Oleh MOHD. ANAS RAMLI
TIDAK dapat dinafikan rasa terkilan sesetengah pencinta akademik terhadap apa yang dikeluarkan oleh Times Higher Educational Supplement (THES) mengenai kedudukan atau ranking universiti di Malaysia yang tidak satu pun tersenarai dalam 200 universiti terbaik di dunia.
Namun, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itu mungkin kiasan yang paling tepat bagi pihak pengurusan tertinggi Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.
Pasti ada yang menyumbang idea, tak kurang juga yang mengkritik. Namun para pengkritik perlulah sedar bahawa Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya sahajalah universiti yang diterajui oleh majoriti orang Melayu yang pernah mendapat tempat di antara 200 universiti terbaik dunia. Lebih membanggakan lagi UKM yang mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama mendapat tempat yang terbaik sebelum ini.
Jelasnya, usaha ke arah memperbaiki keadaan ini bukan hanya terletak pada bahu Naib Canselor dan barisan kepimpinannya semata-mata. Sekarang bukan masa yang baik untuk menuding jari siapa yang salah dan siapa yang harus dipersalahkan. Universiti kita sudah pun berada di landasan yang betul. Cuma mungkin kealpaan yang sedetik, membawa kepada keadaan yang sedang kita lalui ini.
Jika kita menyingkap kembali artikel hasil nukilan Datuk Dr. Nordin Kardi, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, ulasannya mengenai Strategi Lautan Biru, mungkin ada kaitannya. Perlukah universiti awam bersaing sesama sendiri? Setiap Naib Canselor bersaing dengan Naib Canselor lain dan merumuskan siapakah lebih baik pada kaca mata pemimpin?
Strategi Lautan Biru mengingatkan, selagi organisasi atau sesiapa terus mahu bersaing di Lautan Merah Darah dia mesti selalu ingat bahawa tidak ada sesiapa yang akan kekal cemerlang! Keluarlah daripada Lautan Merah dengan persaingan berdarah dan belayar ke suatu lautan yang tidak perlu bersaing sebaliknya menjadikan pesaing tidak relevan.
Kita seharusnya sedar bahawa, dalam memajukan institusi pengajian tinggi kerjasama dan sikap belajar antara satu sama lain amat penting. Tidak seharusnya saling berkejaran dalam mengejar kedudukan atau ranking apatah lagi ia sentiasa berubah-ubah dari aspek penilaian. Cukup sekadar menjadikannya tanda aras untuk sentiasa peka dan prihatin kepada perubahan.
Melihat kepada angka yang dikeluarkan oleh THES mengenai dua universiti yang pernah berada dalam 200 universiti terbaik dunia, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya, kita seharusnya boleh menilai sendiri kebenarannya. Kita amat yakin dan percaya bahawa angka itu tidak menggambarkan kualiti sebenar yang ada pada universiti kita. Akan tetapi bukan menjadi satu kesalahan untuk menjadikan angka tersebut sebagai kayu pengukur dalam meningkatkan lagi usaha ke arah menjadikan institusi pengajian tinggi Malaysia berkualiti tinggi.
Setiap warga universiti seharusnya bijak memainkan peranan masing-masing dalam meningkatkan kualiti dan produktiviti universiti. Mahasiswa, tenaga pengajar, dan pentadbir perlu mempunyai semangat untuk sentiasa mengejar perubahan. Jangan sesekali menjadikan kedudukan atau ranking sebagai pemusnah untuk kita terus berusaha meningkatkan prestasi dan berada dalam keadaan cemerlang sentiasa. Tidak perlu dipandang rendah dan cepat menghukum pendidik dan pentadbir universiti tempatan hanya disebabkan prestasi kedudukan universiti tempatan merosot di dalam senarai THES. Mereka sudah memainkan peranan dan mahukan standard dan kualiti pendidikan tinggi negara mencapai tahap yang sewajarnya.
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia juga mempunyai perancangan jangka panjang yang cukup baik. Melalui Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara 2007-2010 yang telah dilancarkan, Datuk Mustapa Mohamed telah menyatakan hasratnya untuk meningkatkan kecemerlangan akademik institusi pengajian tinggi.
Kita mempunyai acuan kita sendiri dalam mentadbir dan mendidik anak bangsa. Oleh yang demikian kesemua aspek yang boleh meningkatkan nilai tambah ke arah usaha ini harus dipertingkatkan. Tidak sepatutnya kita hanya bertumpu kepada sesetengah aspek yang mana hanya semata-mata bertujuan mendapatkan kedudukan yang baik. Jika kita mampu melakukannya, pasti kecemerlangan kita akan kekal.
* MOHD. ANAS ALI adalah mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia sesi 2005/2006.
0 Komentar untuk "Ketepikan kedudukan, tingkatkan prestasi IPT"