Di antara perang dingin dan perang dunia - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Di antara perang dingin dan perang dunia

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM

Presiden George W. Bush memberi amaran keras tentang kemungkinan berlakunya peperangan dunia ketiga sekiranya Iran berkeras dalam rancangan pembinaan kuasa nuklearnya. Maka untuk mengelak malapetaka perang dunia ini, Presiden Bush dengan itu mengajak seluruh dunia supaya menyertai beliau menentang Iran bagi memberhentikan program pembangunan nuklearnya. Reaksi keras Presiden Bush ini bergema menjelajahi ke seluruh dunia akibat daripada pendirian Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang mengambil sikap menyebelahi Iran setelah Moscow membuat kesimpulan bahawa program nuklear yang dibangunkan oleh Iran itu adalah program keamanan yang tidak mempunyai sebarang hubungan dengan tujuan peperangan dan ketenteraan.

Presiden Bush mengambil strategi menakut-nakutkan dunia dengan ancaman peperangan dunia ketiga ini dengan harapan beliau sekali lagi dapat mengabui mata dunia agar mengambil sikap dan pendirian menyokongnya dalam perancangannya menentang Iran, sama seperti taktiknya yang berjaya menakut-nakutkan dunia dengan “senjata pemusnah besar-besaran” yang kononnya dimiliki Saddam Hussein di Iraq sehingga perancangannya untuk menyerang Iraq pada tahun 2003 mendapat sokongan yang besar, terutamanya daripada konco-konconya.

Kali ini dunia mungkin tidak mahu mempercayainya, tetapi dunia juga tidak mahu mengambil mudah amaran tersebut, terutamanya daripada seorang yang berkuasa tinggi dan sedang menerajui sebuah kuasa besar dunia yang tidak punya sebarang pesaingnya. Dulu, kuasa besar Soviet Union, sering membayanginya dan bertindak balas terhadap segala gerak-geri kuasa besar Amerika Syarikat (AS), tetapi setelah kuasa besar komunis itu hilang dari arena dan pentas dunia, maka hanya AS yang merupakan kuasa besar tunggal dunia.

Reaksi terhadap ancaman perang dunia yang disuarakan oleh Bush ini tidak juga diambil ringan oleh rakyat AS sendiri, kerana menurut sumber-sumber media ternyata bahawa rakyat AS serik dan hampa, serta marah dengan peperangan yang dimulakan Bush di Iraq yang berlarutan dan tidak kelihatan sebarang tanda bahawa peperangan itu akan dapat diberhentikan dalam masa yang terdekat ini, tambahan pula bilangan keranda tentera AS yang diterbangkan balik ke negara mereka atau yang terkorban di Iraq tanpa dapat disediakan kerandanya, semakin meningkat dan bertambah.

Oleh itu mereka dapat membayangkan, sedangkan peperangan kecil-kecilan di Iraq ini pun tidak dapat ditangani dengan baik oleh Bush dan konco-konconya, maka betapa lagi peperangan besar-besaran yang tentunya mengundang seribu kemusnahan dan malapetaka yang lebih dahsyat. Dan ketika itu AS sendiri akan menjadi mangsanya kerana api peperangan tidak akan mengenal sempadan dan orangnya, terutamanya Putin secara mendadak menempatkan dirinya seperti gergasi dunia untuk bersaing dengan kuasa besar AS itu. Malah Putin juga mengingatkan dunia tentang apa yang berlaku puluhan tahun yang lalu dalam krisis peluru berpandu Cuba itu.

Berdasarkan hal inilah maka ramai juga penghuni dunia yang mengalu-alukan kehadiran Putin sebagai wira dunia yang bakal mencabar kuasa besar AS dan sekali lagi muncul di arena antarabangsa sebagai orang yang bakal memulakan perang dingin sekali lagi dengan kuasa besar AS. Orang mengalu-alukan kehadiran kuasa besar kedua itu merasakan bahawa hanya dengan kehadiran saingan AS sahaja, AS tidak sewenang-wenangnya cuba mencorakkan peraturan dunia lain sekehendaknya tanpa sebarang kuasa lain yang mencabarnya, atau sekurang-kurangnya menyeimbangkan penguasaan AS dalam mencorakkan politik dan ekonomi dunia mengikut kepentingannya semata- mata.

Reaksi negatif terhadap saranan Bush tentang kemungkinan berlakunya peperangan dunia ketiga ini juga dibangkitkan dengan bimbangnya oleh keadaan persaingan senjata yang wujud di dunia moden pada hari ini, iaitu bukan lagi sekadar bom atom, malah dalam zaman ini orang akan menggunakan senjata nuklear yang telah dibangunkan di banyak negara. Kemusnahan sebahagian negara Jepun ketika dijatuhkan bom atom di Nagasaki dan Hiroshima tentulah amat kecil jika ditakdirkan senjata nuklear digunakan. Sekiranya peperangan dunia menjadi peperangan nuklear, maka mungkin seluruh dunia akan merasai kedatangan kiamat, ketika segala kehancuran dan kemusnahan akan berlaku di seluruh muka bumi ini, dengan manusia dan semua makhluk di dunia akan tenggelam dalam lautan api dan udara beracun, hancur musnah dan pupus seperti debu berterbangan.

Di samping itu, ramai orang yang tidak mahu juga memperkecil-kecilkan amaran Bush tentang perang dunia ketiga ini, kerana telah beberapa kali Bush berjaya membawakan unsur-unsur ancaman dan ketakutan ini, dan akhirnya dia berjaya melakukan kehendak hatinya walaupun apa yang ditakut-takutkan itu sebenarnya tidak wujud.

Kejayaannya mengajak dunia menentang gerakan kemerdekaan dan perhambaan manusia yang banyak berlaku di negara-negara yang tertentu ini nampaknya termasuk akal, seperti gerakan penjajahan yang diterajuinya menentang rakyat di negara-negara yang tertindas dengan alasan memerangi keganasan. Gerakan menentang imperialisme dan penjajahan dan kezaliman zionisme, ditekan dan dilemahkan dengan slogan dan tindakannya “menentang keganasan”, iaitu seperti yang dapat disaksikan di Palestin, Iraq dan banyak rantau lain yang kini tunduk di bawah telapak kaki AS. Rakyat dan para pejuang negara-negara itu yang akhirnya tersungkur ditekan, termasuk oleh kerajaan mereka sendiri akibat pengaruh “tuan” mereka yang berselindung di sebalik gerakan ganas yang kononnya bergerak untuk menentang keganasan dan pengganas.

Bagi sesetengah penganalisis politik dan kemasyarakatan dunia, AS sendiri yang sebenarnya menjelma dalam bentuk keganasan ketika negara itu bertindak memerangi dunia dan umat negara-negara lain dengan permusuhan dan serangan bersenjatanya itu. Di Iraq sahaja akibat daripada peperangan yang dimulakan oleh AS pada tahun 2003, terdapat lebih daripada empat juta setengah rakyat Iraq yang menjadi pelarian perang, sama ada sebagai pelarian perang di dalam negara sendiri atau pelarian perang ke negara-negara luar.

Mereka lari untuk menyelamatkan nyawa dan mencari sesuap nasi yang telah dirampas oleh keganasan di dalam kampung dan daerah mereka. Puncanya ialah kekacauan dan huru-hara yang diakibatkan oleh orang yang memulakan kancah peperangan di dalam negara tersebut dan segala taktik serta strategi yang dilakukan untuk mengadu domba dan melaga-lagakan rakyat Iraq sendiri, juga oleh senjata tentera AS sendiri.

Kini tanpa mengira hari dan tempat setiap hari terdapat kematian dan kehilangan nyawa di Iraq. Dalam bulan Ramadan yang lalu, dan dalam masa merayakan ketibaan Aidilfitri yang sepatutnya disambut dengan gembira dan meriah oleh umat Islam, keadaan di Iraq tidak berbeza apa-apa dari hari-hari lain. Kematian, kesedihan, tangisan, kemusnahan dan kehancuran menjadi permainan negara yang malang itu. Air mata dan sedu- sedan yang dicurahkan oleh ibu yang kehilangan anak dan jantung hati mereka, atau oleh suami dan isteri yang kehilangan pasangan hidup mereka yang tercinta, juga oleh anak-anak yang menjadi yatim piatu kerana kehilangan ibu bapa, semuanya tercurah ke bumi tanpa membawa makna apa-apa.

Bush memeluk dan mengusap kepala rakyatnya, serta mengesat air mata yang tercurah daripada rakyatnya yang menjadi mangsa kebakaran di California baru-baru ini dengan penuh simpati dan mesra tetapi terfikirkah Bush bahawa air mata seperti itulah juga yang dicurahkan oleh rakyat yang tidak berdosa di Iraq dan Palestin akibat penglibatannya secara langsung atau tidak langsung dalam tragedi yang menimpa manusia-manusia malang itu? Apakah air mata rakyat Amerika lebih mahal?

Dalam keadaan ini, senjata dan roket tetap meletup di Iraq dan kawasan-kawasan yang bergelora lainnya, tanpa mengira sasaran. Apakah agaknya yang kita harapkan akan berlaku sekiranya dunia terpaksa memasuki kancah perang dunia seperti yang diancam oleh Bush itu? Mungkin orang gila dan orang yang tidak siuman pun akan mengatakan “tidak” kepada peperangan dunia seperti yang dapat dibayangkan itu sedangkan Bush mengatakan “Ya, mungkin akan berlaku perang dunia ketiga.”

Iran sendiri baru-baru ini memberi amaran, bahawa sekiranya ia diserang, maka Teluk Parsi dan daerah-daerah sekitarnya, jauh dan dekat, akan bersemarak menjadi lautan api, dan daratan seluruhnya akan menjelma menjadi gunung api yang paling besar, yang mungkin tidak pernah disaksikan manusia zaman kini. Mungkin hal ini termasuk akal Putin, malah mungkin juga akal Bush sendiri.

Dalam konteks ini, mungkin ramai penghuni dunia yang lebih mengutamakan kehadiran perang dingin sekali lagi daripada kehadiran perang dunia yang amat mengerikan itu.

- Penulis ialah Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi.

0 Komentar untuk "Di antara perang dingin dan perang dunia"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI