yang diberhentikan serta jenis latihan semula yang akan diadakan. Mengikut perancangan awal, bantuan mungkin akan diberikan bagi tempoh enam bulan selepas pemberhentian kerja agar pekerja terbabit mempunyai masa mencukupi untuk mencari pekerjaan lain. Yang pasti, bantuan itu bukannya bantuan pengangguran seperti yang diberikan kepada penganggur setiap minggu di sesetengah negara maju. Kerajaan sudah tentunya tidak boleh menanggung golongan yang sengaja enggan bekerja dan mengharapkan bantuan semata-mata. Peluang pekerjaan di negara ini sentiasa terbuka luas asalkan ada usaha, minat dan bersikap rajin.

Bantuan berkenaan juga bukan bagi mereka yang diberhentikan kerana masalah disiplin atau berhenti dengan sengaja untuk mencari pekerjaan lain. Dalam merumuskan skim berkenaan, adalah penting ia turut menekankan kepentingan latihan semula dalam industri yang pernah diceburi pekerja yang diberhentikan itu supaya tidak timbul masalah ketidakserasian. Langkah itu sudah tentunya dapat meringankan beban pekerja sebagai persediaan sekiranya berlaku lagi kemelut ekonomi seperti yang pernah dialami dunia sebelum ini yang menjejaskan sektor industri dan perkilangan. Bagi melancarkan pelaksanaannya tanpa masalah, adalah wajar cadangan itu diperhalusi terlebih dulu dengan mengambil kira pelbagai aspek berkaitan. Ia juga memerlukan persetujuan semua pihak terbabit dan tidak dipertikaikan oleh mana-mana majikan seperti sokongan kepada Perkeso dan KWSP sekarang.
0 Komentar untuk "Laksana segera skim bantu pekerja diberhenti"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI