Komanwel ancam gantung keahlian Pakistan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Komanwel ancam gantung keahlian Pakistan

LONDON 13 Nov. – Majlis Komanwel semalam mengancam untuk menggantungkan keanggotaan Pakistan kecuali jika Presiden Pervez Musharraf menarik balik perintah darurat dan mengambil langkah-langkah lain sebelum 22 November ini.

“Sekiranya Pakistan gagal melaksanakan langkah-langkah ini, Majlis Komanwel akan menggantungkan keanggotaannya,” kata Setiausaha Agung Komanwel, Don McKinnon.

Kumpulan tindakan peringkat menteri itu mengeluarkan kenyataan selepas mesyuarat hampir dua jam berhubung isu Pakistan, di sini.

Antara langkah-langkah yang dituntut ialah menarik balik dengan serta-merta perintah darurat yang diisytiharkan di Pakistan 10 hari lalu dan memulihkan perlembagaan.

Pergerakan itu turut menggesa Pervez supaya meletak jawatan sebagai ketua tentera Pakistan dan bertindak dengan serta-merta untuk mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil.

“Tuan diberi tempoh 10 hari. Kami percaya tuan boleh melakukannya,” kata McKinnon dalam mesej yang ditujukan kepada Pervez.

Kumpulan tindakan itu dijadualkan bersidang di Kampala, Uganda pada 22 November, iaitu sehari sebelum berlangsungnya sidang kemuncak ketua-ketua kerajaan Komanwel, di mana perkembangan di Pakistan akan dikaji semula.

Selain itu kata McKinnon, Pervez yang merampas kuasa pada 1999 mestilah membebaskan kesemua tahanan politik dan menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas media.

Pervez telah mencetuskan kecaman antarabangsa apabila beliau mengisytiharkan undang-undang darurat pada 3 November lalu, menggantungkan perlembagaan, memecat beberapa orang hakim, menahan beberapa orang peguam dan menangkap beribu-ribu anggota pembangkang.

– Reuters

0 Komentar untuk "Komanwel ancam gantung keahlian Pakistan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI