Benazir ditahan lagi - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Benazir ditahan lagi

LAHORE 13 Nov. – Pihak berkuasa melancarkan operasi keselamatan besar-besaran hari ini dengan meletakkan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto di bawah tahanan rumah untuk kali kedua dalam tempoh seminggu.

Tindakan itu bertujuan menghalang beliau daripada melancarkan bantahan besar-besaran bagi menentang perintah darurat yang diisytiharkan oleh Presiden Jeneral Pervez Musharraf.

Lebih 1,000 anggota polis mengepung kediaman seorang pemimpin kanan Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang menjadi tempat penginapan Benazir semasa kunjungannya ke sini.

Pada masa yang sama, berpuluh-puluh penyokongnya ditangkap di kawasan berdekatan.

“Rumah itu telah diisytihar sebagai penjara,” kata Ketua Polis Lahore, Ayaz Salim yang turut berada di luar kawasan rumah terbabit bagi menguatkuasakan penahanan ke atas Benazir.

Bagaimanapun, seorang pembantu Benazir mendakwa para penyokong pemimpin itu akan merobohkan penghadang di sekitar rumah itu bagi membolehkan beliau meneruskan perarakan.

Rancangan Benazir mengadakan perarakan dari Lahore ke Islamabad telah meningkatkan lagi ketegangan politik Pakistan dan menyelubungi prospeks membentuk perikatan dengan Pervez bagi menentang golongan pelampau.

Pihak polis menyekat semua jalan raya menuju ke Lahore yang akan dijadikan permulaan oleh Benazir bagi mengetuai perarakan sejauh 300 kilometer bagi menentang kuasa darurat yang dimiliki oleh Pervez.

Awal pagi ini lapan trak dan traktor menarik treler yang penuh dengan pasir untuk diletakkan di beberapa batang jalan raya.

Pada masa yang sama, polis berada di belakang kenderaan dan penghadang berkawat besi.

Pembantu Benazir, Senator Sfadar Abbasi berkata, penahanan itu tidak sah kerana bekas Perdana Menteri itu atau wakilnya tidak mendapat dokumen penahanan tersebut.

“Beliau tidak akan mematuhi larangan itu. Kami bersedia mengadakan perarakan dan para penyokong kami akan mengalihkan semua penghadang yang ada di laluan,” tegas Sfadar.

Perarakan itu bertujuan mendesak Pervez menamatkan perintah darurat yang diisytiharkan pada 3 November lalu serta meletakkan jawatan tenteranya.

Jumaat lalu Benazir turut dikenakan tahanan dalam rumah sehari bagi menghalang beliau berucap pada perhimpunan di Rawalpindi atas alasan keselamatan.

– Agensi

0 Komentar untuk "Benazir ditahan lagi"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI