KAWALAN KETAT: Penyokong Benazir dihalang oleh polis ketika mencuba memasuki kediaman Benazir di Lahore, semalam. |
Bekas Perdana Menteri dikenakan tahanan rumah, 1,000 polis dikerah berkawal
LAHORE: Tokoh pembangkang Pakistan, Benazir Bhutto, semalam mencabar Presiden Pervez Musharraf meletak jawatan, dalam desakan secara langsung kepada ketua tentera itu sejak beliau melaksanakan perintah darurat.
"Musharraf perlu berundur. Inilah masanya pemerintahan diktator tamat," katanya kepada stesen televisyen Sky News di Britain dari Lahore.
Benazir dikenakan tahanan dalam rumah selama seminggu di bandar raya itu untuk menghalang dia mengetuai perarakan besar-besaran anti-Musharraf.
Katanya, dia tidak tahu mengenai laporan kerajaan sudah menyediakan pesawat C-130 tentera untuk membawa dia secara paksa keluar dari Lahore.
"Memang mereka boleh menggunakan paksaan membawa saya keluar, tetapi berapa lama dapat menahan suara rakyat. Tidak kira berapa ramai dikurung, pasti akan ada bantahan lain terhadap kezaliman yang memusnahkan Pakistan," katanya menerusi temu bual telefon.
Ditanya apa yang dilakukan jika diminta meninggalkan Pakistan, Benazir memberitahu CNN dalam temu bual berasingan: "Tidak, saya tidak akan pergi. Pakistan adalah negara saya, saya berhak berada di sini."
Kediaman bekas Perdana Menteri itu di Lahore dikelilingi kawat berduri dan penghalang dengan lebih 1,000 anggota polis mengawalnya.
Pihak berkuasa mengharamkan perarakan dan perhimpunan yang dicadangkan dari Lahore ke Islamabad itu atas alasan keselamatan dan mengeluarkan arahan tahanan dalam rumah selama seminggu ke atas Benazir untuk menghalang beliau merangsang sokongan popular.
Kemarahan antarabangsa berhubung krisis itu semakin memuncak tengah malam kelmarin, dengan pertubuhan Komanwel memberikan masa 10 hari kepada Musharraf untuk mengembalikan Perlembagaan dan menarik balik perintah darurat atau keanggotaan Pakistan digantung.
Dua lapis kawat berduri dipasang mengelilingi tempat tinggal Benazir di kawasan mewah di Lahore, menurut wartawan AFP.
Halangan kayu menjadi lapisan kedua dan kontena berat menyekat pintu masuk ke rumah itu dan di kedua-dua penghujung jalan. Polis mengambil kedudukan di belakang kubu beg pasir.
"Kami memastikan arahan dilaksanakan dan dia tidak meninggalkan rumah. Kami sudah meletakkan halangan mencukupi di sekitar rumah untuk menghalang sebarang kemungkinan dia meninggalkan tempat itu," kata pegawai polis, Mohammad Abid.
Perarakan besar-besaran dari Lahore ke Islamabad, diharamkan oleh pihak berkuasa, yang memberi amaran kemungkinan berlakunya serangan bunuh diri.
Bagaimanapun, pembantu kanan Benazir berkata, pemimpin itu masih akan mencuba meninggalkan rumahnya.
"Mereka ada rancangan, kami juga ada rancangan sendiri," katanya. � AFP
0 Komentar untuk "Benazir cabar Musharraf berundur"