Time dotCom terima nafas baru - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Time dotCom terima nafas baru

Oleh Aishah Azman

RABU lalu, Time dotCom memeterai perjanjian pakatan perniagaan dengan DiGi.Com Bhd. (DiGi) yang menyaksikan DiGi mengemukakan tawaran untuk memperoleh spektrum telekomunikasi generasi ketiga (3G) daripada Time dotCom.

Sebagai pertukaran, Time dotCom akan memiliki 27.5 juta saham baru DiGi bernilai RM649 juta, mewakili 3.5 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat telekomunikasi itu.

Susulan perjanjian itu, Telenor SA, iaitu pemegang saham utama DiGi dengan pegangan 61 peratus menawarkan kepada Time dotCom untuk membeli 50.25 juta saham tambahan dalam DiGi, menjadikan jumlah pegangannya dalam syarikat telekomunikasi itu kepada 10 peratus.

Pengerusi Time dotCom, Datuk Wan Muhamad Wan Ibrahim menjelaskan, langkah penukaran itu adalah wajar dan strategik kerana ia membolehkan syarikat itu meraih manfaat daripada pasaran telekomunikasi mudah alih yang sedang pesat berkembang bersama DiGi.

Perjanjian ini boleh dikatakan ‘rundingan bijak’ apabila kedua-dua pihak menggunakan kaedah perkongsian pintar bagi menyelesaikan masalah dengan berkongsi risiko dengan syarikat lain iaitu DiGi.

Langkah ini membolehkan aset cukup bernilai dalam bentuk lesen 3G dikongsi bersama. Ini bermakna DiGi boleh memanfaatkan rangkaian optik gentian Time dotCom yang luas di seluruh negara bagi tempoh permulaan selama sekurang-kurangnya tiga tahun.

Dengan perjanjian ini juga, pengguna tidak lama lagi akan mendapat penyedia 3G yang ketiga.

Kehadiran penyedia 3G yang kian membesar ini, ia meningkatkan saingan kalangan operator telekomunikasi dan faedahnya bakal diraih oleh para pengguna kerana ia akan mempengaruhi penurunan harga, meningkatkan kualiti serta menyebar luas perkhidmatan telekomunikasi.

Kejayaan perkongsian pintar ini telah memberi nafas baru kepada Time dotCom yang mengalami tahun-tahun suram. Time dotCom bersama-sama pemegang saham terbesarnya, Khazanah Nasional Berhad, nyata sekali telah mengambil pendekatan inovatif dan kolaboratif dalam menyelesaikan masalah syarikat tersebut.

Kerjasama

Perjanjian kerjasama ini menunjukkan bahawa Khazanah telah memenuhi janjinya dimana ia akan mencari jalan penyelesaian bagi syarikat-syarikat yang bermasalah dibawah naungannya.

Jangan lupa, Khazanah, sebuah badan pelaburan kerajaan, pada Jun lalu berhasrat untuk melengkapkan proses penstrukturan tiga syarikat di bawah portfolio pelaburannya iaitu Proton Holdings Bhd., Time Engineering Bhd. dan Malaysian Airports Holdings Bhd. (MAHB), selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Khazanah mempunyai rekod kejayaan apabila memulihkan masalah kewangan beberapa syarikat yang suatu ketika dulu begitu tenat.

Daripada 11 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang melalui proses penstrukturan semula, lapan daripadanya mencapai tahap diinginkan.

Lapan syarikat itu ialah Penerbangan Malaysia Berhad (MAS), RHB Bank, Silterra, Malaysian Technology Development Corporation Sdn. Bhd. (MTDC), Uda Holding Bhd., Northern Utility, CCT dan Tradewinds.

Dalam membantu menyelesaikan kemelut kesemua syarikat ini, Khazanah tidak hanya melihat dari segi untung kewangan tetapi juga menjaga kepentingan strategik, iaitu membangunkan sosioekonomi negara.

Ini dapat dilihat melalui pakatan Time dotCom – DiGi, dimana syarikat telekomunikasi Norway, Telenor yang juga merupakan pemegang saham terbesar DiGi telah mengurangkan kepentingannya daripada 61 peratus kepada 49 peratus dalam usaha mematuhi keperluan ekuiti Malaysia.

Kini, Time dotCom mampu berdaya saing dengan penstrukturan semula ini dan ia merupakan syarikat pertama yang akan menerima manfaat janji oleh Khazanah.

Melalui perjanjian Time dotCom dan DiGi itu maka kerja-kerja syarikat dan pembekal bumiputera dalam Time dotCom akan dikekalkan. Malah inilah peluang bagi syarikat bumiputera berkenaan untuk menambah nilai kemahiran telekomunikasi dan menjadi lebih berdaya saing menerusi Time dotCom.

Perjanjian yang menerapkan konsep inovatif ini dilihat memberi kebaikan dari segi peraturan pada masa akan datang.

Ini kerana di samping menjalinkan perkongsian pintar antara Time dotCom dengan DiGi, kerajaan juga dapat menguatkuasakan peraturan pegangan saham asing di dalam syarikat tempatan.

0 Komentar untuk "Time dotCom terima nafas baru"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI