Harga minyak dunia perlu adil - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Harga minyak dunia perlu adil

DUNIA kini dikalutkan dengan harga minyak bakal meningkat lagi. Pada masa yang sama, jaminan oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), dilihat sekadar penyedap kata.

Apatah lagi, kebanyakan tindakan kartel itu sebelum ini tidak banyak membantu menurunkan harga minyak mentah di pasaran.

OPEC yang mengeluarkan 40 peratus minyak dunia, boleh menjanjikan bekalan yang mencukupi dan bertepatan pada masa, tetapi ia belum dapat menentukan harga minyak melonjak lagi.

Harga minyak terus menjadi spekulasi pasaran dengan pelbagai ramalan yang dibuat oleh pihak yang berkepentingan. Malah terdapat keadaan yang mana ramalan yang dibuat bukanlah tepat tetapi kenaikan harga telah pun berlaku.

Lihat sahaja perkembangan lalu, kita dapat melihat adakalanya peningkatan harga minyak di pasaran berlaku bersandarkan andaian-andaian sahaja, yang sesetengah ternyata tidak menjadi kenyataan.

Sebagai contoh, keghairahan menelah mungkin tercetusnya perang di Asia Barat terutamanya melibatkan negara pengeluar minyak menyebabkan berlaku peningkatan harga di pasaran.

Buruk

Keadaan menjadi lebih buruk apabila apa yang berlaku itu dikaitkan pula dengan masalah kekurangan bekalan yang dihadapi oleh negara-negara pengguna. Pelbagai alasan digunakan, baik akibat bencana semula jadi atau politik untuk mewajarkan harga yang lebih mahal.

Hakikat ini bertambah jelas apabila harga komoditi itu dilaporkan boleh meningkat sekali ganda sehingga AS$200 setong sekiranya Amerika Syarikat (AS) menyerang Iran.

Ketika pertelingkahan Iran dan AS masih belum reda, kenyataan seumpama itu pasti ‘menggelisahkan’ pasaran, sekali gus sebarang perbalahan kecil akan menyebabkan jangkaan yang bukan-bukan sehingga melonjakkan harga.

Industri pengeluaran minyak kini berdepan dengan pelbagai masalah yang diburukkan dengan spekulasi harga di pasaran utama sejagat, ketika kos untuk mengeluarkan bahan itu dari perut bumi melambung tinggi.

Peningkatan kos yang ditanggung dan keperluan mendapatkan teknologi yang lebih canggih untuk menggali minyak serta kemudahan yang berkurangan, menjadikan isu harga minyak semakin genting.

Berdasarkan kepada perkembangan ini, peningkatan harga minyak perlu dinilai semula terutamanya kesan terhadap negara-negara pengguna miskin. Peningkatan harga komoditi itu tidak membantu usaha mengurangkan jurang kemiskinan negara-negara dunia, malah ia mampu menumbang kerajaan.

Mungkin sudah tiba masanya amalan perdagangan minyak antarabangsa yang lebih adil diperkenalkan untuk memastikan kesejahteraan sejagat.

0 Komentar untuk "Harga minyak dunia perlu adil"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI