Kata Saya: Pindaan akta kanak-kanak biar berkesan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Kata Saya: Pindaan akta kanak-kanak biar berkesan

Oleh Norhayati Md Said
yatisaid@bharian.com.my

JENAYAH terhadap kanak-kanak semakin membimbangkan. Boleh dikatakan sejak beberapa bulan lalu ada saja kes jenayah seksual, selain kes jenayah lain terhadap kanak-kanak dilaporkan dan kelmarin seorang kanak-kanak berusia lima tahun dirogol. Kini polis sedang memburu seorang warga asing dipercayai terbabit kes berkenaan. Nasib baiklah seorang wanita ternampak perbuatan lelaki itu, jika tidak berterusanlah perbuatan terkutuk itu. Apalah kanak-kanak seusia itu tahu apa yang diperlakukan ke atasnya. Penganiayaan terhadap kanak-kanak nampaknya belum reda selepas apa yang berlaku terhadap Nurin Jazlin Jazimin, 8. Baru-baru ini, Preeshena Varshiny, berusia 9 tahun dipercayai dirogol dan diliwat sebelum dibunuh dan dicampak ke dalam longkang. Pada Aidilfitri lalu, niat baik seorang kanak-kanak yang mahu berhari raya di rumah jirannya turut menjadi mangsa rogol dan berikutan itu seorang lelaki didakwa di mahkamah. Ketika Perhimpunan Agung Umno 2007 yang berakhir kelmarin, Ketua Pemuda Selangor, Abdul Shukor Idrus mencadangkan subjek asas mempertahankan diri diajar kepada kanak-kanak supaya mereka mampu mempertahankan diri. Mungkin cadangan itu boleh dipertimbangkan, tetapi apalah tenaga kanak-kanak dibandingkan dengan perogol bernafsu ganas atau penjenayah lain. Mangsanya tetap juga kanak-kanak.

Pakar psikiatri berpendapat perbuatan jenayah ini dilakukan pesalah seks yang mengalami gangguan personaliti antisosial, menyebabkan mereka tidak mempunyai belas kasihan sehingga sanggup bertindak zalim. Pastinya kita tidak mahu lelaki seperti ini berkeliaran dalam masyarakat. Apa yang perlu dilakukan selain tindakan pihak berkuasa. Memang ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan kegiatan memberi kesedaran kepada kanak-kanak mengenai jenayah ini, tetapi setakat satu atau dua NGO tanpa pembabitan menyeluruh masyarakat mungkin kurang memberi kesan. Daripada membuang masa mengadakan perhimpunan haram, demonstrasi atau apapun dipanggil yang kesannya lebih mudarat, mungkin lebih baik tenaga itu digembleng untuk membasmi jenayah ini. Semalam, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah merasmikan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia peringkat kebangsaan. Syukur Alhamdulillah pada majlis itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 dijangka dibentang di Parlimen tidak lama lagi yang antara lain mewajibkan pegawai perubatan swasta, guru dan penjaga di bawah badan bukan sukarela melaporkan kes salah laku terhadap kanak-kanak. Tindakan itu sebagai usaha mencegah kejadian mengancam keselamatan kanak-kanak, terutama penderaan.

Ketika ini, akta itu hanya memperuntukkan kewajipan bagi pengasuh dan pegawai perubatan kerajaan membuat laporan penderaan terhadap kanak-kanak, termasuk penderaan fizikal, seksual, emosi, sumbang mahram dan kes buang bayi. Selepas kes Nurin Jazlin banyak cadangan dikemukakan sama ada kementerian berkenaan mahupun NGO terbabit dengan satu matlamat, membendung perbuatan jenayah kanak-kanak. Cadangan lain kementerian ialah individu yang pernah dipenjara atas kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak, diwajibkan memakai cip dan gelang khas selepas dibebaskan bagi membolehkan polis mengawasi pergerakannya. Sistem pengesan pelaku jenayah seksual itu antara elemen jaringan keselamatan bersepadu yang diperkenalkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM). Maklumat penjenayah terbabit akan dipaparkan di internet dan orang ramai serta pihak berkuasa boleh merujuk laman web berkenaan. Selain itu, dicadangkan diwujudkan sistem amaran khas yang bertindak lebih pantas menyamai Amber Alert atau Nurin Alert bagi menangani kes kehilangan kanak-kanak. Kita berharap cadangan ini dan banyak lagi syor sebelum ini dilaksanakan segera bukan hanya terus menjadi tajuk perbincangan dan 'sejuk' di atas kertas. � yatisaid@bharian.com.my

0 Komentar untuk "Kata Saya: Pindaan akta kanak-kanak biar berkesan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI