Di Luar Lingkaran: Bahaya monopoli edaran akhbar - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Di Luar Lingkaran: Bahaya monopoli edaran akhbar

Oleh Johan Jaafar
zulujj@tm.net.my

Agenda Melayu akan terjejas jika hanya satu kaum kuasai pengedaran

BUAT kali pertama dalam sejarah 61 tahun Umno dan 58 kali persidangan parti itu, ucapan dasar Presiden tidak disiarkan oleh semua akhbar arus perdana pada keesokan harinya. Perayaan Deepavali jatuh pada 8 November, pada hari dengan hampir semua akhbar arus perdana tidak boleh diedarkan. Rangkaian pengedar akhbar memilih untuk bercuti pada 8 November itu. Hanya akhbar dari Kumpulan Utusan dan sebuah akhbar Cina yang terbit dan mereka terpaksa mengatur sendiri kaedah jualan bagi mengatasi masalah itu.

Perkara ini sudah dibangkitkan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ketika membahaskan usul ekonomi dan pendidikan dalam Perhimpunan Agung Umno ke-58 pada Khamis lalu. Beliau melihatnya sebagai kelemahan struktur rangkaian bekalan di negara ini apabila hanya satu kaum menguasainya. Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib juga menyentuh hal terbabit apabila bercakap kepada media.

Soal rangkaian pengedaran akhbar ini bukan baru. Malah, Kumpulan akhbar The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) secara berani sudah cuba memecahkan monopoli pengedaran ini pada era 90-an dulu. Selama hampir tiga bulan ketegangan berlaku di antara pengedar dan kumpulan ini. Kumpulan ini menghadapi banyak kesan buruk daripada usaha itu dan sistem pengedaran kembali seperti asal. Tidak mudah untuk menghadapi sistem yang sudah begitu sebati.

Mungkin ada hikmahnya peristiwa ini berlaku dalam perhimpunan kali ini. Sekurang-kurangnya pimpinan Umno, perwakilan dan orang ramai menyedari pengedaran akhbar hanyalah salah satu daripada banyak rantaian pengedaran barang yang monopolinya dipegang kaum tertentu. Dalam hampir semua sistem rangkaian ini, orang Melayu berada di pinggiran.

Umno harus sedar bahawa hal seperti ini sudah menjadi bahan bualan di kalangan pengamal media sejak sekian lama. Mereka sudah menghantar pelbagai mesej kepada pimpinan parti. Tetapi selalunya oleh kerana ini bukan kepentingan awam atau yang tidak akan membawa keuntungan politik kepada sesiapa, isu ini tenggelam dalam lipatan sejarah. Pemilik media berbahasa Melayu harus menelan kekecewaan. Daripada jumlah iklan yang terbatas hinggalah harga kertas, mereka dibiar menanggungnya sendirian.

Dalam soal pendapatan iklan, dalam tulisan sebelum ini saya sudah menunjukkan bahawa hasil iklan bagi semua akhbar berbahasa Melayu dikumpulkan tidak boleh menandingi pendapatan sebuah akhbar berbahasa Inggeris. Bukan saja syarikat milik Melayu dan syarikat yang berkaitan dengan kerajaan, kementerian dan jabatan kerajaan pun ada yang enggan mengiklan di akhbar berbahasa Melayu! Tetapi akhbar diminta untuk menunaikan tanggungjawab sosial. Itulah ironinya.

Kadangkala pimpinan Umno sendiri terlupa implikasi kewangan yang terbabit dalam soal edaran ini. Kumpulan akhbar NSTP saja mengedarkan akhbar bernilai hampir RM1 juta sehari dan mengambil kira komisen 25 hingga 30 peratus kepada pengedar, jumlah komisen kepada pengedar ialah di antara RM250,000 dan RM300,000 sehari. Dalam setahun, daripada kumpulan ini saja komisen untuk pengedar akhbar melebihi RM100 juta. Komisen yang ditanggung oleh Kumpulan Utusan Melayu untuk dua akhbarnya Utusan Malaysia dan Kosmo melebihi RM30 juta setahun.

Perlu diingat, ini hanya membabitkan akhbar dalam Kumpulan NSTP dan Utusan Melayu. Kira-kira dua juta naskhah akhbar harian beredar di negara ini setiap hari. Sekiranya harga setiap satunya RM1 dengan komisen 25 peratus, jumlah wang yang terbabit ialah RM500,000 sehari. Bayangkan jumlah komisen dalam setahun. (Kebanyakan akhbar harian dijual dengan harga RM1.50). Satu kajian tidak lama dulu menunjukkan komisen untuk edaran akhbar di negara ini bernilai lebih RM400 juta setahun.

Ini bukan industri kecil dan remeh. Industri akhbar membabitkan berbilion-bilion ringgit. Lebih penting lagi ia adalah industri minda dan ilmu. Edaran akhbar amat penting untuk negara. Penerbitan akhbar adalah sebahagian daripada industri ilmu yang kompleks itu. Tetapi seperti dalam banyak hal, sistem pengedaran akhbar masih tradisional, ditentukan oleh kumpulan yang amat kuat dan berpengaruh yang akan mempertahankan sistem monopoli ini dengan apa cara sekalipun.

Ini bukan sesuatu yang menghairankan. Daripada pengedaran roti hingga simen, daripada ayam hingga ikan, sistem rangkaian tradisional bertolak daripada kaum ini sudah wujud sekian lama. Dalam konteks pengedaran akhbar, syarikat akhbar terpaksa bergantung pada sistem ini. Sebarang usaha untuk mempersoalkannya, akan berdepan dengan tentangan dan akhirnya krisis berlarutan. Umno harus memandang serius soal ini.

Umno harus sedar bahawa dalam mereka bercakap mengenai hal-hal besar dan hebat dan dalam usaha memperkasa ekonomi Melayu dan menjadikan orang Melayu personaliti yang perkasa, ada masalah dasar yang perlu ditangani. Ini isu yang selalu diabaikan. Dalam konteks rangkaian yang disebutkan oleh Khairy, edaran akhbar hanya satu aspek kecil daripada sistem rantaian yang bernilai berbilion-bilion ringgit. Lagipun ini potensi luar biasa bagi orang Melayu.

Memang sukar untuk memecahkan rangkaian ini. Nampaknya sistem yang mengekang ini akan berterusan selamanya. Dalam usaha untuk meningkatkan upaya ekonomi orang Melayu, aspek jualan cara edaran dan runcit ini amat penting. Inilah teras daripada perniagaan 'pertengahan' yang kurang diceburi oleh orang Melayu. Orang Melayu tertarik hanya pada usaha niaga besar, kontrak kerajaan dan jualan kecil-kecilan di pasar dan di tepi jalan. Tetapi sektor peruncitan selalunya dilupakan. Daripada kedai tayar hingga telefon bimbit, orang Melayu amat kurang terbabit.

Memang Umno sudah melakukan banyak usaha untuk meningkatkan upaya ekonomi orang Melayu. Dasar Ekonomi Baru (DEB) memang sudah membuahkan banyak hasil. Tetapi program ekonomi tidak harus terhenti sekadar perbincangan mengenai ekuiti, kelahiran kelas menengah Melayu, pertumbuhan golongan profesional Melayu, kekuatan daya beli baru Melayu atau kejayaan ahli perniagaan Melayu dalam pelbagai sektor.

Orang Melayu harus berani memasuki bidang peruncitan dan pengedaran yang selama ini menjadi kekuatan dan monopoli kaum lain. Orang Melayu sudah menampakkan kejayaan dalam usaha pengedaran buku misalnya. Sistem 'pengedar Dewan Bahasa dan Pustaka' yang diperkenalkan sejak era 50-an itu sudah melahirkan satu generasi pengedar buku di kalangan orang Melayu di negara ini. Apabila bahagian pengedaran DBP diswastakan kepada Dawama Sendirian Berhad, usaha ini diteruskan, malah diperkuat. Industri buku di negara ini bernilai RM1.5 bilion setahun. Komisen untuk buku jauh lebih besar, membabitkan di antara 30 hingga 40 peratus harga setiap buku.

Moral ceritanya jikalau diberikan peluang, orang Melayu mampu menjadi penjual dan pengedar akhbar seperti juga mereka sudah memecahkan monopoli pengedaran buku suatu masa dulu. Orang Melayu harus melihat aspek pengedaran dan peruncitan buku dan akhbar ini sebagai sumber perniagaan baru.

Apabila akhbar arus perdana tidak terbit pada 8 November 2007, banyak orang membuka mata terhadap realiti sebenar. Mereka akan sedar bahawa kompleksnya sistem pengedaran yang selama ini menyulitkan pemilik dan pimpinan media. Apabila pengedar mahu empat hari cuti dalam setahun, pemilik media harus akur. Kita semua tahu, dalam sehari macam-macam perkara boleh berlaku. Pada 7 November apabila Presiden Umno menyampaikan amanat penting sebagai permulaan 50 tahun kedua kemerdekaan tanah air, pada keesokan harinya, akhbar tidak ada di pasaran.

Ini pengajaran terbaik daripada perhimpunan kali ini.
0 Komentar untuk "Di Luar Lingkaran: Bahaya monopoli edaran akhbar"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI