|
|
LAHORE 12 Nov. – Pemimpin pembangkang Pakistan, Benazir Bhutto memberi amaran pilihan raya yang dijanjikan pada awal Januari tidak membawa apa-apa makna jika diadakan di bawah undang-undang darurat.
Benazir menyambut baik pengumuman Presiden Pervez Musharraf semalam bahawa pilihan raya umum akan diadakan mengikut jadual asal.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri yang mengetuai Parti Rakyat Pakistan (PPP) itu meningkatkan tekanan ke atas Pervez hari ini supaya menarik balik perintah darurat.
Benazir pada masa sama turut mengenepikan rundingan berhubung perkongsian kuasa dengan Pervez dan bersumpah untuk meneruskan perarakan.
“Kami akan mengatakan tidak kepada sebarang perbincangan. Ini adalah perubahan kepada polisi saya pada masa lalu.
“Kami tidak dapat bekerjasama dengan sesiapa yang menggantung perlembagaan, mengisytiharkan darurat dan menekan badan kehakiman. Itulah tujuan kami mengadakan perarakan besar ini,” kata beliau kepada pemberita di sini.
Benazir merancang untuk berarak dengan penyokong beliau dari Lahore ke Islamabad esok walaupun diberi amaran oleh pegawai kerajaan bahawa langkah sedemikian akan diharamkan.
Parti-parti pembangkang lain turut mendesak supaya perintah tersebut ditarik balik sambil menggambarkan pilihan raya akan datang sebagai sandiwara belaka jika hak-hak rakyat tidak dipulihkan sepenuh.
Beberapa parti menimbangkan langkah untuk memboikot pilihan raya itu nanti.
Benazir yang berada di sini kerana merancang untuk mengetuai rapat umum esok berkata, perintah darurat dan undang-undang baru yang memberi kuasa meluas kepada tentera untuk menyiasat dan membicarakan rakyat, termasuk dihadapkan ke mahkamah tentera, bermakna adalah mustahil untuk mengadakan pilihan raya secara bebas dan adil.
“Dari satu segi, kerajaan telah mengumumkan jadual pilihan raya kepada kita dan dari segi lain, telah memberi kita Akta Tentera.
“Masyarakat kita telah diberi isyarat yang bercanggah,” kata Benazir pada sidang media di sini malam tadi.
Beliau menegaskan, pilihan raya yang bebas dan adil tidak mungkin diadakan di bawah Akta Tentera dan perintah darurat.
Pervez yang mengenakan perintah darurat pada 3 November lalu dalam sidang medianya semalam berkata, pilihan raya Parlimen akan diadakan sebelum 9 Januari dengan tarikh sebenar ditentukan oleh suruhanjaya pilihan raya.
Bagaimanapun beliau menegaskan perintah darurat akan terus berkuat kuasa “bagi memastikan pilihan raya yang benar-benar adil dan telus.”
Kenyataan itu dikecam hebat oleh parti-parti pembangkang.
Setiausaha Agung parti berhaluan Islam Pakistan, Jamaat-e-Islami (JI), Liaqat Baloch berkata, mereka sedang serius menimbangkan untuk memboikot pilihan raya.
“Dalam keadaan perintah darurat dan perlembagaan digantung, mustahil untuk mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil,” katanya.
Jurucakap untuk sebuah gabungan parti-parti berhaluan Islam yang termasuk JI, Ameer ul-Azeem berkata, mereka akan bermesyuarat tidak lama lagi untuk memutuskan sama ada hendak memulaukan pilihan raya atau tidak.
Mereka juga akan menggesa Benazir menyertai mereka bagi memastikan pemulihan demokrasi.
– AP
0 Komentar untuk "Benazir tolak kongsi kuasa -- ‘Pilihan raya tiada makna jika darurat diteruskan’"