Batu Putih atau Pedra Branca - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Batu Putih atau Pedra Branca

Daripada: NORAINI ABDUL RAZAK (The Hague, Belanda)

SELASA lalu, Duta Kembara di Kementerian Luar Singapura, Tommy Koh bertindak sebagai pembuka bicara bagi pihak negaranya dalam kes tuntutan bertindih kedaulatan Pulau Batu Putih dan dua pulau lagi iaitu Middle Rocks dan South Ledge di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda.

Sebelum menyentuh isu yang tertangguh sejak tahun 1979 itu, Koh dengan nada diplomatik memperkatakan tentang dasar negaranya berhubung undang-undang antarabangsa, kedaulatan undang-undang dan kepercayaan mereka kepada penyelesaian pertikaian secara aman.

Nadanya amat tenang dan penuh berkeyakinan. Beliau juga sempat mengalu-alukan delegasi Malaysia yang diketuai oleh Penasihat Hal Ehwal Luar kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad; Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin; dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail.

Selepas itu Koh memperkenalkan anggota pasukan Singapura yang bukan calang-calang termasuk Timbalan Perdana Menteri, Profesor S. Jayakumar; Ketua Hakim, Chan Sek Keong; Peguam Negara, Chao Hick Tin dan barisan empat peguam harapannya.

Bermula dengan nama Pulau Batu Putih – Koh mula menyerlahkan pendirian Singapura bahawa pulau yang mencetuskan kontroversi sejak 28 tahun lalu amat dikenali sebagai Pedra Branca íaitu bahasa Portugis yang menurut beliau bermaksud ‘White Rock’.

Dengan nada bersahaja, beliau menekankan bahawa nama Pulau Batu Putih hanya kedengaran baru-baru ini – hujah pertama untuk memberi gambaran pulau yang pernah menjadi tempat persinggahan nelayan di Johor itu sebenarnya amat asing bagi Malaysia.

Sebaliknya nama Pedra Branca telah digunakan sejak ratusan tahun lalu oleh pedagang-pedagang Portugis – entah apa agaknya panggilan nama pulau itu di kalangan nelayan-nelayan tempatan – tidak pula diperjelaskan dalam ucapan pembukanya.

Ejen Singapura itu kemudian menjelaskan sejarah pendudukan British di Pulau Batu Putih pada tahun 1847 yang menurut beliau dibuat secara sah di sisi undang-undang (lawfull possession). Undang-undang apa agaknya yang menjadi panduan British ketika itu juga tidak dinyatakan.

Ketika ini timbul istilah ‘terra nullius’ – iaitu merujuk kepada pulau yang tidak berpenghuni dan kehadiran British di situ untuk membina rumah api tidak melanggar sebarang undang-undang lantaran ia tidak dimiliki oleh sesiapa.

Lantaran membina rumah api dan beberapa siri tindakan termasuk pelancaran Rumah Api Horsburgh secara rasmi pada tahun 1851, British menjadi pemilik Pulau Batu Putih.

“Keseluruhan bentuk kegiatan dan tindakan rasmi yang dijalankan oleh British sepanjang tempoh ini – 1847 hingga 1851 – menjadi manifestasi yang jelas dan nyata mengenai niat untuk mendapatkan kedaulatan di Pedra Branca. Tindakan-tindakan ini dibuat secara aman dan terang-terangan, dan tidak mendapat bantahan daripada mana-mana kuasa,” hujah Koh.

Itu hujah awal Singapura bagi memberi gambaran yang jelas bahawa Pulau Batu Putih bukan milik Johor atau milik sesiapa pun. Kedaulatannya juga tidak tertakluk kepada mana-mana kuasa. Ia hanya menjadi milik British pada tahun 1847, apabila mereka datang ke situ untuk membina rumah api.

Dan hujah asas itu menjadi tumpuan pasukan Singapura sepanjang empat hari melontarkan hujah lisan di hadapan 16 hakim pada persidangan yang dipengerusikan oleh Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh.

Kesemua pakar undang-undang Singapura termasuk Prof. Alain Pallet (berbahasa Perancis) yang paling kerap membentangkan hujah-hujahnya mengaitkan sekurang- kurang empat perkara utama pada pandangan mereka yang membuktikan bahawa Pulau Batu Putih adalah Pedra Branca mereka dan bukannnya hak orang lain.

Hujah pertama ialah Johor tidak mempunyai hak milik asal Pulau Batu Putih.

Mereka mendakwa hujah Malaysia yang terkandung dalam memorial (hujah bertulis yang difailkan ke ICJ sebelum hujah lisan) bahawa Pulau Batu Putih bukan terra nullius adalah silap.

Begitu juga dengan hujah bahawa Pulau Batu Putih adalah milik Johor kerana kedudukannya yang dekat dengan negeri itu yang satu ketika dulu merupakan kuasa besar di wilayah berkenaan gagal meyakinkan mereka.

Lebih daripada itu pasukan Singapura yang turut dianggotai oleh Peguam Ian Brownlie, Rodman R. Bundy dan Loretta Malintopi berulang kali membuat kesimpulan bahawa Malaysia dalam memorialnya gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk membuktikan bahawa pulau tersebut adalah milik Johor.

Singapura juga mendakwa Malaysia gagal membuktikan Johor telah menjalankan sebarang aktiviti bagi menunjukkan kedaulatan negeri itu di Pulau Batu Putih.

Seperkara lagi, republik itu mengheret hadirin di mahkamah untuk berfikir tentang surat balasan Sultan dan Temenggung Johor pada tahun 1844 untuk membina rumah api berdekatan Romania atau pulau-pulau di sekitarnya yang langsung tidak menyebut tentang Pulau Batu Putih.

Sedangkan Malaysia dalam memorialnya menyebut tentang surat itu sebagai bukti bahawa British telah membuat permohonan untuk membina rumah api dan Sultan serta Temenggong telah memberi keizinan untuk berbuat demikian.

Malangnya surat permohonan daripada British tidak ditemui untuk dijadikan bukti apa sebenarnya situasi ketika itu menyebabkan Singapura berhujah bahawa ia adalah merujuk kepada Peak Rock dan bukannya Pulau Batu Putih.

Untuk mengukuhkan hujahnya bahawa Johor tidak pernah memiliki Pulau Batu Putih, Singapura beralih kepada perkara kedua iaitu surat yang dikeluarkan oleh Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor kira-kira 100 tahun selepas Rumah Api Horsburgh siap dibina.

Surat bertarikh 21 September 1953 itu dakwa Singapura, jelas membuktikan bahawa Johor tidak pernah mempunyai kedaulatan ke atas pulau tersebut. Surat itu juga adalah balasan kepada pertanyaan British tentang status Pulau Batu Putih dan bait-bait “the Johore Government does not claim ownership of Pedra Branca’' berkumandang berpuluh kali di Peace Palace.

Semestinya ia bertujuan memberi penekanan kepada semua pihak bahawa ayat yang jelas itu memberi maksud bahawa Pulau Batu Putih bukan milik Johor sebab itu isi kandungan surat itu berbunyi sedemikian rupa.

Seperti yang diselitkan oleh Malintopi dalam hujahnya: “Apa yang dikatakan itulah yang dimaksudkan dan apa yang dimaksudkan itulah yang dikatakan.’’

Singapura kemudian berhujah tentang perkara ketiga – pembinaan rumah api di Pulau Batu Putih bagi mengawal pelayaran di Selat Melaka adalah relevan dari sudut undang-undang untuk membuktikan bahawa British memiliki Pulau Batu Putih.

Malah mereka menyimpulkan upacara menaikkan bendera dan pengisytiharan kedaulatan oleh British di pulau tersebut sebagai lambang ia milik kuasa itu seperti yang ditekankan oleh Malaysia, bukan syarat utama.

Pasukan Singapura kemudian membicarakan perihal keempat dengan menyenaraikan pelbagai tindakan yang dilaksanakan oleh negara itu di Pulau Batu Putih bagi membuktikan bahawa wujudnya pentadbiran berkesan sebagai pemilik pulau itu.

Selain menyelenggara rumah api, Singapura menjalankan kerja-kerja menaik taraf jeti di pulau tersebut, memberi kebenaran kepada mana-mana pihak termasuk dari Malaysia untuk menjalankan penyelidikan di situ, menguatkuasakan undang-undang di perairan berkenaan serta pelbagai lagi kegiatan yang jelas menunjukkan bahawa mereka amat penting.

Sedangkan, dakwa Singapura, Malaysia tidak pernah berbuat apa-apa untuk membuktikan bahawa ia mempunyai kedaulatan ke atas pulau tersebut sehinggalah pada tahun 1979 apabila peta negara itu yang baru dikeluarkan menunjukkan Pulau Batu Putih adalah miliknya.

Dalam isu ini timbul perbandingan corak bantahan Malaysia terhadap Singapura kerana mengibarkan bendera negara itu di Pulau Pisang (Singapura mentadbir rumah api di pulau ini yang merupakan milik Malaysia).

Sedangkan Singapura telah sekian lama bertindak sedemikian di Pulau Batu Putih tetapi Malaysia tidak pernah menghiraukannya jauh sekali membantah. Dan bendera Singapura terus berkibar di situ.

Oleh kerana pusingan pertama persidangan tuntutan bertindih antara Malaysia dan Singapura ke atas Pulau Batu Putih yang berlangsung selama empat hari dimulakan oleh republik itu, maka hujah-hujah yang berkumandang di Peace Palace semestinya untuk mereka.

Malaysia menunggu gilirannya bermula Selasa depan bagi membentangkan hujah-hujah untuk menyokong dakwaan bahawa Pulau Batu Putih adalah selama-lamanya milik negara ini.

– Mingguan

0 Komentar untuk "Batu Putih atau Pedra Branca"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI