Benazir dikenakan tahanan rumah - Usaha halang rapat umum anjuran pembangkang di Rawalpindi - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Benazir dikenakan tahanan rumah - Usaha halang rapat umum anjuran pembangkang di Rawalpindi


BENAZIR Bhutto bercakap kepada para pemberita di pekarangan kediamannya di Islamabad semalam selepas dikenakan perintah tahanan rumah untuk menghalangnya menghadiri rapat umum di Rawalpindi. – Reuters.

ISLAMABAD 9 Nov. – Polis Pakistan dengan bantuan kenderaan perisai menahan pemimpin pembangkang yang juga bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto di kediamannya di sini hari ini.

Seorang menteri Kabinet berkata, tindakan itu diambil bagi menghalang Benazir daripada mengadakan rapat umum pertamanya sejak Presiden Pervez Musharraf mengenakan perintah darurat.

“Beliau telah ditahan di rumah tetapi langkah ini hanya sementara dan diambil bagi menyekat beliau daripada menghadiri perhimpunan,” kata Menteri Kereta Api yang juga sekutu rapat Pervez, Sheikh Rashid Ahmed.

Beberapa jam selepas dikenakan perintah tahanan itu, Benazir cuba melepasi kepungan polis ke atas kediamannya.

“Beri laluan, kami saudara kamu.

“Bapa saya berkorban nyawa untuk kamu dan negara ini,” rayu Benazir menerusi pembesar suara kepada polis ketika kereta kalis peluru yang dinaikinya cuba melepasi kepungan.

Kenderaan yang dikerumuni oleh penyokong itu melepasi satu sekatan tetapi disekat oleh sebuah bas polis yang terletak di jalan sempit di belakang rumahnya.

Polis juga dilaporkan menangkap sehingga 5,000 penyokong Benazir bagi menghalang rapat umum untuk memprotes perintah darurat.

Pengharaman terhadap perhimpunan awam akan dikuatkuasakan dan polis tidak memberi permit untuk rapat umum yang dirancang oleh Benazir di Rawalpindi pada 1.00 petang ini (2.00 petang waktu Malaysia).

Datuk Bandar Rawalpindi semalam memberi amaran, terdapat “laporan boleh dipercayai” bahawa sehingga lapan pengebom berani mati bersedia menyerang rapat umum itu, yang dikhuatiri mengulangi tragedi 19 Oktober iaitu serangan selepas kepulangan Benazir.

Tindakan keras itu menunjukkan bahawa seminggu selepas menggantung perlembagaan negara, Pervez terus mengenakan tekanan ke atas musuh politiknya walaupun beliau semalam mengumumkan pilihan raya Parlimen akan diadakan pada 15 Februari nanti.

Pervez membuat pengumuman itu selepas menghadapi tekanan hebat daripada penyokong utama beliau di luar negara, Amerika Syarikat (AS).

Langkah yang diambil hari ini akan mengeruhkan lagi hubungan dengan Benazir dan merosakkan prospeks kedua-dua pemimpin pro-Barat itu akan membentuk perikatan selepas pilihan raya bagi menentang puak pelampau.

“Kami mengutuk keras tindakan pihak berkuasa.

“Ia menunjukkan kerajaan takut dengan populariti Benazir dan tidak mahu beliau mendampingi rakyat,” kata peguam Benazir, Senator Babar Awan.

Keputusan Benazir untuk menyertai protes antikerajaan itu merupakan satu lagi tamparan hebat kepada Pervez yang popularitinya semakin merosot kini.

Sementara itu di bandar Peshawar, barat laut negara ini, polis menggunakan belantan dan gas pemedih mata untuk menyuraikan kira-kira 300 penyokong Benazir yang bersedia ke Rawalpindi.

“Kami berhimpun secara aman dan polis mengambil tindakan tanpa sebarang sebab yang munasabah,” kata Ketua Cawangan Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan Benazir di Peshawar, Arbab Alimgir.

– AP

0 Komentar untuk "Benazir dikenakan tahanan rumah - Usaha halang rapat umum anjuran pembangkang di Rawalpindi"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI