Sistem penarafan reputasi lonjak prestasi IPT - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Sistem penarafan reputasi lonjak prestasi IPT

Oleh Dr Sharifah Hapsah Shahabudin

Pelaksanaan ARES jamin kualiti, petunjuk utama membaiki domain kritikal pendidikan tinggi

SAYA berada di Pattaya, Thailand apabila menerima panggilan telefon daripada beberapa wartawan yang ingin mendapatkan maklum balas mengenai hasil kajian kualitatif reputasi akademik (ARES) yang diumumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Mohamed pada 2 November lalu.

Tanpa butiran terperinci, saya hanya mampu mengatakan bahawa saya mengalu-alukannya dan kini kita mempunyai instrumen sendiri untuk menilai dan mungkin boleh digunakan untuk memberi pemeringkatan kepada universiti di negara kita. Segala usaha menampakkan hasilnya, mungkin tidak sempurna, tetapi ia langkah betul untuk Malaysia.

Instrumen penarafan dibentuk selepas Perdana Menteri dalam ucapan Bajet 2005 mengumumkan bahawa institusi pengajian tinggi (IPT) akan disusun mengikut prestasi mempertingkatkan daya saingnya. Sebagai Pengarah Bahagian Jaminan Kualiti, Kementerian Pengajian Tinggi, saya membentuk satu kumpulan ahli akademik diketuai Prof Dr Che Husna Azhari untuk mengenal pasti aspek atau domain kritikal dalam pendidikan tinggi untuk jaminan kualiti dan membangunkan petunjuk utama bagi mengukur prestasi mereka.

Sejak mula lagi, kumpulan ini mendapatkan khidmat pelbagai sektor berkepentingan (kerajaan, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta, badan profesional, majikan, profesor dan pelajar), di samping mengadakan perbincangan penanda aras dengan rakan daripada institusi bereputasi tinggi dari kalangan negara Asean, Asia dan Australia.

Instrumen yang dibentuk mengandungi pelbagai tema yang mengambil kira isu utama seperti kebolehcapaian, ekuiti, kualiti, keberkesanan, kelestarian, nilai dan pembinaan negara bangsa. Pengukuran lebih berfokus kepada output, hasil, keputusan dan impak selain input.

Pendekatan ini dirasakan lebih adil dengan membandingkan institusi sama dikategorikan dalam universiti penyelidikan, universiti komprehensif dan universiti yang mengkhusus. Instrumen ini dipindahkan ke Lembaga Akreditasi Negara (LAN) apabila saya dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutifnya dan kini diuruskan Agensi Kelayakan Malaysia.

ARES mengkaji persepsi pelbagai sektor (majikan, komuniti akademik dan badan profesional) mengenai prestasi universiti awam berasaskan sembilan domain. Enam skala Likert digunakan untuk mengukur kualiti penyelidikan, tenaga akademik, reputasi akademik fakulti, pilihan universiti oleh pelajar, kualiti program akademik, kualiti pengalaman pelajar siswazah, program untuk menghasilkan pemimpin masa depan dan kualiti siswazah.

Kajian itu turut mengukur persepsi umum mengenai kualiti. Persepsi, terutama daripada rakan dan majikan atau bakal majikan adalah aspek yang penting dalam pengukuran kualiti. Bahkan ini merangkumi 50 peratus daripada metodologi pemeringkatan yang dilakukan Times Higher Education Supplement (THES). Unsur intuitif biasanya berdasarkan kepada pengalaman atau pengetahuan terhadap sesebuah institusi yang dinilai. Bagaimanapun, persepsi biasanya turut berasaskan kepada pengukuran kuantitatif.

Dalam kuantitatif, data sebenar diperoleh dan dianalisis menerusi enam aspek yang boleh dilaporkan secara berasingan. Skor satu hingga lima disediakan untuk setiap petunjuk diasaskan kepada piawai penanda aras yang ditentukan lebih dan boleh dilaporkan secara berasingan � reputasi akademik fakulti, pilihan universiti oleh pelajar, kualiti penyelidikan, kualiti program akademik, sumber dan pengurusan. Apabila diumumkan, dapatlah dipadankan antara persepsi dengan realiti.

Ini juga memungkinkan perbandingan dibuat antara prestasi IPT Malaysia dengan rakan yang dijadikan penanda aras (sebagai contoh pada 2005 data dibandingkan diperoleh daripada National University of Singapore, University of Melbourne, Indian Institute of Technology, Mahidol University dan University of Technology, Sydney).

Dalam laporan ARES, agak mendukacitakan, hanya pemeringkatan keseluruhan diketengahkan. Maklumat itu tidak banyak membantu individu membuat pilihan institusi mempertingkatkan prestasinya.

Sistem penarafan yang baik, dapat menyediakan maklumat tepat dan telus, contohnya kepada pelajar yang ingin membuat pilihan universiti dan program berasaskan keutamaan.

Untuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), mengetahui secara terperinci setiap aspek utama akan membantu kami mempertingkatkan pencapaian institusi, merancang penanda aras, menentukan matlamat, melakukan perancangan strategik dan memilih rakan strategik. Umumnya, keputusan itu harus juga mendorong perdebatan sihat mengenai isu dan cabaran kritikal terhadap pengajian tinggi negara.

Dalam masa kita berasakan wajar kerana mempunyai sistem penarafan sendiri, kita harus sentiasa mengikuti perkembangan pada peringkat antarabangsa. Banyak negara mempunyai sistem penarafannya.

Kita sedang memberi penekanan terhadap instrumen tempatan, di mana mungkin perbandingan perlu dibuat dengan instrumen diguna pakai peringkat antarabangsa. Ini memberi petunjuk, di mana kedudukan kita dalam pendidikan tinggi dunia membolehkan kita menyesuaikan amalan terbaik untuk peningkatan diri.

Pengumuman terbuka keputusan itu adalah suatu perubahan dialu-alukan untuk merangsang budaya akauntabiliti, ketelusan, kualiti dan persaingan. Ia menunjukkan kesediaan IPT dalam aktiviti pemeringkatan dan penarafan. Kita harus menerima keputusan itu dan berusaha gigih melakukan lonjakan peningkatan.

Keputusan barangkali berbeza dari setahun ke setahun. Peningkatan yang membabitkan perubahan fundamental, mungkin mengambil masa untuk memunculkan kecemerlangan sesebuah institusi. Selain itu, metodologi pemeringkatan sendiri, termasuk instrumen antarabangsa masih lagi berada pada tahap permulaan dan terbuka kepada penambahbaikan dan pengembangan berterusan.

Mustapha sudah menggerakkan banyak perubahan menjadikan pendidikan tinggi dapat memenuhi keperluan kritikal dalam penjanaan ilmu, pembinaan kemakmuran dan pembangunan negara dengan pendekatan lebih inovatif. Pelan stategik yang dilancarkan Perdana Menteri pada 27 Ogos lalu adalah kerangka besar strategi dan tindakan yang perlu dilaksanakan untuk membolehkan Malaysia menyertai ekonomi berteraskan pengetahuan dan inovasi pada masa ini.

Ketika dalam penerbangan pulang dari destinasi antarabangsa seperti Pattaya, saya berasa gembira memikirkan bahawa pemeringkatan IPTA dan pelaksanaan kerangka kelayakan adalah percubaan penanda aras yang berterusan dilakukan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Pemeringkatan secara berbanding akan terus menjadi kebiasaan. Kita harus belajar memanfaatkannya secara optimum demi kepentingan pendidikan tinggi dan negara.

Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Shahabudin ialah Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.
0 Komentar untuk "Sistem penarafan reputasi lonjak prestasi IPT"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI