Angka kematian ribut Sidr mencecah 15,000 - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Angka kematian ribut Sidr mencecah 15,000

Helikopter tentera bawa biskut berprotein tinggi bantu mangsa

BARGUNA: Angka kematian kemungkinan mencecah sehingga 15,000 manakala tujuh juta penduduk diramalkan terjejas akibat ribut tropika Sidr yang melanda Bangladesh minggu lalu, kata agensi bantuan yang membayangkan jumlah yang akan dicatatkan sebaik saja semua kerja menyelamat selesai.

Kumpulan kemanusiaan utama negara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh berkata bahawa lebih 3,000 mayat sudah ditemui dari kawasan perkampungan yang dilanda taufan berkenaan.

Ketika angka kematian rasmi masih rendah pertubuhan bantuan "Save the Children" semalam berkata, mereka bimbang sejumlah 15,000 penduduk maut akibat bencana terbabit, manakala Persatuan Bulan Sabit menganggarkan angka kematian mungkin mencecah 10,000.

Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh, Mohammad Abdur Rob, berkata anggaran itu dibuat berdasarkan penilaian beribu-ribu sukarelawan yang terbabit dalam operasi menyelamat mangsa di seluruh wilayah terbabit.

Sementara itu, helikopter mula menghantar makanan kepada mangsa semalam, manakala pasukan penyelamat berusaha ke kawasan pedalaman yang teruk terjejas akibat taufan terburuk di Bangladesh ketika jumlah kematian dibimbangi meningkat lebih tinggi daripada angka rasmi yang dikeluarkan iaitu 2,400 orang.

Helikopter tentera membawa biskut berprotein tinggi yang dibekalkan Program Makanan Dunia, kata Emamul Haque, jurucakap bagi WFP di Dhaka.

Pertubuhan bantuan antarabangsa menjanjikan pakej awal berjumlah AS$25 juta (RM83.5 juta) ketika satu mesyuarat dengan agensi Bangladesh semalam, kata Haque.

Angka rasmi kematian akibat ribut Sidr mencecah 2,306 semalam, kata Kementerian Pengurusan Bencana. Bagaimanapun, stesen televisyen tempatan berkata ia sudah melebihi 3,000 dan jumlah itu dibimbangi lebih tinggi.

Mangsa yang kelaparan berebut mendapatkan makanan kelmarin ketika pasukan penyelamat membersihkan pokok yang tumbang dan mengalihkan bumbung dari kawasan jalan untuk ke kawasan pedalaman.

Pasukan pertubuhan bantuan antarabangsa bekerjasama dengan tentera dalam usaha menyelamat bagi menarik bantuan seluruh dunia. Bagaimanapun bantuan seperti khemah, beras dan air terlalu lewat tiba kepada mangsa.

Pegawai kerajaan mempertahankan usaha bantuan dan menyatakan keyakinan bahawa pihak berkuasa meningkatkan usaha.

"Kami mempunyai makanan dan air mencukupi," kata Shahidul Islam, pegawai tertinggi di Bagerhat, berhampiran Barguna.

"Kami cuba mengatasi masalah".

Setiausaha pengurusan bencana, Aiyub Bhuiyan bertemu wakil Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu dan kumpulan bantuan antarabangsa bagi membincangkan tindak balas kecemasan.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dalam satu kenyataan berkata dana kecemasan PBB mempunyai beberapa juta dolar bergantung kepada keperluan. - AP/Agensi
0 Komentar untuk "Angka kematian ribut Sidr mencecah 15,000"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI