Analisis: Mesej jelas kemantapan perpaduan Umno - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Analisis: Mesej jelas kemantapan perpaduan Umno

Oleh Kadir Dikoh

KETIKA bersalam dengan sebahagian perwakilan pada akhir Perhimpunan Agung Umno petang Jumaat lalu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, tetap ceria meskipun menerima usikan tanpa henti mengenai hidungnya dan kadangkala Menteri Pelajaran itu disapa dengan usikan �hidung Turki�.

"Sampai hati, kamu orang ini," katanya mengusik kembali meskipun sepanjang persidangan itu, hidungnya kerap kali menjadi bahan usikan termasuk daripada Pemangku Pengerusi Tetap, Datuk Badruddin Amiruldin, bekas 'pembahas tetap' dari Kedah yang sentiasa menceriakan perhimpunan sejak dua tahun lalu, dengan telatah serta usikannya yang menghiburkan.

Kisah Turki itu sebenarnya bermula ketika Perhimpunan Agung Pemuda Umno Selasa lalu, apabila Hishammuddin memberitahu perwakilan bahawa beliau berketurunan Melayu-Turki.

Malah, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan penggulungannya turut mengusik Hishammuddin apabila mengungkapkan perkataan 'pisang Turki'. "Kalau tak dapat pisang tanduk, kita cari pisang Turki," kata Timbalan Presiden Umno itu, sambil menoleh ke arah Hishammuddin atau lebih popular dengan panggilan Hisham saja.

Hishammuddin sebenarnya menarik perhatian bukan saja di dalam, malah di luar dewan persidangan kerana beliau kemungkinan besar bertanding untuk satu daripada kerusi Naib Presiden pada pemilihan dalam parti akan datang.

Meskipun pemilihan itu diadakan selepas pilihan raya umum nanti, bahangnya sudah dirasai perwakilan pada perhimpunan agung kali ini dan mereka yang mengintai pelbagai jawatan dalam parti, secara senyap sudah mula berkempen, merisik sesama sendiri dan tidak kurang juga mengedarkan biodata sehingga wartawan yang membuat liputan turut menerima kad atau sekeping kertas butiran peribadi kerana disangka sebagai perwakilan.

Ketika perbahasan, perwakilan tidak menyentuh isu pemilihan dalam parti kerana mahu dilihat menumpukan perhatian kepada persiapan untuk pilihan raya umum dan mereka menyatakan sudah bersiap sedia untuk menghadapinya.

Bagaimanapun, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan penggulungannya tidak memberi sebarang bayangan mengenai tarikh pilihan raya, di sebalik perwakilan ke perhimpunan itu menunjukkan perpaduan dan kesediaan Umno untuk menghadapinya pada bila-bila masa.

"Saya masih belum mendapat ilham bila pilihan raya umum akan diadakan," kata Presiden Umno dalam ucapan selama 55 minit itu, sambil melahirkan keyakinan rakyat akan tetap memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno dalam pilihan raya umum nanti kerana dasar dilaksanakan kerajaan melambangkan hasrat rakyat keseluruhan.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ketika ditemui sebelum perhimpunan agung itu sudah awal lagi menyatakan bahawa pilihan raya umum tidak mungkin diadakan tahun ini 'kerana sudah kesuntukan masa' termasuk kesibukan umat Islam menunaikan haji ke tanah suci sepanjang Disember hingga awal Januari.

Selepas ini, Pak Lah akan menghadiri mesyuarat Asean di Singapura dan kemudian terbang ke Kampala, Uganda pada 23 November untuk menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (Chogm). Malah, dikatakan ramai perwakilan yang hadir ke perhimpunan kali ini sudah mengambil cuti, termasuk ke luar negara selepas mendapat 'bayangan' bahawa pilihan raya tidak diadakan tahun ini.

Satu perkara yang ketara pada Perhimpunan Agung Umno kali ini ialah kurangnya serangan terhadap pembangkang khususnya Pas, sedangkan pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi dan sesetengah pihak meramalkannya untuk diadakan selepas Tahun Baru Cina.

Malah, senario inilah berlaku sejak perhimpunan agung parti itu dua tahun lalu. Sebaliknya, banyak perbahasan tertumpu kepada soal pengisian agenda Melayu, soal syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan isu sosioekonomi, tetapi tiada isu ketara berkaitan rasuah, integriti dan masalah jenayah, dibangkit.

Pembahas yang mewakili Badan Perhubungan Umno negeri juga kebanyakannya 'handal belaka' yang tiada lagi muka sama saban tahun seperti sebelum ini.

Hakikat ini diakui Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) bahawa wakil pembahas dari negeri sekarang tidak lagi dipilih berdasarkan semata-mata orang itu pandai mencuit hati hadirin dengan gelak ketawa.

"Sekarang ini, kita tengok perwakilan handal belaka dengan isi perbahasan yang bernas, idea bagus, malah melakukan penyelidikan. Dulu banyak serangan dilemparkan kepada pembangkang seolah-olah itulah agenda Umno.

"Pada perhimpunan penting seperti ini, kita mesti dilihat sebagai pejuang kepentingan parti dan orang Melayu. Kalau kita asyik 'pukul' (kritik) pembangkang, orang nanti akan kata Umno tiada kerja lain," katanya sambil mengakui ahli Umno kini tidak sabar menunggu detik pilihan raya umum akan datang.

Najib ketika menggulung perbahasan berkata, perhimpunan agung menghantar mesej jelas bahawa parti itu bersiap sedia menunggu isyarat daripada Pak Lah bila pilihan raya diadakan dan bersedia untuk berdiri teguh di belakang Perdana Menteri.

Seperti kata Norza, 'mood' pada perhimpunan kali ini adalah pilihan raya dan semua orang tidak sabar menunggu isyarat daripada Abdullah untuk mengadakan pilihan raya.

Kita tidak pasti bila Pak Lah akan mendapat ilham tarikh pilihan raya dan beliau mungkin sengaja tidak memberi sebarang bayangan, untuk memerangkap semua orang terutama pembangkang, selepas menyedari Umno sendiri sudah bersiap sedia.

Namun, apa yang jelas ialah Umno kini sudah tidak berpecah dan perhimpunan agung itu sendiri boleh dianggap berjaya merapatkan perpaduan lebih jitu di kalangan ahli, terutama lebih 2,500 perwakilan mewakili 190 bahagian.

Tetapi jika diamati, mesej Pak Lah dalam ucapan dasar dan penggulungannya, jelas lebih banyak menyentuh isu berkaitan rakyat, apa yang dikehendaki rakyat, apa yang menjadi harapan rakyat dan apa peranan ahli Umno untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing.

Apabila beliau mengumumkan struktur skim subsidi akan dikaji semula, ia boleh dilihat sebagai persiapan untuk kemungkinan harga minyak tempatan naik, selepas harga komoditi itu pada peringkat antarabangsa mencecah tahap tertinggi Rabu lalu iaitu AS$98 satu tong.

Kerajaan sudah berjanji tidak menaikkan harga minyak tahun ini, tetapi kita tidak pasti apa berlaku tahun depan. Berikutan itu, usaha menstruktur semula subsidi sudah pasti meringankan beban rakyat bawahan meskipun harga minyak itu akan dinaikkan nanti bagi memastikan golongan yang benar-benar memerlukannya diberi subsidi, bukan untuk turut dinikmati golongan kaya seperti kaedah sekarang.

Isu penstrukturan subsidi dibangkitkan beberapa perwakilan pada sesi perbahasan, antaranya Khairy dan wakil Terengganu, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Desakan itu dibuat berdasarkan perbandingan antara kos untuk menampung subsidi dan peruntukan tahunan yang diberikan bagi melaksanakan pembangunan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Dalam RMK-9, kerajaan mengumumkan peruntukan RM200 bilion atau RM40 bilion setahun untuk menjayakan program lima tahun itu, sedangkan subsidi yang terpaksa disalurkan kerajaan berada pada kadar sama.

Berdasarkan faktor itu, menurut Pak Lah, jika peruntukan untuk subsidi yang dikeluarkan oleh kerajaan sekarang boleh dikurangkan, wang itu boleh digunakan untuk tujuan pembangunan negara dengan lebih menyeluruh.

Meskipun Pak Lah tidak menyentuh isu GLC yang turut disentuh perwakilan ketika perbahasan, diharapkan segala cadangan dikemukakan diambil berat oleh ketua eksekutif (CEO) GLC tanpa perlu menunggu arahan kerajaan selepas ini.

Begitupun, keseluruhannya perhimpunan agung kali ini, yang terakhir sebelum pilihan raya umum akan datang, dilihat penting bagi memperkukuhkan perpaduan parti sebagai persiapan menghadapi pilihan raya itu, selain meneruskan agenda membela bangsa Melayu untuk tempoh 50 tahun akan datang.

Malah, perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri memperlihatkan perubahan dan kematangan jelas terpancar terutama di kalangan Puteri.

Selepas ini, apabila balik ke kawasan masing-masing, pemimpin dan ahli Umno hendaklah terus bekerja bagi menggalas segala harapan pucuk pimpinan untuk memastikan kemenangan terus berpihak kepada Umno dan BN.

Kemenangan itu saja akan menjaminkan pelaksanaan agenda Melayu tidak diganggu gugat supaya hasrat Pak Lah menerusi sajaknya - Aku Mencari Damai Abadi - terus menjadi kenyataan.
0 Komentar untuk "Analisis: Mesej jelas kemantapan perpaduan Umno"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI