AWANG terpanggil mengulas laporan akhbar semalam tentang Malaysia masih ketinggalan dalam pasaran global halal.
Di sebalik kita banyak bercakap tentang industri halal, pencapaian negara ini masih jauh di belakang biarpun berbanding dengan negara bukan Islam seperti Thailand.
Negara jiran itu kini menjadi pengeksport ayam halal terbesar dari rantau ini ke Asia Barat. Keseluruhan eksport produk halal Thailand berjumlah AS$6.8 bilion.
Filipina juga makin bergerak pantas memperkasakan industri halal mereka di Mindanao. Begitu juga Indonesia dan Brunei.
Apa sudah jadi dengan Malaysia? Kita ada banyak kelebihan termasuk pensijilan dan logo halal yang lebih diyakini masyarakat Islam dunia tetapi gagal dimanfaatkan.
Awang juga sedih kerana industri halal di negara ini dikuasai lebih 80 peratus bukan Islam. Maknanya, untuk menyediakan dan membekal produk halal kita terpaksa bergantung kepada bukan Islam.
Apakah umat Islam di negara ini hanya selesa dan layak menjadi pengguna produk halal sahaja? Atau kita masih belum buka mata terhadap potensi hebat industri tersebut?
Awang – Cemburui Thailand.
0 Komentar untuk "BISIK-BISIK AWANG SELAMAT"