Beri kemahiran khusus murid lemah UPSR - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Beri kemahiran khusus murid lemah UPSR

Pendapat
HAKIKAT bahawa selama ini penekanan terlalu diberikan kepada murid cemerlang dalam apa peperiksaan awam sekalipun adalah benar hinggakan kita mengasingkan dan meminggirkan murid lemah dan lembam khusus dari segi jaminan masa depan mereka.

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini sahaja menyaksikan 20,856 murid (4.2 peratus) memperoleh gred D dan E bagi kesemua lima subjek yang diambil, suatu peratusan yang tidak wajar dipandang ringan dan sambil lewa. Angka tahun lepas ialah 19,960 (4.0 peratus) sementara tahun 2005 ialah 21,033 (4.2 peratus).

Yang lebih malang lagi apabila 5,012 murid daripada jumlah ini memperoleh gred E bagi tiap-tiap subjek. Biarpun jumlahnya sekitar 1.0 peratus daripada 500,786 calon akan tetapi jika situasi begini berlarutan tahun demi tahun, jumlahnya pasti menganjak angka puluhan ribu menjelang 2010.

Pasti jumlahnya lebih besar jika murid yang mendapat Gred D diambil kira.

Unjuran ini dibuat kerana tahun 2005 menyaksikan peratusan yang sama, biarpun tahun 2006 mencatatkan 0.7 peratus ataupun 3,437 murid yang menduduki ujian berkenaan.

Yang memperoleh gred A bagi kelima-lima subjek yang berjumlah 48,400 itu menimbulkan masalah lain pula apabila 42,400 bakal kecewa tidak terpilih ke sekolah asrama penuh disebabkan kekurangan tempat.

Keghairahan ibu bapa agar anak mereka yang memperoleh markah cemerlang seperti 5A ini terpilih ke sekolah berasrama penuh sudah menjadi aliran sejak sekian lama. Tidak pula dinafikan ada kalangan ibu bapa yang tidak berkeinginan begitu kerana masalah buli seperti yang dilaporkan media sedikit waktu dulu.

Kementerian Pelajaran diberitakan memberi tumpuan khusus kepada murid lembam dengan mengasingkan mereka daripada murid biasa serta diberi pengajaran dan pembelajaran khusus.

Sajikan apa juga kemudahan infrastruktur di sekolah, murid lembam begini tidak akan berubah apa-apa jika kemahuan mereka hendak belajar bersungguh-sungguh sudah terhakis habis daripada fakulti fikiran. Ibu bapa dan guru pula mengambil sikap dingin terhadap mereka.

Pastinya, kelemahan dari segi penguasaan aspek asas pengejaan, pembacaan dan pembacaan yang menjadi akar tunjang kepada masalah ini. Ibu bapa memang prihatin, akan tetapi hendak buat apa lagi kalau ilmu yang diberi ibarat mencurahkan air di daun keladi.

Ibu bapa dan penjaga tidak wajar berasa kecewa dan cepat berputus asa apabila berhadapan dengan situasi anak seperti ini. Sama juga dengan masalah yang meremukkan perasaan segolongan ibu bapa apabila anak yang cemerlang tidak terpilih ke asrama penuh.

Kedua-dua kelompok ini menghadapi kekecewaan yang ketara.

Kegagalan bukanlah berakhir segala-galanya dalam hidup. Tidak sesuatu pun akan tercapai tanpa kepercayaan diri. Formula untuk berhasil adalah sederhana: Keyakinan + Usaha = Kemajuan.

Justeru murid lembam tidak wajar diabai dan dipinggirkan sebab mereka dapat menjadi aset penting kepada pembinaan dan pembangunan negara. Pastinya segala nasihat, tunjuk ajar, bimbingan, kaunseling dan galakan rangsangan datangnya daripada persekitaran yang kondusif kepada pengajaran dan pembelajaran.

Pendidikan berorientasi peperiksaan hendaklah diubah secara beransur-ansur kepada orientasi pembangunan murid berdasarkan bakat dan kemahiran mereka.

Ibu bapa selaku mentor perlu bertindak lebih proaktif dengan menyediakan buku kerja dan latihan tambahan kepada anak yang gagal menguasai 3M.

Tidak keterlaluan dikatakan golongan inilah perlu diberi kursus kemahiran tertentu sejak awal lagi. Mereka ini akan dapat menggantikan tempat pekerja asing bagi menjayakan sektor pertanian, perladangan dan pembinaan.

– DR. ILIAS ZAIDI,

Gombak, Selangor.

0 Komentar untuk "Beri kemahiran khusus murid lemah UPSR"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI