Ahli Umno, rakyat perlukan persediaan minda tangani pelbagai cabaran 50 tahun akan datang
KEDUDUKAN Umno sebagai parti teras Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara menyebabkan perbahasan dan keputusan dalam setiap Perhimpunan Agung Umno diberi perhatian kerana ia memberi kesan besar kepada rakyat. Perhimpunan tahun ini tidak terkecuali. Pelbagai isu seperti cabaran terhadap hak istimewa orang Melayu yang sebelum ini kabur menjadi jelas. Bagaimanapun, banyak lagi perkara penting yang menyelubungi perhimpunan kali ini. Ikuti penjelasan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin, manakala Nasron Sira Rahim dan Siti Nur Almizan Aripin, mendapatkan pandangan Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengenai hasil perhimpunan parti yang berakhir kelmarin.
APA perkara penting yang dapat dirumuskan dalam Perhimpunan Agung Umno 2007
Ada beberapa perkara penting pada perhimpunan kali ini. Pertama, seperti yang Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi katakan, inilah perhimpunan pertama untuk dekad 50 tahun akan datang. Lebih penting ialah ucapan Presiden yang pada pendapat saya adalah antara yang terbaik, jelas, tegas dan memperkukuhkan beberapa perkara pokok yang menjadi perkara asas dalam perjuangan Umno.
Ia meliputi perkara yang dipersetujui dalam Perlembagaan seperti hak keistimewaan orang Melayu, ekonomi, agama Islam, bahasa Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu yang Presiden kata, Umno tidak boleh kompromi.
Kedua ialah membicarakan pandangan ramai perwakilan yang disebut oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Razak, mengenai soal pokok dalam pentadbiran seperti soal subsidi yang diulang beberapa kali oleh Presiden ketika taklimat dan kemudian disambut Timbalan Presiden ketika ucapan penggulungan.
Penjelasan ini untuk menyediakan minda rakyat dan bukan saja ahli parti mengenai apa yang akan berlaku pada masa depan seperti isu subsidi. Kenyataan beliau untuk merombak sistem subsidi tidak boleh diperkecilkan.
Selain itu, persoalan utama yang menyentuh kedudukan Islam, pelajaran dan modal insan. Ini pun adalah teras dalam ucapan beliau.
Pada pandangan saya, kepentingannya ialah banyak perkara mustahak dijelaskan dan ucapan penggulungan lebih memperkukuhkan kedudukan kepemimpinan parti serta menjadikan kerajaan lebih mantap. Saya percaya hasil perhimpunan ini, rakyat dapat melihat kewibawaan Presiden kita dan ketegasan beliau menangani isu tertentu.
Dalam ucapan dasar, Presiden menyatakan mengenai perkara yang dipersetujui dan dinyatakan dalam Perlembagaan berkaitan orang Melayu dan dalam penggulungan, sekali lagi menegaskan perkara berkaitan dalam isu keseimbangan kuasa. Pandangan Tan Sri?
Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa jika ada masalah berbangkit yang mungkin menyentuh isu sensitif, sama ada mengenai kaum, agama, Presiden sedia bermuafakat secara tertutup, mendengar masalah mereka. Ini tidak harus dilihat sebagai kelemahan atau sesuatu yang apologetic (memohon maaf atau kesal), untuk berkompromi dalam soal pokok.
Kedua, adalah perkara perkongsian kuasa. Walaupun Umno adalah parti yang dominan, kepemimpinan Melayu dalam Umno sanggup berkongsi kuasa. Ini bermakna kita tidak tamak dan melihat kepentingan bukan hanya untuk kaum Melayu, tetapi untuk kaum lain dalam negara kita. Ini sudah teruji selama 50 tahun.
Jika formula yang diguna pakai sejak 50 tahun lalu cukup berkesan mewujudkan negara bangsa yang maju, berjaya, stabil dan harmoni, kenapa kita tidak boleh teruskan? Jika ada pihak yang mempertikaikan soal ini, bermakna mereka menolak formula yang sudah teruji sejak lima dekad lalu.
Saya yakin dengan penjelasan Presiden, kerajaan akan menerima sokongan rakyat dan keyakinan rakyat terhadap kepemimpinan, menjadi jelas dan tegas. Bagaimanapun, ini tidak bermakna Umno tidak menghormati hak kaum lain. Mereka ada hak sebagai warganegara dan kita hormati, tetapi Umno tidak mahu mereka memandang remeh terhadap apa yang sudah dipersetujui dan menjadi teras perjuangan parti.
Mesej itu diterima dengan jelas oleh semua parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pihak lain di luar?
Kita harapkan begitu kerana ucapan Presiden tidak boleh dipandang kecil kerana beliau juga adalah Perdana Menteri dan Pengerusi BN. Beliau sebutkan dalam ucapan penggulungan 'jangan kita saja memberi penjelasan kepada barisan pelapis di kalangan orang Melayu dalam Umno'. Mereka juga (semua pemimpin parti komponen BN) harus bersama-sama bertanggungjawab.
Ia bermakna pada masa lalu, mungkin mereka terlepas pandang. Apabila dihujah oleh ahli mereka, mereka tidak mahu menjawab dengan jelas bahawa ini sudah dipersetujui dan adalah sebahagian kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan. Pada masa sama, hak kaum bukan Melayu terpelihara.
Malangnya, mereka tidak mahu menjelaskan. Oleh itu, gesaan Presiden Umno ialah supaya kepemimpinan parti komponen lain perlu bertanggungjawab memperjelaskan kepada ahli mereka mengenai perkara sebenar yang sudah dipersetujui supaya apabila mereka faham, tidak timbul perbalahan, konflik atau pertembungan kepentingan seolah-olah Umno dan orang Melayu bersikap berat sebelah dan tidak mengambil kira kepentingan mereka.
Kita mahu kepemimpinan parti komponen lain BN, apatah lagi pihak di luar bersama-sama memainkan peranan kerana lebih penting bukan kepentingan kaum, tetapi kepentingan nasional. Rakyat perlu memahami perkara ini supaya Malaysia terus kekal aman.
Dalam perbahasan, isu pilihan raya mendapat perhatian, malah ada pembahas mengharapkan Presiden mengumumkan tarikh pilihan raya pada ucapan penggulungan, tetapi ini tidak berlaku. Pandangan Tan Sri?
Saya berpandangan ini adalah perkara yang umum sudah ketahui. Orang kata sudah terang lagi bersuluh. Umum tahu pilihan raya hampir tiba dan ia tidak akan menjadi lebih lama, lebih jauh. Sebaliknya semakin lama, semakin dekat.
Ada beberapa isyarat yang diberikan bukan saja oleh Presiden, malah Timbalan Presiden dalam ucapan beliau ketika Perhimpunan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri. Saya anggap itu sebagai permulaan kepada gendang perang. Najib minta supaya bersiap sedia. Gandingan beliau dan Presiden adalah jelas dan isyarat ini tidak boleh diketepikan.
Dalam ucapan penggulungan Presiden, sudah ada bunga-bunga menunjukkan pilihan raya akan diadakan. Bila? Beliau kata 'saya belum dapat ilham'. Dalam keadaan macam mana pun, ilham tiba dan pilihan raya adalah sesuatu yang tidak boleh dielak.
Kepentingan pilihan raya untuk memastikan kita memperoleh sokongan besar rakyat. Keputusan cemerlang pada Pilihan Raya Umum 2004 mesti kita peroleh kali ini atau tidak kurang daripada itu. Ia bermakna kita perlu bekerja. Ahli parti tidak boleh ditunjuk ajar satu demi satu.
Umum sudah tahu, menteri besar yang juga pengerusi badan perhubungan Umno negeri, ketua bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri dalam perhimpunan ini memberikan satu kenyataan yang jelas, mereka sudah bersedia menerima arahan dan boleh menggerakkan jentera.
Ini lebih penting dan tanggungjawab setiap ahli untuk pergi ke akar umbi dan berjumpa bukan saja ahli, malah pengundi untuk memperjelaskan, supaya rakyat faham dan tidak mudah dipengaruhi pembangkang.
Di sebalik teka-teki mengenai tarikh pilihan raya, Presiden secara tegas menyatakan Umno tidak gentar untuk menghadapi pilihan raya. Bagaimana Tan Sri melihat kenyataan ini?
Ia adalah sistem demokrasi yang kita amalkan selama ini. Kita telah memberi sepenuh keyakinan kepada rakyat untuk menentukan masa depan mereka dalam sistem ini. Kita serahkan kepada budi bicara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mentadbir sistem pilihan raya walaupun ada parti pembangkang mempertikaikan ketelusan perjalanan pilihan raya.
Bagaimanapun, Presiden menyatakan ada waktu pembangkang menang dan ada waktu BN menang. Ini tidak menjadi masalah. Apa pun keadaan yang berlaku, pilihan raya penting kepada Umno dan BN kerana kita hendak meneruskan tugas dan tanggungjawab membangunkan bangsa dan negara yang sudah tentu memerlukan sokongan kuat rakyat.
Pilihan raya adalah cabaran harus diterima dan dihadapi. Lebih penting ialah kita mendapat sokongan dan berjaya. Bagaimana kita hendak melaksanakan, terserah kepada kebijaksanaan kita menyahut arahan Presiden.
Presiden berbicara agak panjang mengenai demonstrasi jalanan. Apakah yang membimbangkan beliau?
Saya melihat Presiden amat serius terhadap perkara ini, malah beliau dengan tegas memberi amaran keras dan tidak akan tolak ansur terhadap mana-mana pihak hendak menggunakan demonstrasi jalanan, melanggar undang-undang negara, tidak menghormati pihak berkuasa, demi memenuhi cita rasa politik mereka.
Ini kita dengar dengan jelas dan disebut berulang kali. Jika ada pihak yang menutup telinga dan tidak mahu mendengar, saya tidak tahu apakah jenis pihak ini. Bagaimanapun, saya melihat ketegasan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, tidak mahu amalan yang menjadi perkara biasa di sesetengah negara berlaku di negara ini.
Itu bukan penyelesaian, apatah lagi apabila dipelopori pihak pembangkang yang kita tahu mempunyai agenda mereka. Pilihan raya adalah landasannya dan perkara ini disebut oleh Presiden. Tidak lama lagi pilihan raya akan diadakan, mengapa hendak mengadakan demonstrasi jalanan yang tentu tidak memberi faedah kepada rakyat.
Mungkin mereka takut atau sudah pasti tahu akan kalah dalam pilihan raya. Oleh itu, apa guna pilihan raya dan tidak perlu menghadapi pilihan raya kerana tahu tidak mendapat sokongan rakyat.
Ini adalah tindakan yang amat tidak bertanggungjawab dan kenyataan Presiden tidak boleh diambil mudah oleh sesiapa pun. Kita berharap perkara yang disebut Presiden tidak akan berlaku dan rakyat dapat meneruskan kehidupan tanpa gangguan demonstrasi dan sebarang bentuk perbuatan yang melanggar undang-undang.
0 Komentar untuk "Penjelasan Presiden perkukuh kepemimpinan"