PERHIMPUNAN Agung UMNO 2007 berakhir Jumaat lalu. Tidak ada kejutan yang benar-benar mengejutkan. Walaupun bahang pilihan raya umum semakin dirasai oleh para perwakilan tetapi Presiden UMNO, Abdullah Ahmad Badawi masih belum mendapat ilham. Maka ramalan bahawa beliau akan memberi fokus kepada pilihan raya dalam ucapan penggulungan tidak menjadi kenyataan. Tetapi jentera UMNO sudah bersedia. Pemuda dengan slogan Sedia Gempur, Wanita pula dengan Ketua 10 dan Puteri melalui pendekatan mesra.
Hakikatnya UMNO sudah bersedia, cuma menanti detik dan ketikanya.
Namun mengikuti Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), seperti biasa, dapat dilihat pelbagai ragam orang politik yang datangnya dari seluruh negara (mungkin juga dari Sarawak walaupun tidak ada UMNO). Di situlah berkampungnya orang UMNO seawal Ahad lalu sehinggalah Jumaat. Semalam atau hari ini atau mungkin esok, yang jauh mula pulang ke kawasan masing-masing.
Di situlah dapat dilihat orang politik yang dulunya berada di kerusi perwakilan atau di pentas Majlis Tertinggi (MT) kini berlegar di luar. Ada juga menjadi pemerhati VIP atau pemerhati bahagian, ada juga yang melepak di coffee-house. Jika dulu mereka bergaya dengan baju Melayu bersamping dan bersongkok, tetapi kali ini biasa sahaja. Jika dulu mereka yang berjawatan menteri atau bergelar YB (Yang Berhormat) dikerumuni bagai semut menghurungi gula ketika melalui laluan-laluan ke Dewan Merdeka, tetapi kali ini mereka keseorangan. Itu lumrah politik. Orang mudah lupa!
Seperti biasa juga di PWTC, suasana di luar Dewan Merdeka riuh-rendah kerana di situlah orang UMNO (tidak semua) berjualan pelbagai jenis barangan, produk IKS, makanan dan macam-macam lagi sama ada hasil keluaran mereka sendiri atau dibeli daripada orang tengah.
Ghairahnya orang ramai membeli tetapi tidak begitu ramai yang menyerbu kaunter SSPN atau bilik pameran Kementerian Pembangunan Usahawan.
Selain pelbagai gerai, turut menarik perhatian ialah RTM yang juga berniaga. Bukannya jual program tetapi menjual VCD, bukan VCD filem-filem atau drama terbitannya sebaliknya VCD berkaitan kisah kemerdekaan dan UMNO. Sekeping cuma RM6 berbanding VCD ucapan-ucapan perwakilan yang berharga RM10 sekeping. Tidak rugi RTM mengambil inisiatif ini kerana kedua-dua VCD itu mengimbau kembali kemerdekaan negara dan perjuangan UMNO.
Kemerdekaan dan UMNO tidak boleh dipisahkan dan ia amat bertepatan dengan semangat 50 tahun merdeka dan UMNO 50 tahun akan datang. Walaupun murah tetapi nilainya besar. VCD UMNO 25 tahun (disiarkan RTM baru-baru ini) dan Kisah Merdeka (temu bual dengan Tunku Abdul Rahman Putra pada 29 Oktober 1985) pernah disiarkan RTM pada Februari lalu. Tidak pasti bagaimana sambutan yang diberikan oleh para perwakilan dan pemerhati. Adakah ia terjual kepada semua lebih 4,000 perwakilan (termasuk Pemuda, Wanita, Puteri) yang hadir? Mungkin Menterinya, Zainuddin Maidin boleh memberi angkanya. Tetapi ahli-ahli UMNO patut menyimpan VCD ini sebagai tatapan masa depan kerana kisah perjuangan ini amat bernilai dan perlu direnungi untuk 50 tahun akan datang, hatta selamanya. Kisah suka duka pemimpin lalu amat menarik untuk dijadikan panduan generasi hari ini supaya mereka tidak mudah lupa kepada perjuangan. Melihat dua VCD ini teringat pula filem 1957: Hati Malaya. Filem arahan Shuhaimi Baba ini sarat dengan kisah suka duka orang UMNO memperjuangkan kemerdekaan. Penulis berpeluang menyaksikan filem ini bersama para VIP dan pelakon-pelakonnya di KLCC baru-baru ini. Ketika adegan lagu Negaraku berkumandang selepas Union Jack diturunkan dalam filem terbitan Pesona Pictures itu, para penonton (dewan 2 tempat penulis menonton), berdiri sebagai tanda hormat. Semoga, ia juga berlaku kepada penonton- penonton lain yang menyaksikan filem bersejarah ini.
Bagi penulis, dua VCD terbitan RTM dan filem ini sudah cukup untuk menceritakan erti kemerdekaan dan perjuangan UMNO. Begitulah ilmu yang sepatutnya diperoleh di luar Dewan Merdeka kali ini. Tidaklah para perwakilan hanya bersembang kosong atau shopping sakan bagaikan di sebuah pasar malam. Semoga selepas ini tidaklah mereka yang hadir perhimpunan itu apabila pulang ke kawasan masing-masing hanya bercerita mengenai tudung, baju kurung, butang baju atau kain ela yang dibeli di PWTC. Tahniah juga kepada Menteri Besar Perlis, Shahidan Kassim yang mengedarkan buku Perangai bergantung kepada diri sendiri, tulisan Pendeta Zaaba. Walaupun buku ini sudah diterbitkan pada 1982, mungkin ramai yang baru dua tiga hari lepas menatapnya. Itu pun kerana kemurahan Shahidan. Dan tahun depan, bersedialah pula dengan kebanjiran buku-buku mengenai siapa lawan siapa.
– HASSAN MOHD NOOR
0 Komentar untuk "Kisah UMNO, merdeka dan 1957: Hati Malaya"