Daripada: SOPHA SULAIMAN (JAKARTA)
Jakarta kini bukan lagi tempat untuk penduduk dari desa mencari rezeki. Kota ini tidak lagi menerima kehadiran orang luar bagi mengadu nasib. Mereka yang datang tanpa tujuan ditangkap, didenda dan diarah pulang ke kampung halaman masing-masing.
Pemerintah daerah Jakarta tidak mahu kota yang sudah padat dengan 12 juta penduduk ini dibanjiri penganggur dan pengemis. Imej kota Jakarta akan diubah sebagai kota moden yang bebas dari penganggur, pengemis dan penyanyi jalanan.
Namun wajarkah pemerintah Jakarta menyekat penduduk Indonesia dari pelbagai daerah di Pulau Jawa, Sumatera, Sulawesi dan Kalimantan datang ke ibu kota?
Tidakkah ia melanggar hak asasi manusia? Inilah persoalan yang menjadi perdebatan hangat di kalangan orang ramai dan pertubuhan sosial di Indonesia.
Penduduk marah dengan tindakan operasi untuk menangkap pendatang baru kerana ia dianggap menyekat kebebasan dan pergerakan manusia.
Selepas hari raya lalu, ratusan ribu penduduk dari desa di pelbagai daerah terutama dari Jawa Tengah dan Jawa Timur turut berhijrah ke kota ini mengikuti rakan dan saudara mereka.
Penghijrahan itu dilaporkan berlaku selepas tiap lebaran sejak beberapa tahun lalu dan matlamat mereka ke Jakarta ialah untuk mencari peluang kerja setelah menganggur di kampung.
Pendatang baru ini dikatakan datang tanpa tujuan, modal dan persiapan setelah mendengar khabar tentang indahnya Jakarta.
Pemerintah Jakarta hanya membenarkan mereka yang mendapat tajaan kerja dari majikan, urusan kerja dan perniagaan, pelajar dan pelawat mengunjungi Jakarta.
Pemerintah tidak mahu Jakarta dibanjiri dengan penganggur kerana sudah pun ada lebih 200,000 penganggur di kota ini.
Berdasarkan operasi yang dijalankan dari rumah ke rumah, asrama, rumah pembekal amah serta rumah kongsi, ramai pendatang baru ini terdiri daripada anak-anak gadis lepasan sekolah yang ingin bekerja sebagai pembantu rumah dan jurujual.
Mereka menumpang di rumah saudara-mara dan rakan-rakan sekampung yang telah lama tinggal di Jakarta, malah ada yang tidak mempunyai tempat tinggal.
Selepas hari raya sehingga ke hari ini, pihak berkuasa kota, mukim dan kampung bersama polis dan rukun tetangga telah membuat operasi besar-besaran untuk memeriksa identiti penduduk.
Mereka yang tidak memiliki kad pengenalan Jakarta akan ditahan, dibicarakan dan didenda serta- merta sekitar RM4 hingga RM8 sebelum diarah pulang.
Apa yang menarik, dalam operasi itu, penduduk yang telah lama tinggal dan bekerja di Jakarta turut ditahan kerana belum membuat kad pengenalan Jakarta.
Walaupun operasi demi operasi dijalankan Jakarta tidak mungkin dapat menyekat kehadiran ribuan penduduk luar untuk masuk ke kota kerana setiap masa pasti ada mereka yang berhijrah untuk mengadu nasib di kota yang gemerlapan ini dan kota yang dikatakan menjanjikan masa depan yang lebih baik.
Sementara itu Lembaga Bantuan Hukum (LBH) Jakarta menyifatkan operasi memberkas penduduk yang tidak memiliki kad pengenalan kota dan para pendatang baru ini merupakan satu tindakan diskriminasi kerana kebanyakannya yang diambil tindakan itu terdiri daripada orang miskin.
Semua orang mempunyai hak untuk mencari pekerjaan di Jakarta kerana kota ini adalah tempat orang desa mencari rezeki untuk mengubah hidup mereka dan bukan kota untuk orang-orang kaya sahaja, kata seorang anggota LBH.
Menurutnya operasi memberkas pendatang baru itu telah melanggar Hak Asasi Manusia (HAM) sedangkan Indonesia bukan negara persekutuan yang mensyaratkan rakyatnya memasuki wilayah lain menggunakan pasport.
LBH bagaimanapun mencadangkan agar pemerintah Jakarta tidak mengusir pendatang baru sebaliknya bekerjasama dengan pemerintah pusat untuk mewujudkan peluang pekerjaan di kota lainnya supaya rakyat tidak bertumpu ke ibu kota untuk mengadu nasib.
Jika Jakarta menolak kehadiran pendatang tanpa izin, pertubuhan- pertubuhan di negara ini juga tidak wajar untuk mengkritik negara lain termasuk Malaysia yang menghantar pulang warganegara Indonesia yang masuk ke negara lain secara secara haram.
– Mingguan
0 Komentar untuk "Jakarta tolak ‘pendatang’ sendiri"