|
|
ISLAMABAD 19 Nov. – Mahkamah Agung Pakistan yang dianggotai para hakim pilihan Presiden Pervez Musharraf hari ini menolak lima petisyen utama yang mencabar kemenangan beliau dalam pemilihan Presiden pada Oktober lalu.
Peguam Negara, Malik Mohammad Qayyum ketika mengumumkan keputusan itu memberitahu, satu petisyen lagi akan didengar pada Khamis ini.
“Terdapat lima petisyen dan semuanya telah ditolak.
“Hanya tinggal satu lagi yang akan didengar pada Khamis ini,” kata Malik.
Pervez yang mengisytiharkan perintah darurat pada 3 November lalu telah menyatakan, beliau akan meletakkan jawatan sebagai ketua tentera dan mengangkat sumpah sebagai Presiden awam sebaik sahaja mahkamah mengesahkan kemenangan beliau.
Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto sebelum itu mengumumkan, mereka telah menarik balik petisyen mereka dalam kes itu atas alasan mereka tidak mengiktiraf mahkamah yang mengangkat sumpah di bawah perintah darurat.
Bekas Ketua Hakim, Iftikhar Muhammad Chaudhry dan kebanyakan hakim lain enggan mengangkat sumpah di bawah perintah tersebut.
Pembangkang mendakwa Pervez mengisytiharkan perintah darurat kerana khuatir keputusan mahkamah tidak akan memihak kepada beliau.
Sementara itu ketika tekanan makin meningkat untuk negara ini kembali ke landasan demokrasi, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 8 Januari ini sebagai tarikh pilihan raya. Bagaimanapun tidak ada tanda menunjukkan Presiden merancang untuk menarik balik perintah darurat sebelum pengundian itu.
Dalam kenyataan pertamanya sejak pertemuan dengan Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Negroponte, Pervez berjanji pilihan raya itu nanti adil tetapi beliau turut mempertahankan perintah darurat yang menyaksikan ribuan penentang beliau dipenjarakan, para hakim dipecat dan media disekat.
“Saya mengambil keputusan ini demi kepentingan Pakistan,” kata Pervez dalam satu majlis lewat semalam untuk merasmikan pembukaan sebuah jambatan di bandar pelabuhan Karachi.
Menurut Presiden, beliau boleh mengambil jalan lebih mudah dengan mengundurkan diri.
“Tetapi tindakan itu bukan pendekatan yang betul kerana saya tidak sanggup melihat negara ini hancur di depan mata selepas begitu banyak kejayaan dicapai dan ekonomi kembali pulih,” kata beliau kepada agensi berita rasmi.
Terdahulu, tokoh-tokoh pembangkang berkata, mereka tidak menaruh sebarang harapan terhadap Mahkamah Agung yang bersidang hari ini kerana semua hakimnya berpendirian bebas sudah disingkirkan. Tiada keputusan dijangka dikeluarkan hari ini.
Parti-parti pembangkang juga mengancam memboikot pilihan raya 8 Januari itu dengan menyifatkannya sebagai tidak sah selagi anggota mereka ditahan dan kebebasan mereka berkumpul disekat.
Mereka turut mempertikaikan pendirian berkecuali kerajaan sementara yang dilantik oleh Pervez minggu lepas.
Sementara itu, legenda kriket Pakistan yang menceburi politik, Imran Khan hari ini melancarkan mogok lapar dalam penjara kerana mahu hakim-hakim yang dipecat di bawah perintah darurat, dikembalikan jawatan mereka, kata bekas isterinya, Jemima Khan dalam emel dari London kepada The Associated Press.
Imran ditahan oleh polis minggu lepas setelah keluar dari persembunyian bagi mengetuai perarakan pelajar bagi memprotes tindakan Pervez mengisytihar darurat pada 3 November lalu.
– Agensi
0 Komentar untuk "Hakim tolak lima petisyen utama -- Sidang tentukan nasib Pervez bermula"