Jangan sisih orang muda - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Jangan sisih orang muda

Oleh: SITI MARIAM MD. ZAIN

SETIAP kali berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO, isu peranan orang muda tidak pernah ketinggalan untuk dibicarakan. Antara yang sering menjadi tumpuan perbincangan ialah tentang faktor sikap. Kata mereka, orang muda perlu berani bersuara, orang muda mesti diberi peluang untuk memperlihatkan kematangan mereka malah kata mereka lagi, pentingnya orang muda kerana merekalah penyambung bangsa yang akan mencorakkan masa depan parti dan negara.

Secara teorinya, semua orang menyedari hakikat ini. Untuk terus menjadi relevan, UMNO memerlukan suara-suara orang muda bagi memperjuangkan misi dan visi. Betapa pentingnya penyertaan dan tenaga orang muda tiada siapa pun dapat mempertikaikannya.

Atas dasar itu juga Puteri UMNO dan Pemuda UMNO ditubuhkan. Realitinya, tanpa orang muda mewarisi kepimpinan sedia ada, akan lumpuhlah sesebuah parti itu.

Namun melihat dari sudut praktikalnya, apa yang diakui ini sebenarnya sukar diterima secara terbuka. Dalam bahasa mudah, biarpun ‘mulut berkata ya tetapi di hati mungkin tidak’. Di Malaysia, keadaan ini sering kali mempengaruhi suasana. Pemimpin sedia ada sentiasa merasakan golongan muda hanya layak dipimpin dan bukan diangkat menjadi pemimpin.

Apatah lagi apabila kita membincangkan tentang peranan Puteri, sayap paling muda dalam UMNO. Sejak ditubuhkan enam tahun lalu, terlalu sedikit ahli-ahlinya yang mampu pergi lebih jauh.

Mungkin apa yang berlaku ke atas bekas ketuanya, Datuk Seri Azalina Othman Said boleh dijadikan renungan. Hingga kini, beliau dikatakan masih belum diterima penuh rela oleh Wanita UMNO.

Sampai bila Wanita UMNO mahu terus menutup pintunya kepada Azalina, sukar untuk dijawab.

Itu belum lagi cerita tentang ramai pemimpin Pemuda UMNO yang suatu waktu dahulu ‘bertaring’ tetapi kini ‘hilang’ begitu sahaja.

Kecelaruan ini sebenarnya yang cuba dileraikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak menerajui kepimpinan parti.

Dalam ucapan-ucapannya, beliau sentiasa menekankan betapa suara orang muda tidak seharusnya disekat. Kepada Abdullah, pandangan orang muda penting untuk merencanakan misi.

Mengambil iktibar apa yang diperkatakan oleh pucuk pimpinan, Puteri UMNO kali ini dilihat lebih serius memperjuangkan kedudukan mereka.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad semasa menyampaikan ucapan menegaskan betapa suara orang muda masih kurang didengari.

Keadaan tersebut jika berterusan jelas beliau, boleh mewujudkan tanggapan negatif kepada masyarakat mengenai kemampuan diri golongan muda untuk bersuara sedangkan mereka sebenarnya jarang memperoleh hak sewajarnya.

Hakikatnya kata Noraini lagi, golongan muda juga matang mengendalikan sesuatu isu dan mereka boleh melontarkan pendapat yang lebih bernas.

Permintaan ini ada asasnya kerana dunia semakin berubah. Justeru pendekatan yang digunakan juga perlu berubah. Cara pemikiran orang muda penting untuk menyesuaikan tindakan agar tidak dikatakan parti yang telah ketinggalan zaman.

Atas alasan itu, Puteri mendesak supaya suara generasi muda lebih diperhalusi dalam apa juga aspek. Keupayaan dan potensi generasi muda tidak harus dibunuh atau dicantas. Dalam masa sama, Puteri menuntut lebih banyak ruang dan peluang diberikan kepada generasi muda dari awal kerana mereka bakal pemimpin masa depan.

‘‘Berilah generasi muda ini kepercayaan agar kita mampu belajar seterusnya memacu kejayaan negara,” pinta beliau.

Benar, generasi muda harus banyak belajar lebih-lebih lagi dalam hal kepimpinan. Namun tanpa kepercayaan dari kepimpinan sedia ada, tentu sukar untuk mereka melakukan perkara terbaik dalam sudut kepimpinan akan datang.

Suka atau tidak, kita harus mengakui bahawa perjuangan orang Melayu masih panjang. Jika tempoh 50 tahun kemerdekaan banyak ranjau dan duri terpaksa ditempuhi, percayalah, untuk melalui jangka masa 50 tahun akan datang, cabaran yang menanti adalah lebih hebat lagi.

Maka UMNO perlu sentiasa bersedia. Sebagai tonggak kepada Barisan Nasional (BN), UMNO harus memastikan kepimpinannya adalah yang terbaik. Bahawa generasi pelapis perlu dibekalkan dengan semangat dan ilmu kepimpinan secukupnya bukan satu isu remeh-temeh. Kerana hanya dengan sedikit kesilapan, akan menjejaskan masa depan parti keseluruhannya.

Warga muda laksana permata untuk digilap. Mereka adalah khazanah penting negara. Mereka adalah pewaris bangsa. Merekalah yang akan menentukan kelangsungan gagasan dan perjuangan negara bangsa di hari muka. Jatuh bangun atau maju mundurnya negara pada masa akan datang, lebih bergantung kepada mereka.

Untuk itu, mereka mesti menjadi barisan kepimpinan yang mempunyai suara. Mereka perlu diasuh dan dicanai sehingga bergemerlapan.

Menyahut kata-kata Abdullah, menjadi tanggungjawab pemimpin hari ini agar proses kesinambungan kepimpinan akan datang berlaku dengan baik. Jika UMNO menjadi parti yang kuat, parti yang stabil, ini kerana UMNO memberi perhatian penting membina barisan pelapisnya.

Tetapi ini tidak mungkin akan berlaku jika ruang dan peluang yang ada disekat untuk orang muda. Realitinya, masih berlaku pada ketika-ketika tertentu, golongan ini dipinggirkan begitu sahaja.

Pun begitu, dalam usaha menuntut hak, Noraini dan ahli-ahli Puteri yang lain perlu juga melihat keikhlasan diri sendiri. Suka atau tidak, mereka harus bertanya kepada diri masing-masing tentang apakah makna perjuangan bagi mereka.

Jika perjuangan yang dibawa menjurus kepada perjuangan peribadi, wajarlah pintu itu ditutup rapat-rapat. Tetapi jika ia demi survival bangsa, ini tidak seharusnya berlaku. Tiada sebab mengapa pemimpin sedia ada berasa terancam dengan kepimpinan muda sekiranya matlamat perjuangan mereka serupa.

Menyentuh soal kuasa, kadangkala manusia lupa dengan tanggungjawab asal mereka. Ada ketikanya kerana kuasa, mereka lebih rela membutakan hati dan memekakkan telinga.

Nada yang sama juga dibangkitkan oleh perwakilan dari Terengganu, Datuk Ahmad Shabery Cheek. Beliau mengistilahkan fenomena ini sebagai ‘‘vertigo’’ iaitu penyakit gayat atau takut jatuh di kalangan pemimpin yang lama berkuasa.

Benar, banyak pemimpin politik dan menteri kebelakangan ini dihinggapi simptom ‘‘vertigo’’. Mereka tidak mahu memandang ke bawah kerana merasakan diri mereka adalah yang terbaik.

Dalam masa sama, ia membawa kesan negatif kepada negara. Mendominasikan kedudukan bererti ruang untuk melakukan perkara yang tidak seharusnya dilakukan juga semakin terbuka luas.

Lebih buruk lagi, ia akan mewujudkan lompang kesinambungan kepimpinan sesuatu organisasi.

Bukan sengaja mencari kesilapan, tetapi memetik kata-kata Noraini, Perhimpunan Agung UMNO membawa harapan bangsa. Ia medan untuk memperkukuhkan lagi perpaduan, meluahkan perasaan, memberi ingatan, mengemukakan cadangan dan merumuskan setiap tindakan.

Sebenarnya kita tiada pilihan lagi. Orang Melayu perlu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain di dunia. Pemimpin yang bertanggungjawab wajar memikirkan masa depan bangsa dan negara. Kerana ingatlah, apa pun kedudukan orang Melayu pada masa depan, ditentukan oleh pemimpin yang ada pada hari ini.

0 Komentar untuk "Jangan sisih orang muda"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI