Tamu Selasa: Perkukuh semangat berpasukan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Tamu Selasa: Perkukuh semangat berpasukan

Oleh Hardi Effendi Yaacob bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar

Tahniah di atas pelantikan Datuk sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baru, menggantikan Tan Sri Mohd Najib Abdul Aziz yang bersara 13 November lalu. Apa perasaan Datuk di atas pelantikan ini.

Syukur kepada Allah SWT di atas pelantikan saya sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, jawatan kedua terpenting dalam PDRM. Tentunya saya berbangga dengan pelantikan ini dan terima kasih kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kerana memberi kepercayaan pada saya sebagai timbalan beliau dalam mengemudi pasukan.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan negara dan Suruhanjaya Pasukan Polis yang merestui pelantikan ini. Saya akan berusaha sebaik mungkin bagi mencapai segala visi dan misi untuk terus memajukan pasukan ini.


Datuk sudah 35 tahun berkhidmat dalam PDRM. Pernahkah Datuk terbayang untuk memegang jawatan nombor dua dalam pasukan ini.

Sememangnya sejak memasuki perkhidmatan polis, saya tidak pernah menduga akan sampai ke tahap ini (menjadi Timbalan Ketua Polis Negara). Bagaimanapun, dengan segala pengalaman dan pendedahan di pelbagai peringkat dalam pasukan, termasuk sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman, saya percaya serta yakin dapat melaksanakan tanggungjawab baru ini dengan baik.

Apa yang saya lalui adalah sebagai satu laluan dan perkembangan kerjaya dalam membentuk pemimpin berwibawa dalam pasukan. Ini yang kita rancangkan tetapi yang menentukannya adalah Allah SWT dan saya amat bersyukur di atas kurniaan-Nya.


Datuk dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara ketika PDRM dilanda pelbagai kontroversi. Antaranya, masalah kekurangan anggota dan kelengkapan; kelemahan sistem penyiasatan dan pendakwaan hingga menyebabkan beberapa kes terpaksa digugurkan di mahkamah; gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta perpecahan dalam pasukan. Boleh Datuk komen mengenai perkara ini.

Ini memang sudah dijangka dan tidak dapat dielakkan dalam era globalisasi serta perkembangan teknologi maklumat (ICT), dengan tadbir urus yang baik dan ketelusan kini menjadi satu tuntutan. Berbanding dengan era pembangunan dan perindustrian yang dilalui negara selepas menangani cabaran keselamatan sebaik mencapai kemerdekaan.

Sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, saya akan membantu membangunkan pasukan menjadi sebuah organisasi penguat kuasa undang-undang terulung di dunia, selain bersedia menghadapi cabaran mendatang dengan mengatasi semua kekurangan dan kelemahan yang ada. Jika ada masalah membabitkan pegawai dan anggota kita ketika ini, ia hanya kes terpencil dan tidak menjejaskan imej pasukan secara keseluruhannya, begitu juga usaha menambah baik pasukan yang sedang dijalankan.

Apakah benar PDRM menghadapi masalah perpecahan di kalangan pegawai dan anggota ketika ini disebabkan kewujudan sikap berpuak-puak pada peringkat atasan.

Bukan warga PDRM tidak bersatu, cuma mahu ia diperkukuhkan. Inilah simbol kekuatan sebenar... kita hanya boleh menjadi lebih kuat jika bersatu. Jika berlaku pertelagahan atau perbalahan sekalipun, tidak semestinya kita akan berpecah- belah.

Saya sendiri akan melawat semua ibu pejabat kita pada peringkat daerah dan kontinjen untuk memberikan penjelasan lanjut mengenai konsep 'espirit de corps' dalam pasukan ini. Kita mahu semua pegawai dan anggota memahami secara mendalam konsep semangat berpasukan ini.

Sempena Hari Polis Ke-200, Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri melancarkan Pelan Strategik 5 Tahun PDRM dalam usaha menambah baik pasukan ini, terutama dari segi keperluan peralatan dan kelengkapan, selain pembangunan modal insan. Setakat ini, sejauh mana perkembangan pelaksanaan pelan itu.

PDRM sudah wujud selama 200 tahun dan berada pada landasan kukuh. Bagaimanapun, usaha menambah baik perlulah dilaksanakan sejajar perkembangan semasa. Sekarang inilah masa terbaik untuk pembaharuan pasukan, malah kita sudah menetapkan hala tuju ke arah itu. Justeru, Pelan Strategik 5 Tahun PDRM diwujudkan bagi menjadikan pasukan ini sebuah organisasi yang berintegriti, berdaya saing dan komited bekerja untuk rakyat.

Kita turut menggariskan lima perkara utama bagi membantu pelaksanaan pelan itu termasuk memantap integriti pegawai dan anggota; meningkatkan kualiti perkhidmatan dan budaya kerja; menangani masalah peningkatan jenayah dan kebimbangan masyarakat terhadap jenayah; membendung peningkatan penyalahgunaan dadah serta menangani ancaman keselamatan dalam negeri.

Semua perancangan ini mula dilaksanakan pada 5 April 2007, kira-kira sebulan sebelum PDRM menyambut ulang tahun ke-200, malah semua yang dilantik mengetuai pasukan pelaksanaannya sedang menentukan pelaksanaan awal semua projek dirancangkan bagi memastikan kelancarannya.

Semua projek ini tentunya mengambil masa dan perlu dilaksanakan secara berperingkat. Bagaimanapun, kita berharap ia dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun, sekali gus menghasilkan impak positif terhadap usaha menambah baik pasukan.

Difahamkan, Pelan Strategik 5 Tahun PDRM menampilkan tema 'Ke Arah Terbilang Di Dunia'. Sepanjang pengamatan Datuk, bagaimana tahap pemahaman tema itu di kalangan pegawai dan anggota PDRM setakat ini.

Bagi menentukan tema 'Ke Arah Terbilang Di Dunia' difahami semua pegawai dan anggota, PDRM menjalankan siri jelajah bagi meningkatkan pemahaman mereka terhadap tujuan pasukan mewujudkan tema itu. Bagaimanapun, bagi merealisasikan tema ini, penekanan akan diteruskan dari aspek pembangunan modal insan. Ini penting kerana tanpa pembangunan modal insan, hasrat pucuk pimpinan untuk menjadi pasukan terbilang di dunia tidak akan tercapai dengan berkesan.

Datuk mula menyertai pasukan pada 1971 dalam keadaan pasukan yang serba kekurangan ketika itu. Bagaimana Datuk melihat transformasi yang berlaku dalam pasukan ketika ini berbanding dulu.

Transformasi yang berlaku pada pasukan ketika ini amat ketara sekali. Dulu, kita tidak mempunyai segala bentuk peralatan teknologi terkini dan canggih. Bagaimanapun, mengikut era perkembangan ekonomi negara dan dunia yang begitu pesat membangun, PDRM kini melangkah ke era pembangunan terkini. Saya melihat perkembangan ini sebagai satu yang positif bagi menjadikan pasukan ini sebagai satu organisasi penguatkuasaan yang disegani.

Sebagai 'orang lama' dalam PDRM... 35 tahun berkhidmat sebagai anggota polis, bermula pada peringkat bawahan hingga kini menjadi orang nombor dua dalam pasukan, bagaimana Datuk dapat memberi sumbangan kepada pasukan ini dan apa cabaran utama pegawai dan anggota polis.

Sumbangan kepada pasukan bukan saja dilihat dari segi kita melaksanakan tugas semata-mata. Sebaliknya, ia boleh diberikan dalam bentuk komitmen, dedikasi, keikhlasan dan kejujuran seperti ditekankan oleh pucuk pimpinan PDRM, begitu juga kerajaan.

Bagi PDRM, jenayah masih lagi menjadi cabaran utama, malah perkembangan semasa turut menjadikan penjenayah semakin sofistikated dan tidak mengenal sempadan. Bagaimanapun, kita akan berusaha sebaik mungkin dalam memastikan negara selamat dan rakyat dapat hidup selesa. PDRM turut berhadapan cabaran lain, termasuk kehendak dan keperluan rakyat yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan kepolisan.

Apakah pesanan Datuk terhadap orang ramai, terutama generasi muda yang berminat untuk menjadi seorang pegawai polis.

Yang penting mesti ada minat. Tanpa minat, kita tidak akan berjaya dalam apa saja pekerjaan diceburi. Yang kedua, tahap ketahanan mental dan fizikal mesti tinggi. Ini disebabkan kerjaya seorang pegawai polis menuntut komitmen tinggi, malah kita harus berusaha untuk mewujudkan keamanan dan keselesaan rakyat, bukan sekadar makan gaji dan menikmati segala kemudahan yang disediakan kerajaan.

Lagipun, tugas sebagai pegawai polis adalah satu tugas mulia di mata masyarakat. Besarlah harapan saya untuk melihat lebih ramai anak muda menyertai PDRM dan menjadikannya karier mereka, sekali gus mewujudkan generasi pelapis terhadap pemimpin pasukan hari ini.

0 Komentar untuk "Tamu Selasa: Perkukuh semangat berpasukan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI