MANILA 13 Nov. – Bekas Presiden Filipina, Joseph Estrada, 70, mungkin akan kehilangan harta peribadinya apabila sebuah mahkamah antirasuah hari ini memutuskan tuntutan semula kira-kira 729 juta peso (RM56.76 juta) yang digelapkannya akan diteruskan.
Sherif Mahkamah, Ed Urieta menyatakan pihaknya akan meminta pihak berkuasa membekukan empat akaun peribadi Estrada memandangkan dua akaun yang dikemukakan kepada mahkamah sebelum ini hanya mempunyai 200 juta peso (RM15.57 juta).
Menurut Urieta, mahkamah juga akan melihat kepada kereta-kereta dan harta milik Estrada, walaupun selepas Presiden Gloria Macapagal Arroyo mengampunkan bekas pelakon tersebut, bagi memastikan jumlah yang dituntut mahkamah itu dipulangkan sepenuhnya.
September lalu, Estrada turut diarah mahkamah supaya menyerahkan ‘Rumah Agam Boracay’ miliknya di Manila yang mendapat namanya daripada pasir yang dibawa khas dari Pulau Boracay selain sebuah kolam yang dilengkapi mesin khas bagi menghasilkan ombak tiruan.
Bagaimanapun, bumbung rumah mewah itu roboh sementara perhiasan dalamannya pula telah ‘dicuri’ sebelum Estrada sempat disabitkan kesalahan rasuah.
Sementara itu, peguam Estrada menyatakan mereka akan memohon mahkamah tinggi menghentikan tindakan tribunal antirasuah tersebut daripada merampas harta persendirian bekas Presiden itu, selain daripada yang ditetapkan di mahkamah pada 12 September lalu.
– Reuters
0 Komentar untuk "Estrada diarah serah aset RM56 juta"