KEMBALIKAN UNIVERSITI DALAM SENARAI TERBAIK DUNIA - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

KEMBALIKAN UNIVERSITI DALAM SENARAI TERBAIK DUNIA

Rencana Pengarang
APABILA Times Higher Education Supplement (THES) mengeluarkan senarai kedudukan universiti terbaik di dunia, ia bagaikan tamparan hebat kepada universiti tempatan yang tidak berada dalam senarai 200 terbaik berbanding dengan tahun sebelum ini.

Keadaan yang bukan sahaja jatuh anak tangga tetapi terkeluar daripada senarai THES, mahu tidak mahu perlu diterima dengan hati terbuka. Pemimpin di universiti awam perlu mengenal pasti kelemahan dengan semangat untuk memperbaiki kedudukan.

Kalau peneraju syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dinilai berdasarkan pada untung rugi dalam mengukur indeks prestasi utama (KPI), maka para Naib Canselor juga harus diukur berdasarkan kedudukan universiti mereka dalam senarai terbaik THES.

THES telah diterima masyarakat antarabangsa sebagai kayu ukur kepada kedudukan universiti dunia walaupun ada beberapa pihak tidak berpuas hati dengan cara penilaian yang digunakan.

THES menjadi rujukan pelajar dari luar negara sebelum memilih universiti negara ini sebagai pusat mereka meneruskan pengajian tinggi.

Jika kedudukan universiti kita kembali berada dalam senarai 200 terbaik, itu sudah mampu meyakinkan mereka mengenai kualiti pendidikan pengajian tinggi negara ini.

Kini universiti negara kita perlu bangkit untuk mengubah kedudukan ini mulai sekarang. Dalam persaingan pendidikan global yang semakin sempit, adalah perlu semua universiti tempatan juga mencapai taraf yang sama dengan universiti unggul di luar negara.

Kita yakin kemampuan universiti kita untuk menjadi tempat melahirkan pemikir dan pencorak masa depan negara. Kita juga mengharapkan agar ilmuwan di universiti menjadi perintis kepada bidang-bidang yang baru dalam dunia.

Ini tidak mustahil dilakukan jika kita manfaatkan kajian-kajian PhD yang dilakukan oleh pelajar tajaan kerajaan di luar negara. Penyelidikan adalah antara ciri penting untuk melonjakkan semula kedudukan universiti kita.

Oleh itu, pemimpin universiti tidak boleh bersikap pandang sebelah mata terhadap penarafan THES. Kerajaan sudah berhabis-habisan membiayai penyelidikan dan menjalankan banyak kempen untuk menjual nama Malaysia sebagai pusat pendidikan pengajian tinggi terbaik di rantau ini.

Dan kita percaya pemimpin universiti tahu formula untuk kembali berada dalam kedudukan tertinggi THES. Berdasarkan kejayaan Universiti Harvard dan Universiti Stanford dari Amerika Syarikatmendapat tempat pertama dan kedua THES maka bidang penyelidikan di negara ini perlu diperkuatkan dan diberi nilai tambah.

Malah, universiti kita seharusnya melakukan penyelidikan bertaraf antarabangsa, dan menjalinkan hubungan dengan universiti luar agar langkah ini dapat membantu menaikkan imej universiti negara di seluruh dunia.

0 Komentar untuk "KEMBALIKAN UNIVERSITI DALAM SENARAI TERBAIK DUNIA"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI