Aspirasi: Demonstrasi jalanan tiada faedah - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Aspirasi: Demonstrasi jalanan tiada faedah

Dr Mohd Radzi Abdul Latif

Tunjuk perasaan tak dapat selesai masalah, hanya beri kesan lebih buruk

INSIDEN demonstrasi jalanan di negara ini yang sudah mati dan hidup semula, memberi pengertian tidak sihat kepada bangsa Malaysia yang cuba dijulang kerajaan sekarang. Ini berikutan cubaan pengikut beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang ditunggangi parti pembangkang, sengaja menguji kesabaran pihak berkuasa dan kerajaan dengan melakukan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang negara.

Walaupun polis mengisytiharkan bahawa rancangan perhimpunan yang dikatakan untuk mengumpulkan kira-kira 100,000 manusia berbaju kuning di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Sabtu lalu adalah perhimpunan haram, masih ada kalangan mereka yang ingkar dan tidak menghiraukan arahan berkenaan. Mujurlah, perhimpunan itu gagal memenuhi matlamatnya dan tidak ramai yang menyertainya seperti diramalkan.

Biasanya, sesuatu perbuatan yang bertentangan dengan budaya dan nilai masyarakat negara ini, tidak mendapat sambutan yang meluas. Mungkin juga, ada antara mereka yang bercadang untuk mengambil bahagian sehari sebelum itu, tersentak dengan amaran keras Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sewaktu menggulung perbahasan pada hari akhir Perhimpunan Agung Umno, Jumaat lalu, bahawa 'beliau pantang dicabar'. Dalam ucapannya Abdullah jelas merujuk kepada tindakan segelintir rakyat yang mahu mengadakan tunjuk perasaan menuntut satu pilihan raya yang bersih di negara, sedangkan di Malaysia, ada kerusi yang dimenangi pembangkang, malah Kelantan adalah negeri yang diperintah oleh pembangkang. Apakah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga boleh persalahkan. Adalah jelas, parti pembangkang yang menunggangi NGO berkenaan sengaja enggan menerima hakikat dan sengaja memekakkan telinga dan membutakan mata mereka.


Selama ini, pihak kerajaan cuba membersihkan negara ini daripada tindakan ekstremisme dan terrorisme, sebaliknya berusaha melaksanakan pendekatan kesederhanaan berasaskan prinsip Islam Hadhari, malangnya akibat perbuatan jijik segelintir rakyat, ia merosakkan imej negara di mata dunia.

Tindakan penunjuk perasaan ini menyusahkan rakyat. Ramai antara peniaga dan pekedai yang terpaksa menutup perniagaan mereka kerana bimbang sesuatu peristiwa buruk akan berlaku. Mereka tentunya sudah menyaksikan insiden di negara lain yang mana tidak ada perhimpunan dapat dijalankan secara aman selagi ada pihak yang cuba membakar semangat penunjuk-penunjuk perasaan berkenaan. Pada 10 November lalu, ramai rakyat, terutama penghuni bandar raya tidak keluar rumah kerana bimbang sesuatu akan berlaku. Ibu bapa di kampung begitu bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka, terutama jika mengetahui anak mereka berada di tengah-tengah penunjuk perasaan itu.

Ramai juga terpaksa menangguhkan urusan masing-masing kerana bimbang tersekat di jalan raya. Anggota polis terpaksa dikerah untuk menjaga keselamatan berikutan tunjuk perasaan itu sedangkan mereka sepatutnya menjalankan tugas yang lebih penting seperti membanteras jenayah dan sebagainya.

Pasukan polis tidak boleh membiarkan penunjuk perasaan berarak sesuka hati kerana mereka bertanggungjawab terhadap keselamatan dan harta awam. Adalah lebih baik membubarkan mereka lebih awal dengan apa cara sekali pun daripada terpaksa bertempur dengan mereka apabila keadaan tidak dapat dikawal. Tindakan mengadakan sekatan jalan raya dan menghalang orang ramai memasuki kawasan bandar pada hari berkenaan, adalah prosedur yang terpaksa dilakukan, walaupun ia tindakan tidak popular.

Kalau kita menerima hakikat bahawa mencegah adalah lebih mujarab daripada mengubati sesuatu penyakit, apa yang dilakukan oleh pasukan polis ini adalah tindakan yang sama. Sebelum nasi menjadi bubur, eloklah tindakan awal mencegah kejadian itu diambil segera, Polis bertanggungjawab ke atas keselamatan orang awam. Oleh itu, tindakan itu adalah semata-mata atas dasar keselamatan awam.

Tunjuk perasaan juga meninggalkan kesan kepada ekonomi. Yang pasti peniaga terpaksa menutup kedai dan dalam konteks yang lebih besar masyarakat peniaga mencemuh penunjuk perasaan yang diperalatkan oleh parti-parti pembangkang berkenaan. Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu berikutan kenaikan harga petroleum yang hampir mencecah AS$100 setong, ia memberi kesan implikasi yang amat besar kepada ekonomi negara. Sepatutnya setiap rakyat memberi tumpuan cara mana mereka boleh membantu mengurangkan beban kerajaan yang terpaksa menanggung subsidi petroleum berjumlah RM35 bilion setahun.

Dengan mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan seperti ini, ia tidak dapat menyelesaikan apa-apa masalah ekonomi, sebaliknya, boleh memberi kesan yang lebih buruk apabila pelancong asing menukar arah destinasi mereka. Mereka tidak mahu mengambil risiko datang ke negara ini kerana bimbang dengan keselamatan mereka. Perkara ini perlu diberi perhatian sebelum mahu mengambil bahagian dalam perhimpunan haram seperti ini.

Persoalannya, mengapa orang ramai begitu ghairah mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan itu tanpa memikirkan kesannya kepada diri sendiri, keluarga dan maruah bangsa dan negara. Jika mereka kakitangan kerajaan, sekiranya ditahan, bukankah ia menganiaya diri sendiri, entah-entah tindakan disiplin dikenakan terhadap mereka selepas didapati bersalah mengambil bahagian dalam perhimpunan haram. Jika masih menuntut, bukankah ia membuang masa sedangkan tindakan itu tidak membawa sebarang makna dalam kehidupan mereka. Tunjuk perasaan itu tidak ada kaitan langsung dengan isu pendidikan atau yuran mereka. Jadi, mengapa harus mengambil bahagian.

Menyedari senario ekonomi dunia, malah dibahaskan juga sepanjang Perhimpunan Agung Umno 2007 dari 5 hingga 9 November lalu, kerajaan mempunyai cara untuk mengatasi masalah ekonomi tanpa memudaratkan rakyat yang berpendapatan rendah. Perhimpunan Agung Umno yang ditunjangi oleh orang Melayu begitu mantap memberi sokongan padu kepada kerajaan pimpinan Abdullah yang dibantu oleh timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

Sememangnya, pembangkang mengharapkan Perhimpunan Agung Umno mencetuskan pergeseran kaum berikutan beberapa isu yang dibangkitkan tetapi ia juga ditenggelami dengan isu kedaulatan maruah bangsa yang lebih besar. Begitulah hakikatnya apabila api tidak disiram dengan minyak sebaliknya dicurah dengan air, maka harapan pihak tertentu untuk meledakkan isu perkauman, hampa belaka.

Kebijaksanaan perwakilan Umno membangkitkan isu perkauman secara berhemah, mematikan terus harapan parti pembangkang untuk melihat parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) bergeseran sesama sendiri. Meskipun bunyinya agak kasar jika isu perkauman diaduni dengan fakta yang jelas, tidak ada pihak yang sepatutnya berasa marah. Ini tidak bermakna orang Melayu mengalah tetapi bertolak ansur atas perkara yang boleh bertolak ansur adalah satu bentuk toleransi yang positif.

Amaran Perdana Menteri yang cukup keras bahawa sesetengah perkara yang sudah dipersetujui bersama tidak boleh diungkit lagi, sebenarnya menyebabkan ramai pihak tersentak dan mematikan isu itu dengan sendirinya. Cuba bayangkan, sekiranya ada pihak mengambil kesempatan menyemarakkan isu perkauman cetusan daripada perhimpunan agung Umno dan dilanjutkan pada demonstrasi jalanan sebaik selesai Perhimpunan Agung Umno, ia boleh mencetuskan satu keadaan tidak terkawal.

Bagi Umno mereka mempunyai banyak perkara penting yang harus difikirkan termasuk usaha membasmi kemiskinan, mengawal kehadiran pendatang asing, mengusahakan pembangunan wilayah dan sebagainya. Umno juga berusaha untuk membanyakkan syarikat Melayu di Bursa Malaysia menerusi Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) seperti dinyatakan oleh Najib yang mengharapkan antara lima hingga 10 syarikat milik Melayu akan disenaraikan di Papan Utama, Kedua atau Masdaq. Ini adalah agenda besar yang seharusnya dilakukan orang Melayu, bukan mengambil bahagian dalam demonstrasi jalanan.

Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Latif adalah Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM)

0 Komentar untuk "Aspirasi: Demonstrasi jalanan tiada faedah"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI