Kekang rancangan TV libatkan penghantaran SMS - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Kekang rancangan TV libatkan penghantaran SMS

Pendapat
KENYATAAN Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad bahawa rakyat Malaysia berbelanja berbilion ringgit untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) terutamanya yang melibatkan rancangan televisyen berbentuk hiburan bukannya satu permasalahan yang boleh dipandang enteng oleh semua pihak .

Sehingga 2 Jun 2006, pelanggan rangkaian GSM di Malaysia ialah 21,670,900 orang dengan pecahan mengikut pengendali apabila Maxis menerajui pasaran dengan pelanggan seramai 8,617,600, diikuti Celcom dengan 7,583,800 pelanggan dan DiGi 5,469,500.

Pecahan mengikut syarikat, pada suku pertama 2006, pelanggan prabayar rangkaian GSM Maxis ialah 6.75 juta orang berbanding pascabayar hanya 1.45 juta orang. Celcom dengan 6.08 juta pelanggan prabayar dan 1.14 juta pascabayar sementara DiGi pula memiliki 4.7 juta orang pelanggan prabayar berbanding 0.38 juta pascabayar.

Mengikut kajian penyelidik AC Nielsen, terdapat 8.3 juta pengguna telefon bimbit (rekod untuk yang berumur 15 tahun ke atas) di negara ini pada 2006. Daripada jumlah itu, 4.8 juta adalah pengguna lelaki berbanding wanita seramai 3.6 juta. Jika dilihat dari segi umur pengguna, enam juta terdiri daripada mereka yang berumur 15 hingga 39 tahun.

Berdasarkan data, pengguna telefon bimbit di negara ini menghantar lebih 11.7 bilion SMS antara Januari hingga Mac tahun lalu yang menyaksikan peningkatan sebanyak 4.3 bilion SMS untuk tempoh yang sama bagi tahun lalu.

Orang ramai terpaksa mengeluarkan wang untuk menyertai sesuatu kuiz melalui penghantaran SMS dengan harapan akan menang sedangkan yang mendapat keuntungan daripada kemenangan adalah sebilangan kecil peserta sahaja.

Soalan yang mudah serta pembayang soalan yang turut diberikan mendorong ramai penonton terutama remaja menyertai peraduan berkenaan menerusi SMS dengan caj RM2 atau RM3 setiap SMS.

Bilangan pemenang yang mendapat untung daripada kuiz ini terlalu sedikit berbanding jumlah mereka yang rugi apabila gagal mendapat peluang menjawab soalan selepas membuat panggilan telefon atau mengirim SMS.

Kementerian Kewangan telah mentakrifkan penganjuran atau penyertaan dalam acara cabutan bertuah atau permainan yang bergantung kepada nasib adalah termasuk di bawah gaming atau lottery mengikut Seksyen 2 Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan tidak mengeluarkan permit bagi tujuan penganjurannya.

Menurut garis panduan tersebut, sesuatu peraduan adalah perjudian atau loteri berdasarkan tiga fakta iaitu pembahagian hadiah; permainan atau perjalanannya secara cabutan atau nasib; dan wujudnya sumbangan secara langsung atau tidak langsung oleh peserta.

Berdasarkan beberapa hujah dan latar belakang, peraduan tersebut bersifat samar-samar, mengandungi unsur eksploitasi dan penipuan. Ia bergantung kepada nasib dan wang pertaruhan yang tidak menentu serta mengeksploitasi duit orang ramai sedangkan yang mendapat keuntungan adalah pihak tertentu dalam bilangan yang terhad.

Pada pertengahan tahun lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan peraduan berbayar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai haram di sisi Islam kerana mempunyai unsur perjudian. Bagaimanapun, peraduan seumpama itu masih terus disiarkan di beberapa stesen televisyen tempatan.

Soalnya, apakah rancangan-rancangan yang berbentuk peraduan SMS yang disiarkan dalam stesen televisyen tempatan ini tertakluk di bawah Seksyen 2 Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan kenapa tidak mewajibkan penyiaran kata-kata ‘Judi Adalah Haram’ sewaktu menyiarkan rancangan berkenaan.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan rancangan-rancangan realiti hiburan yang memerlukan penonton mengundi di rumah untuk memilih artis kegemaran mereka sehingga boleh mencecah 17 juta SMS. Budaya SMS terutamanya di kalangan remaja makin mendapat sambutan dan pada masa sama kelihatan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan dengan mengetepikan fatwa, peraturan demi mengaut keuntungan.

Kerajaan harus mengekang permasalahan ini sebelum menjadi parah kerana secara langsung unsur-unsur penghantaran SMS ini menggalakkan pembaziran dan pemborosan secara keterlaluan.

– S M MOHAMED IDRIS,

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

0 Komentar untuk "Kekang rancangan TV libatkan penghantaran SMS"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI