Petronas teroka 5 benua - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Petronas teroka 5 benua

Oleh Mustafa Kamal Basri (WARTAWAN UTUSAN)

PADA 15 November lalu, Petronas International Corporation Ltd. (PICL) telah mengambil alih 9.293 juta saham atau 9.99 peratus kepentingan dalam syarikat penyimpanan gas Britain, Star Energy Group Plc, pada harga 365 pence sesaham.

Pengambilan alih terbaru yang diumumkan di London itu akan menyaksikan jumlah pegangan PICL, anak syarikat milik penuh Petronas dalam Star Energy meningkat sebanyak kira-kira 39 peratus.

Itu bukan satu-satunya kejayaan yang telah dicapai oleh Petronas sejak ditubuhkan pada 1974.

Banyak kejayaan lain yang telah dicapai oleh Petronas sejak ia memperhebatkan kegiatan pelaburan dan penerokaannya dalam tempoh dua dekad lalu.

Jika dilihat kepada perkembangan semasa industri minyak berikutan kenaikan harga komoditi itu yang hampir mencecah AS$100 setong, langkah Petronas mempelbagaikan kegiatan dan pelaburan, merupakan satu langkah yang rasional.

Di dalam negara, usaha penerokaan tanpa henti telah membawa kejayaan, apabila Petronas menemui sumber baru di kawasan Kikeh di luar perairan Sabah pada 2002, terletak di Blok K, kira-kira 210 kilometer dari Kota Kinabalu.

Medan minyak laut dalam itu sudah pun memulakan operasi sejak 17 Ogos lalu dengan pengeluaran awal sebanyak purata 20,000 tong sehari dan dijangka mampu mencecah sehingga 120,000 tong sehari menjelang hujung tahun 2008.

Murphy Oil Corporation merupakan pengendali lapangan itu dengan memiliki 80 peratus kepentingan, manakala Petronas Carigali Sdn. Bhd. memegang selebihnya.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Mohd. Hassan Marican, penemuan kawasan minyak laut dalam yang baru itu masih belum mencukupi kerana permintaan dalam negara yang dijangka terus meningkat dan sumber yang sedia ada akan terus berkurangan dan akhirnya akan habis.

Pada masa ini, permintaan minyak di dalam negara adalah sebanyak 84 juta tong sehari dan pada tahun 2012 pula sebanyak 120 juta tong sehari, katanya.

Sekiranya pertumbuhan permintaan minyak dalam negara meningkat pada kadar empat peratus setahun secara purata, Malaysia akan menjadi negara pengimport minyak menjelang tahun 2010, tambah beliau.

Begitu juga dengan sumber gas negara dijangka akan turut berkurangan.

Kini, Petronas terus berkembang menjadi sebuah syarikat perbadanan minyak dan gas yang berdaya saing sehingga disenaraikan dalam Fortune Global sebagai antara 500 entiti perniagaan terbesar di dunia.

Kegiatan Petronas telah meluas sehingga kepada industri perkapalan dan pelaburan hartanah, selain telah melabur di lebih 33 negara.

Pada tahun ini, Petronas mencatat keuntungan sebelum cukai tertinggi dalam sejarahnya berjumlah RM76.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2007, berbanding keuntungan RM69.4 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

“Prestasi kewangan dan operasi yang memberangsangkan ini membuktikan kejayaan strategi integrasi, nilai tambah dan globalisasi kumpulan,” kata Mohd. Hassan.

Dari segi saiz hasil kewangan pula, Petronas berada antara 30 firma petroleum terbesar di dunia dengan menjana pendapatan setanding dengan syarikat minyak ketiga terbesar di Amerika Syarikat, ConocoPhillips.

Majalah Fortune sebelum ini juga telah menyenaraikan Petronas di tangga ke-18 di kalangan 20 syarikat yang membuat keuntungan paling tinggi di Asia dengan aset berjumlah AS$85.2 bilion.

Brand Finance Plc., firma penilaian bebas yang berpangkalan di London pula mengumumkan syarikat petroleum nasional itu sebagai jenama Malaysia paling berharga dengan nilai berjumlah RM7.51 bilion, daripada jumlah nilai 50 jenama utama Malaysia yang keseluruhannya bernilai RM60.19 bilion dan diberi penarafan jenama ‘AAA’.

Kejayaan-kejayaan Petronas terbaru ialah menerusi anak syarikatnya, Petronas Australia Pty. Ltd. yang mengumumkan cadangan untuk mengambil alih dua anak syarikat Woodside Energy Pty. Ltd. (Woodside Energy) dari Australia pada harga RM1.43 bilion atau AS$418 juta.

Proses pengambilan alih kedua-dua anak syarikat Woodside Energy, Woodside Mauritania Pty. Ltd. dan WEL Mauritania BV itu dijangka selesai bulan ini.

Petronas berkata, pengambilan alih berkenaan ada kaitan dengan kepentingan dalam lapan kawasan huluan di Mauritania yang mempunyai potensi signifikan minyak dan gas di benua Afrika.

Woodside Energy merupakan firma senaraian awam terbesar dalam aktiviti penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas dari Australia yang mempunyai modal pasaran sebanyak AS$26.5 bilion dan menjalankan aktiviti penerokaan di 12 negara.

Petronas juga telah menandatangani perjanjian bernilai Euro 1 bilion (RM4.85 bilion) untuk menguasai keseluruhan kepentingan dalam syarikat pengeluaran dan pemasaran minyak pelincir terbesar di Eropah.

Petronas berkata, syarikat minyak pelincir iaitu FL Selenia SpA (FL Selenia) diambil alih daripada firma pelaburan Amerika Syarikat (AS), Kohlberg Kracis Roberts & Co. LP.

Di India pula, Petronas sedang mempersiapkan diri untuk menguasai sekurang-kurangnya 10 peratus pasaran minyak pelincir di India yang bernilai kira-kira RM13.84 bilion (AS$4 bilion) setahun.

Petronas turut bersaing bersama-sama ConocoPhillips, firma penapis minyak kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS), BP Plc. serta SK Corp. dari Korea Selatan untuk membida projek pembinaan kemudahan simpanan gas petroleum cecair (LPG) PT Pertamina, yang berkeupayaan menyimpan 120,000 tan metrik LPG.

Petronas dan SK Corp. telah pun menghantar tawaran untuk membina loji LPG di Jaya Timur, kata Pengarah Pemasaran Pertamina, Achmad Faisal di Jakarta, Indonesia pada Ogos lalu.

Pembinaan kemudahan simpanan itu dijangka siap pada tahun 2010, kata Faisal.

Dalam industri gas, anak syarikat Petronas - Petronas Carigali pula memperluaskan penglibatannya dalam Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA).

PTTEPI Operating Company (CPOC) firma usaha sama Petronas Carigali dan PTTEP International Ltd. menawarkan kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pelaksanaan sebahagian projek luar pantai dalam MTJDA bernilai RM290 juta kepada Oilcorp Bhd., menerusi anak syarikatnya, Oilfab Sdn. Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Oilfab, Datuk Mohamed Hazali Abu Hassan berkata, kontrak itu melibatkan pembinaan beberapa struktur untuk empat pelantar minyak di kawasan berkenaan.

CPOC merupakan pengendali kawasan gas di Blok B-17 yang terletak 171 kilometer dari timur laut Kota Bharu, Kelantan dan 268 kilometer ke timur Songkhla, Thailand.

Sebuah lagi anak syarikat Petronas, Petronas Dagangan Bhd. (PDB) pula mengumumkan hasil jualan PDB dijangka melepasi paras RM20 bilion menjelang berakhirnya tahun kewangan semasa pada 31 Mac 2008, melalui operasi lebih 900 buah stesen minyaknya di seluruh negara.

Selain itu, beberapa negara turut menunjukkan minat untuk menjalinkan kerjasama dan usahasama dengan Petronas.

0 Komentar untuk "Petronas teroka 5 benua"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI