APA pandangan Dr mengenai perhimpunan agung Umno tahun ini berbanding tahun sebelum ini?
Perkara yang ketara dibincangkan perwakilan tahun lalu adalah agenda Melayu, selain pembahagian ekuiti ekonomi. Tahun ini, terdapat beberapa perkara lain yang dibahaskan perwakilan. Antara yang menarik ialah mengenai pembangunan Melayu ke hadapan dan hasrat pemimpin yang ingin melonjakkan Melayu menjadi bangsa angkasa.
Kedua ialah penekanan terhadap pembangunan modal insan. Ini boleh dilihat daripada sikap pemimpin yang menyatakan pelaburan besar kerajaan kepada sektor pendidikan sebagai tindakan untuk menjadikan Malaysia secara keseluruhan dan Melayu sebagai bangsa angkasa.
Ketiga, tuntutan Pergerakan Wanita supaya pemimpin memberi perhatian terhadap pembahagian kerusi yang lebih adil untuk wanita.
Keempat, isu pada tahun ini yang tidak dibincangkan tahun lalu adalah berkaitan lambakan pekerja asing dan kelima ialah isu supaya kerajaan menentukan pembahagian subsidi yang lebih adil, terutama kepada rakyat miskin.
Kelainan ketara antara fokus pemimpin dan perwakilan dalam perhimpunan agung kali ini ialah perbincangan tidak hanya ditumpukan kepada agenda Melayu, tetapi meliputi kedudukan orang Melayu sekarang dan masa depan. Fokus ini adalah sesuai bagi menyediakan Melayu sebagai 'bangsa angkasa' yang mampu bersaing dalam dunia global yang mencabar.
Adakah mesej yang cuba disampaikan dalam perhimpunan kali ini jelas kepada rakyat?
Mesej itu jelas. Pemimpin bercakap untuk mengangkasakan bangsa, meneruskan agenda Melayu yang diperkatakan sejak tahun lalu dan memartabatkan bangsa.
Perkara yang tidak jelas ialah apakah tindakan yang akan diambil untuk memartabatkan bangsa? Apakah halangan yang kita hadapi? Ini yang rakyat hendak tahu, tetapi saya melihat pemimpin dan pembahas tidak mengulas perkara ini dengan lebih lanjut.
Oleh itu, kita masih melontarkan idea, tetapi tidak memberi penyelesaian kepada masalah yang kita timbulkan. Untuk menjadikan mesej itu jelas, pemimpin perlu memberitahu apa yang akan dibuat untuk memartabat Melayu.
Apakah perhimpunan ini satu mekanisme atau saluran berkesan untuk mengatasi pelbagai masalah di dalam negara?
Mekanisme yang berkesan bukan terletak kepada perwakilan dan perhimpunan agung Umno. Perwakilan hanya memberitahu pemimpin apa yang mereka mahu untuk orang Melayu. Tindakan berikut adalah tanggungjawab pemimpin untuk melaksanakan permintaan perwakilan.
Mekanisme pelaksanaan terletak kepada pemimpin yang mempunyai jentera kerajaan. Jika pemimpin cekap dan mempunyai komitmen, maka perhimpunan agung berkesan sebagai mekanisme untuk melaksanakan hasrat orang Melayu yang diwakili oleh Umno. Begitu juga sebaliknya.
Isu mengenai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diperkatakan tahun lalu dan berulang tahun ini. Selepas setahun, sejauh manakah Dr melihat kritikan terhadap isu ini berkesan?
Isu GLC banyak disentuh tahun lalu kerana perjuangan Umno untuk meningkatkan agenda Melayu. Sebab itu tahun lalu, kita melihat kekecewaan perwakilan terhadap GLC yang tidak memberi tumpuan untuk meningkatkan martabat ekonomi orang Melayu.
Tahun ini GLC tidak disentuh dengan banyak. GLC terlalu banyak aspek dan fokus. Tahun ini, saya melihat perhimpunan lebih menyentuh mengenai pilihan raya, pendatang asing, kenaikan harga barang, cabaran ekonomi dan pembangunan wilayah ekonomi untuk memacu ekonomi orang Melayu di luar bandar.
Suatu perkara utama yang disebut tahun lalu ialah ungkapan berulang-ulang Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai kepentingan keharmonian kaum dan kerjasama politik antara kaum kerana itu adalah asas kestabilan politik negara. Dalam ilmu politik, ini dipanggil politik permuafakatan iaitu antara parti politik pelbagai kaum dalam Barisan Nasional (BN).
Dari segi peranan GLC meningkatkan martabat orang Melayu, kita tidak boleh nafikan peranannya. Ini berdasarkan peranan Petronas dalam Koridor Ekonomi Pantai Timur (Ecer). Cuma masalahnya ialah kejayaan itu hanya untuk segelintir rakyat.
Presiden berazam meningkatkan tahap pendidikan dan kemahiran rakyat tempatan. Adakah perkara ini mempunyai kaitan dengan masalah graduan menganggur?
Antara punca graduan menganggur adalah kerana mereka tidak ada kemahiran insaniah seperti mereka tidak pandai bercakap, tidak yakin dan tidak mempunyai kemahiran keusahawanan, lemah Bahasa Inggeris, manakala kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) masih pada peringkat asas.
Mereka menemui kegagalan jika hendak masuk ke alam pekerjaan dengan semua kekurangan ini. Mereka boleh menjadi kreatif jika ada daya keusahawanan.
Bagaimana dengan isu penting dalam perhimpunan kali ini dan berkaitan dengan rakyat, iaitu subsidi yang ditanggung kerajaan?
Kita perlu faham bahawa kerajaan menanggung beban yang besar untuk memberikan subsidi. Bagaimanapun, kerajaan perlu memikul subsidi kerana itu adalah tanggungjawab sosial untuk mensejahterakan masyarakat.
Kalau harga minyak naik sehingga AS$100 dolar setong sekalipun, tidak ada justifikasi besar untuk kerajaan mengurangkan subsidi dengan menaikkan harga minyak kerana jika berlaku kenaikan harga minyak dalam masa terdekat, ramai rakyat yang bekerja sendiri dan petani di kampung tidak boleh menampung kenaikan kos sara hidup.
Bagaimana kerajaan mahu menstruktur semula sistem subsidi dengan tumpuan kepada rakyat berpendapatan rendah?
Saya tidak fikir cadangan mengadakan sistem subsidi terpisah seperti itu sebagai langkah yang baik. Kita boleh memberi subsidi minyak kepada nelayan dan sektor pengangkutan kerana boleh mengenal pasti sektor itu.
Bagaimanapun, kalau hendak memberi subsidi barang murah kepada satu golongan sedangkan golongan lain perlu bayar sendiri, itu sukar. Kita akan mewujudkan kemelut dalam masyarakat. Dalam soal kasih sayang kerajaan, ia perlu diberi kepada semua rakyat. Kerajaan perlu menjaga kebajikan rakyat secara umum.
Dalam perhimpunan agung tahun lalu, isu hubungan antara kaum agak hangat, tetapi tahun ini lebih terkawal. Mengapa?
Perhimpunan tahun lalu menjadikan agenda Melayu selaku keutamaan. Walaupun tahun ini, Umno meneruskan agenda Melayu tetapi untuk mengelakkan salah faham dan menjaga keharmonian kaum, isu ini dibahaskan dengan lebih berhemah.
Bagaimanapun, saya melihat hak orang Melayu terus dipertahankan oleh pemimpin dan perwakilan. Cuma dalam konteks perwakilan, mereka menghormati hak kaum lain. Perhimpunan kali ini memperbetulkan apa yang tidak baik pada tahun lalu.
0 Komentar untuk "Pembangunan Melayu, modal insan kupasan terbaik"