Jadi generasi yang kuat dan tabah harungi cabaran global - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Jadi generasi yang kuat dan tabah harungi cabaran global

MINGGUAN: Apa yang boleh saudara terjemahkan tentang hasrat Presiden parti dalam usaha membawa UMNO dan negara melangkah ke 50 tahun lagi?

AMINUDDIN: Pak Lah (Abdullah) mahu memastikan negara kita menjadi sebuah negara maju dengan mengekalkan demokrasi yang ada berlandaskan modal insan. Golongan muda seperti saya, perlu melihat apa cabaran-cabaran pada masa depan. Apa yang kita ingin jadi, sebagai bangsa berjaya atau sebaliknya. Jika sekarang minda kita dijajah, kita perlu keluar daripada penjajahan ini. Negara kita telah merdeka, pemikiran juga perlu merdeka. Generasi muda tidak harus mengundur ke belakang tetapi terus memacu negara ke tahap lebih baik daripada apa yang dicapai hari ini.

Apakah persediaan yang perlu ada pada generasi hari ini untuk merealisasikan hasrat tersebut?

AMINUDDIN: Generasi muda perlu memberi penekanan kepada aspek modal insan. Ini isu yang sangat penting. Kita perlu bermuhasabah diri, tahu apa yang ingin dilakukan dan ke mana pula pergi selepas ini. Jika pengisian modal insan dapat dijayakan, kita boleh menjadi masyarakat cemerlang, gemilang dan terbilang.

Bagaimana generasi muda perlu menyahut cabaran ini?

AMINUDDIN: Kita perlu ada sahsiah diri, jati diri, semangat cintakan negara. Semangat mahu melihat negara yang kita sayangi ini terus maju. Semua generasi muda harus ada semangat ini. Dan usaha-usaha ini perlu direalisasikan, tidak sekadar semangat. Kalau kita lihat, sekarang ini ilmu memainkan peranan yang sangat penting untuk menjadikan kita satu bangsa yang dihormati. Jika kita menjadi bangsa yang berilmu dan pegangan agama kita kuat, insya-Allah kita boleh berjaya pada masa akan datang.

Apakah cabaran paling besar yang akan mengekang semangat generasi muda untuk terus membawa negara melangkah jauh ke depan?

AMINUDDIN: Gejala sosial yang semakin berleluasa adalah ancaman utama generasi muda kita ketika ini. Semua pihak wajar mengambil berat tentang perkara ini. Saya sendiri sering menasihatkan kawan-kawan saya apabila mendapati mereka semakin hilang arah, lupa tentang asal usul sebenar. Kita perlu mengambil pengajaran daripada pemimpin-pemimpin dahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan. Bukan senang untuk mencapai kejayaan ini. Anak-anak muda di negara ini hidup dengan banyak kemudahan yang disediakan oleh kerajaan, mereka tidak pernah susah. Tetapi kami, pelajar di luar negara, terpaksa berusaha sendiri. Saya belajar pada waktu siang tetapi malam bekerja untuk menampung perbelanjaan bagi mendapatkan ijazah. Saya mesti berusaha kerana tidak mahu balik dengan tangan kosong.

Bagaimana dengan sikap rakan-rakan lain di sana, adakah mereka juga bersemangat seperti saudara atau masih ada lagi yang sambil lewa?

AMINUDDIN: Memang ada yang masih di takuk lama. Saya beritahu mereka, sudah sampai masa mereka perlu berubah, melihat hala tuju negara 50 tahun akan datang. Kerana kita sendiri akan membina keluarga, mempunyai anak, apa akan jadi jika kita tidak sedar lagi.

Jika sikap yang ditunjukkan ini berterusan, bagaimana saudara dapat menggambarkan tentang masa depan negara kita?

AMINUDDIN: Saya rasa masa depan negara akan gelap. Sebab pada saya bangsa lain semakin ke depan. Kerana kita bukan sahaja bersaing setakat di dalam negara tetapi di peringkat global. Seperti saya yang belajar di UK, saya dapat melihat bagaimana masyarakat di sana mampu berjaya, jika membuat sesuatu perkara itu, mereka memang bersungguh-sungguh dan konsisten. Mereka juga tahu apa yang mereka mahu. Mereka mengejar impian hingga menjadi kenyataan. Dan semua ini memerlukan disiplin diri yang tinggi.

Bila kita melihat keadaan negara hari ini, apakah perkara yang paling membimbangkan saudara dan difikirkan perlu ditangani dengan segera?

AMINUDDIN: Kalau kita dapat membentuk remaja-remaja sekarang supaya sayang, cintakan bangsa dan negara, mampu menjadi modal insan yang benar-benar dihasratkan, yang ada integriti, saya fikir kita tidak perlu berasa bimbang.

Di mana tahap generasi muda kita ketika ini?

AMINUDDIN: Kita telah semakin maju dan tahap kita berada di landasan yang betul. Cuma masalah sedikit-sedikit itu memang ada. Tetapi keadaan ini dihadapi oleh mana-mana negara di dunia. Sebenarnya sudah setahun saya tidak balik ke Malaysia. Pemerhatian saya mendapati anak-anak muda kita makin berdaya saing.

Apa masalah ketara yang dilihat jika tidak diatasi akan memudaratkan masa depan negara?

AMINUDDIN: Seperti yang saya sebut tadi gejala sosial; isu mat rempit, dadah, lari dari rumah, seks bebas, lepak dan sebagainya. Kita perlu menyedarkan mereka bahawa perjuangan kita masih jauh. Jika tidak, kita sendiri dapat membayangkan apa yang berlaku nanti.

Tanggungjawab siapa untuk menyedarkan mereka?

AMINUDDIN: Bagi saya yang penting ialah diri sendiri dan keluarga. Kerajaan telah melakukan yang sewajarnya. Tetapi diri sendiri juga perlulah berfikir tentang faktor masa depan ini.

Merujuk kepada ucapan dasar Presiden parti tentang tanggungjawab berat yang harus dipikul oleh generasi muda, bagaimana saudara menerima semua pesanan yang diberikan ini?

AMINUDDIN: Apabila saya mendengar apa yang diperkatakan oleh Pak Lah, ia membakar semangat saya supaya menjadi generasi yang kuat dan tabah untuk mengharungi cabaran global. Saya rasa ini juga menjadi tanggungjawab saya. Saya ingin terus melihat negara kita aman, damai, bangsa kita berjaya dan insya-Allah saya akan membantu menjulang nama negara ke peringkat lebih tinggi sejajar dengan hasrat pemimpin kita.

Bagi saudara, apa yang boleh menggagalkan hasrat ini, apa yang mungkin menyebabkan negara kita tidak akan mampu untuk melangkah lebih jauh?

AMINUDDIN: Bila kita terlalu berfikiran negatif terhadap kepimpinan negara, terhadap kerajaan. Apa yang dilakukan oleh pucuk pimpinan bagi saya, adalah demi untuk kebaikan rakyat dan negara. Misalnya saya sendiri. Saya harus menerima hakikat bahawa saya adalah anak hasil Dasar Ekonomi Baru (DEB). Apa juga kejayaan yang saya capai hari ini adalah kerana peluang yang diberikan oleh kerajaan. Saya nampak jika kita berusaha dan komited, tiada sebab untuk kita ketinggalan. Kalau remaja kita mempunyai jati diri yang kuat, nilai modal insan yang tinggi, saya cukup yakin bahawa negara kita akan memacu lebih banyak kejayaan.

Di sebalik harapan menggunung Presiden UMNO, ada dakwaan mengatakan pemimpin muda hari ini hanya berjuang untuk kepentingan diri sendiri. Bagaimana saudara sendiri menafsirkannya?

AMINUDDIN: (Meminta maaf) Saya tidak boleh memberikan komen tentang perkara ini kerana saya tidak pernah mendengar dakwaan begini.

Menjelang 50 tahun akan datang, bagaimana saudara membayangkan keadaan parti pada waktu itu?

AMINUDDIN: Saya percaya UMNO akan bertambah hebat. Kerana kebanyakan pemimpin muda hari ini telah sedar betapa pentingnya mereka menjaga amanah bangsa. Kita tidak boleh lagi memandang ke belakang. Kita perlu terus memandang ke depan. Bangsa kita adalah bangsa yang hebat. Kita telah mampu meneroka angkasa. Saya amat bangga dengan pencapaian ini – orang Melayu membuat kajian di angkasa, suatu perkara yang tidak seharusnya kita perkecil-kecilkan.

0 Komentar untuk "Jadi generasi yang kuat dan tabah harungi cabaran global"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI