Khieu Samphan ditahan tribunal - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Khieu Samphan ditahan tribunal

PHNOM PENH: Tribunal penghapusan kaum di Kemboja menahan bekas Ketua Negara Khmer Rouge semalam selepas beliau dibenarkan keluar dari sebuah hospital di ibu negara, kata pihak berkuasa.

Khieu Samphan, 76, adalah pegawai kanan Khmer Rouge kelima ditahan oleh tribunal yang lama ditangguhkan menjelang perbicaraan yang dijangka tahun depan.

Polis mengiringi Khieu Samphan dari hospital Phnom Penh dengan membantu memimpin tangannya dan membawa beliau ke sebuah kereta polis yang meluncur laju bersama satu konvoi enam kenderaan polis sebelum seorang jurucakap tribunal mengesahkan penahanannya.

Khieu Samphan dimasukkan ke hospital Rabu lalu untuk rawatan akibat strok.

“Khieu Samphan, bekas ketua negara Demokratik Kampuchea ditahan,” kata jurucakap tribunal, Reach Sambath merujuk kepada nama Kemboja ketika rejim Khmer Rouge.

Katanya, satu kenyataan bersama maklumat lanjut akan disiarkan kemudian. Penahanan Khieu Samphan oleh tribunal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah dijangka.

Sebelum ini, isteri Khieu Samphan berkata suaminya tidak akan menyerah diri secara sukarela kepada tribunal pembunuhan beramai-ramai.

“Dia akan ke tribunal jika ada perintah, bila ada waran,” kata Sor Socheat sehari selepas dua ahli dalaman rejim ditahan secara rasmi oleh tribunal.

Tribunal terbabit sudah menahan empat rakan beliau untuk berhadapan dengan perbicaraan pembunuhan beramai-ramai ketika pemerintahan rejim mulai 1975-1979 yang membawa kepada kematian sejumlah 1.7 juta penduduk.

Minggu lalu, pihak berkuasa menahan Ieng Sary, bekas Menteri Luar Khmer Rouge dan isterinya, Ieng Thirith, Menteri Hal Ehwal Sosial.

Kedua-dua mereka didakwa dengan jenayah kemanusiaan manakala Ieng Sary turut didakwa melakukan jenayah perang.

Tribunal berkenaan menempatkan mereka dalam tahanan sementara sehingga setahun.

Dua lagi suspek, bekas ideologis Khmer Rouge, Nuon Chea dan Kaing Guek Eav yang juga dikenali sebagai Duch ditahan awal tahun ini atas dakwaan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan.

Penahanan suspek Khmer Rouge berlaku hampir tiga dekad selepas kumpulan terbabit hilang kuasa tetapi kebanyakan bimbang jika suspek yang sudah berusia akan mati sebelum sempat dibawa ke mahkamah untuk didakwa atas kesalahan yang dilakukan mereka. – AP
0 Komentar untuk "Khieu Samphan ditahan tribunal"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI