Musharraf tenang hadapi tekanan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Musharraf tenang hadapi tekanan

Oleh Azman Abdul Hamid

KRISIS politik Pakistan sudah berlarutan dua minggu. Protes dalaman dan kecaman antarabangsa tertumpu kepada langkah Presiden Pervez Musharraf mengisytiharkan perintah darurat pada 3 November lalu. Sekalipun, berjanji melepaskan jawatan tentera dan mengumumkan pilihan raya menjelang 9 Januari depan, tekanan terus dikenakan terhadap Musharraf. Wartawan Berita Harian, AZMAN ABDUL HAMID bersama jurugambar, ABDUL RAHIM RAHMAT memulakan liputan di Pakistan untuk mengupas perkembangan di negara itu, bermula esok.

TEKANAN terhadap pemimpin Pakistan, Jeneral Pervez Musharraf meningkat setiap hari sejak beliau mengisytiharkan perintah darurat pada 3 November lalu dan pilihan raya umum akan diadakan menjelang 9 Januari 2008.

Pelajar, peguam, hakim, ahli politik pembangkang Pakistan dan pemimpin antarabangsa rata-rata menyuarakan protes terhadap tindakan Musharraf, menurut laporan berita dalam dan luar negara.


Mereka menyifatkan pilihan raya ketika perintah darurat berkuat kuasa tidak akan membawa kepada suasana adil dan bebas.

Selain itu, kata mereka, Musharraf perlu meletak jawatan jeneral dan bertanding sebagai pemimpin awam seperti dijanjikannya. Tidak cukup dengan itu, Komanwel juga memberi kata dua kepada Musharraf supaya memulihkan proses perlembagaan dengan menarik balik perintah darurat dalam tempoh 10 hari atau Pakistan mungkin digantung keahliannya dalam pertubuhan itu.

Pemimpin Komanwel akan bersidang di Kampala, Jumaat ini (23 November) selama tiga hari dan antara isu utama ialah penggantungan Pakistan.


Selain itu, pelbagai isu lain dibangkitkan untuk menunjukkan bahawa Musharraf adalah seorang diktator dan perlu dijatuhkan untuk digantikan oleh pemimpin lain.

Lantas, media khususnya dari Barat menyiarkan pelbagai berita negatif, termasuk penutupan stesen televisyen serta tindakan mengusir tiga wartawan Britain.

Selain itu, banyak laporan mengulas mengenai penangkapan bekas legenda kriket negara itu, Imran Khan dan banyaklah tumpuan diberi kepada Benazir Bhutto dan Nawaz Sharif yang bersetuju bergabung untuk melawan Musharraf. Tidak cukup dengan itu, kedatangan utusan Presiden Amerika Syarikat, John Negroponte, turut diberi publisiti besar-besaran.

Negroponte dipetik sebagai berkata: "Pemerintahan secara darurat bercanggah dengan konsep pilihan raya yang bebas, adil dan berwibawa."

Negroponte berkata, beliau turut meminta Musharraf membebaskan beribu-ribu anggota pembangkang dari penjara. Jika langkah itu tidak diambil, ia tentu menjejaskan keupayaan kerajaan mengadakan pilihan raya memuaskan.

Musharraf pula kelihatan tenang dan dapat menjawab semua persoalan yang diutarakan media dalam dan luar negara.

Tekanan yang disaksikan di Pakistan sebenarnya hasil daripada beberapa peristiwa dan diburukkan dengan percaturan politik Benazir serta Nawaz.

Jika mahu disimpulkan, isunya adalah mengenai aspek keselamatan. Musharraf mungkin tidak menyangka bahawa langkahnya untuk mengekalkan keamanan memberi kesan sebaliknya.

Bermula dengan serbuan anggota keselamatan terhadap Masjid Lal, pemecatan Ketua Hakim, kepulangan Nawaz yang diusir ke Arab Saudi disusuli kepulangan Benazir disambut dengan cubaan membunuh bekas Perdana Menteri itu dan dipersalahkan ke atas kerajaan adalah antara pencetus masalah sekarang di Pakistan.

Permasalahan terbaru kini meletus dan makin meluas di kawasan sempadan apabila sengketa Syiah dan Sunnah menyaksikan 90 kematian (setakat Ahad lalu).

Selain itu, masalah militan di sempadan dengan Afghanistan adalah faktor besar bagi Musharraf mengisytiharkan darurat selepas golongan pelampau dilihat semakin giat menyerang tentera Pakistan dan meningkatkan penguasaan di kawasan lebih luas.

Akhbar New York Times (NYT) melaporkan pegawai tempatan dan diplomat Barat sebagai mengesahkan perintah darurat diisytiharkan Musharraf gagal menyekat kegiatan militan yang berani menghalau anggota polis sejak beberapa hari lalu.

Katanya, tindakan militan mengambil alih daerah Alpuri di Shangla minggu ini memalukan Musharraf, sekali gus menunjukkan tindakan Musharraf menguatkuasakan darurat tidak bermakna pihak tentera semakin kuat kerana militan juga bertempur dengan askar Pakistan di Swat.

"Di Alpuri, sekumpulan militan dengan mudah mengambil alih sebuah balai polis sekalipun perintah darurat berkuat kuasa," kata Datuk Bandarnya, Ibad Khan kepada akhbar itu.

"Mereka terus masuk ke dalam balai polis yang kosong," katanya. Ditanya mengapa balai polis itu kosong, beliau berkata: "Saya pun tertanya-tanya perkara sama."

Pegawai memberitahu NYT, bedilan tentera Pakistan ke beberapa kawasan di Swat dan Shangla adalah cubaan besar pertama menangani masalah militan di sana. Militan di Swat dipimpin oleh Maulana Fazlullah, dan didakwa mendapat sokongan pejuang Uzbek, Tajik dan Chechen.

Fazlullah memimpin Pergerakan Melaksanakan Undang-Undang Islam, pergerakan ala-Taliban memaksa sekolah kanak-kanak perempuan ditutup, termasuk kedai video.

Musharraf, bagaimanapun, tidak kelihatan tertekan setiap kali diwawancara media asing yang banyak mengutuknya, menjawab rasional, di sebalik penahanan ahli politik pembangkang, mengehadkan pergerakan Benazir serta protes pelajar atau peguam.

Sebaliknya, pemimpin itu kelihatan tenang menjelaskan mengapa beliau melaksanakan darurat dan kini mengetuai pentadbiran sementara di bawah pemangku Perdana Menteri, Mohammedmian Soomro, menggantikan Shaukat Aziz.

Sebahagian alasan itu tentu disebabkan mesej lembut yang dibawa Negroponte dari Washington dan bukannya ugutan. Malah, Musharraf boleh memberitahu utusan Washington itu bahawa perintah darurat hanya akan ditamatkan apabila keadaan keselamatan bertambah baik.

Reaksi Negroponte? Beliau tidak menganggap penolakan Musharraf itu sebagai kegagalan di pihaknya sambil mengulas: "Dalam urusan diplomatik, seperti yang anda tahu, kami tidak selalu segera mendapat hasil dalam dialog seperti ini. Saya yakin Presiden (Musharraf) mengkaji perbualan kami dengan teliti."

Malah, NYT melaporkan Washington membelanjakan hampir AS$100 juta sejak enam tahun lalu bagi membantu Pakistan melindungi senjata nuklearnya dan Negroponte pula menyifatkan Islamabad dan Washington sebagai dua negara 'sahabat' yang menghadapi masalah sama.

Pada masa sama, kebanyakan penganalisis juga bersetuju bahawa apakah alternatif kepada pemimpin yang ada sekarang? Benazir? Nawaz? Kedua-dua bekas Perdana Menteri itu juga dilaporkan tidak bersih dan mencetuskan tanda tanya yang sama.

Dalam kes Benazir, misalnya, masih ramai ingat bagaimana beliau dan suaminya, Asif Zardari, dibayangi skandal rasuah, sebahagiannya kerana tindakan membeli hartanah mahal di Britain.

Walaupun, banyak dakwaan itu masih belum dibuktikan, sebuah mahkamah di Geneva mendapati pasangan itu bersalah pada 2003 kerana membiayai wang rasuah sebanyak AS$13 juta (RM44.2 juta). Mereka merayu keputusan itu.

Benazir juga dilihat kurang demokratik dalam memimpin Parti Rakyat Pakistan (PPP) kerana secara rasminya diberi status 'pengerusi seumur hidup,' lapor Newsday.

Tidak hairanlah, di sebalik tekanan dihadapi, Musharraf sedar kedudukannya belum pada tahap genting, sebaliknya musuh politiknya dilihat tertekan mencari jalan menyingkirkannya.

0 Komentar untuk "Musharraf tenang hadapi tekanan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI