Wanita, Puteri kena bersatu, lupa 'kisah silam' demi Umno - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Wanita, Puteri kena bersatu, lupa 'kisah silam' demi Umno

Oleh Misiah Taib

BENARKAH Pergerakan Wanita Umno menutup pintu kepada kemasukan ahli Puteri, sayap parti yang sudah berusia enam tahun? Had usia Ketua Puteri ialah 40 tahun, manakala ahli biasa yang lain, termasuk Naib Ketua dan Exconya, dihadkan kepada 35 tahun.

Tetapi selepas melebihi had usia itu, ada cakap-cakap mengatakan semacam ada sekatan daripada Wanita Umno, mengenai kemasukan ahli Puteri. Malah, tindakan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz menolak usul Puteri supaya Perlembagaan parti dipinda bagi membolehkan wanita berusia 35 tahun ke bawah secara automatik menjadi ahli Puteri, mengiyakan lagi andaian sesetengah pihak kononnya wujud 'dasar tutup pintu'.

Bagi Rafidah, biarlah wanita muda berusia 35 tahun ke bawah itu diberi kebebasan memilih sama ada mahu menyertai Wanita atau Puteri. Ada juga yang mendakwa bahawa Wanita Umno memilih 'bulu' siapa yang hendak mereka terima di kalangan ahli Puteri untuk menyertai pergerakan yang lebih 'senior' itu.

Mungkin mesej disampaikan Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, pada perhimpunan agung minggu lalu, boleh dirungkai apabila beliau antara lain menyebut "adat Melayu pantang menderhaka. Yang muda disayangi, yang tua dihormati. Bak kata pepatah, naik tangga biarlah dari bawah, alur bertempuh, jalan berturut."

Tidak sukar dimengertikan bahawa mesej yang ingin disampaikan ada kaitannya dengan cubaan untuk melaga-lagakan Rafidah dengan bekas Ketua Puteri Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk jawatan Ketua Wanita Umno pada pemilihan parti akan datang.

Segala-galanya bermula daripada pencalonan awal Umno Bahagian Cheras supaya Azalina menentang Rafidah untuk jawatan itu. Ketika Azalina sendiri tampak tenang dan memilih untuk bersikap berdiam diri, Rafidah pula menerima ikrar sokongan padu 1.2 juta ahli pergerakan itu menerusi ketua Wanita negeri pada perhimpunan baru lalu.

"Azalina tak akan komen isu membabitkan Wanita, apa lagi cubaan untuk melaga-lagakan beliau dengan Rafidah," kata orang kanan Azalina dan memang benar beliau langsung tidak mahu 'buka mulut' mengenai isu berkenaan dan mengambil sikap cukup berhati-hati.

Semua tahu sejarah awal penubuhan Puteri menyaksikan hubungan tidak mesra antara Wanita dan Puteri Umno gara-gara jolokan 'makcik-makcik' yang digunakan Azalina dalam menggelar ahli Wanita Umno pada awal penubuhan sayap berkenaan, sehingga menyebabkan ramai pemimpin dan ahli Wanita berkecil hati dan ada yang terasa sehinggalah ke hari ini.

Akhirnya apabila pengasas Puteri Umno itu melangkau usia 40 tahun yang menyebabkan dia tidak lagi layak memegang jawatan Ketua Puteri, dia terpaksa memilih untuk bertanding dalam Majlis Tertinggi (MT) dan tidak berada dalam Wanita.

Daripada jawatan Ketua Puteri yang setaraf Naib Presiden, kini Azalina hanya menjadi ahli MT. Pada peringkat akar umbi, ada ahli Puteri dikatakan 'kurang dialu-alukan' menyertai Wanita apabila usia melepasi 35 tahun. Akibatnya, ada bekas ahli Puteri masih kelihatan aktif membantu aktiviti yang dijalankan Puteri sedangkan usia sudah melangkah ke pergerakan lebih senior iaitu Pergerakan Wanita Umno.

Selepas Azalina, mungkinkah peneraju Puteri sekarang, Datuk Noraini Ahmad yang baru saja menyambut ulang tahun ke-40 pada 7 November lalu, akan mengalami nasib sama? Apakah di sebalik kenyataan beralas pemimpin Wanita menggambarkan bahawa Wanita mengamalkan dasar tutup pintu terhadap ahli Puteri dan ke manakah hala tuju Puteri Umno selepas tamat usia dalam pergerakan itu?

Apakah tiada tempat dalam Wanita untuk ahli Puteri, terutama bekas pemimpinnya pada peringkat negeri, bahagian dan cawangan?

Hakikatnya dari segi hubungan dengan pucuk kepemimpinan Wanita, baik Rafidah mahupun Shahrizat dan pemimpin kanan lain dalam Wanita, Noraini dikatakan tidak menghadapi sebarang masalah sejak awal lagi hinggalah sekarang. Noraini sendiri mengakui bahawa Rafidah sering menasihatinya dalam banyak perkara dan sering mengingatkannya supaya bekerja kuat demi parti.

Bagi Ketua Penerangan Puteri Umno, Datuk Shahaniza Shamsuddin, tidak harus wujud sebarang masalah dalam jalinan hubungan antara Wanita dan Puteri, namun beliau mengakui tempias awal sejarah penubuhan sayap Puteri masih terkesan di hati sesetengah ahli Wanita, menyebabkan ada bahagian yang menyaksikan hubungan kurang mesra antara ahli kedua-dua sayap ini.

Kewujudan Puteri menurut Shahaniza, adalah untuk membantu Wanita, bukan nak menjadi pesaing dan bila Puteri menyuarakan usul supaya wanita bawah 35 tahun automatik menjadi ahli Puteri, bukan nak berebut keahlian dengan Wanita, tetapi untuk memudahkan pengurusan kerana yang lebih penting ialah semuanya berada di bawah satu bumbung iaitu Umno.

Seorang pemimpin Wanita yang dulunya pernah menjadi 'orang kuat' Puteri berpendapat perlu ada sikap bertolak ansur, saling menyokong serta saling melengkapi dalam Wanita Umno yang kini mempunyai 1.199 juta ahli dan Puteri yang kini mempunyai 417,538 ahli, demi kepentingan Umno.

Seorang lagi pemimpin Wanita, menganggap tindakan mencalonkan Azalina bertanding Ketua Wanita tidak kena pada tempatnya kerana Azalina sendiri tidak pernah melalui proses ketua wanita cawangan, bahagian dan negeri, terus melonjak nak naik jadi nombor satu.

Bagi Noraini sendiri, apa lebih penting beliau meneruskan perjuangan dalam Wanita apabila tiba masanya, tanpa mahu memikirkan percaturan pelbagai pihak yang mahu melihat 'tempat' yang akan diberikan kepadanya dalam Wanita kelak.

Kerana lahir dalam sebuah keluarga Umno, kedua-dua orang tuanya aktif dalam Umno, Noraini berpegang kepada prinsip biar apapun yang berlaku, parti harus diutamakan berbanding kepentingan diri.

Biar apapun tanggapan orang kuat Puteri dan Wanita dalam isu ini, yang harus diutamakan ialah Umno itu sendiri. Kewujudan Puteri adalah satu proses meremajakan parti dan kedua-dua sayap perlu saling menyokong perjuangan masing-masing, bukannya bersikap 'depan cium mulut, belakang tikam kawan' demi memenangkan Umno dan memastikan Umno terus relevan sampai bila-bila.

Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian, Melaka
0 Komentar untuk "Wanita, Puteri kena bersatu, lupa 'kisah silam' demi Umno"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI