Menunggu pilihan raya umum - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Menunggu pilihan raya umum

Oleh: BAHAROM MAHUSIN

TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak memudahkan kerja-kerja penulis politik dan penganalisis dalam membuat tafsiran mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2007 yang berakhir kelmarin.

Dalam ucapan penggulungannya pada perhimpunan parti politik terbesar negara itu, Najib memberikan tiga rumusan beliau mengenai perhimpunan agung tersebut.

Rumusan pertama, gagasan dan inisiatif yang diperjuangkan oleh Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendapat sokongan padu ahli-ahli dan pemimpin UMNO. Rumusan kedua, UMNO mahu Agenda Melayu diteruskan. Menurut Najib, rumusan ketiga ialah UMNO memperlihatkan parti itu kini berada dalam kesiapsiagaan untuk menghadapi pilihan raya umum.

Perhimpunan itu juga memberikan beberapa perspektif baru mengenai UMNO dan gaya kepimpinan Abdullah.

Para perwakilan mendengar sendiri bagaimana Abdullah dalam nada lembut tetapi tegas mempertahankan UMNO dan orang Melayu tetapi pada masa yang sama mahu ahli-ahli memahami bahawa walaupun mereka menganggotai parti yang paling berkuasa di negara ini tetapi mereka perlu realistik dalam senario politik pelbagai kaum.

Abdullah ingin melihat ahli-ahli UMNO secara berani mempertahan dan mengukuhkan hak Melayu. Namun beliau mengingatkan mereka supaya menjalankan tanggungjawab itu dengan kesedaran bahawa UMNO hanya dapat kekal berkuasa dan berpengaruh jika tugas itu dilaksanakan dengan mengekalkan kestabilan, hubungan akrab dan setiakawan dengan parti-parti lain terutama dengan MCA, parti politik kaum Cina, dan MIC, parti politik terbesar kaum India.

Percaturan dan tradisi politik Malaysia yang dirintis oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambanthan tetap kekal dalam ingatan Abdullah walaupun selepas 50 tahun merdeka. Dan beliau tahu arah hala tuju politik negara – percaturan dan tradisi itu perlu terus menjadi corak politik pada masa depan.

Dalam ucapan dasarnya pada perhimpunan itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Perdana Menteri menghuraikan apa yang dicapai negara pada masa lepas dan harapannya pada masa depan.

Dalam 50 tahun akan datang apabila Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-100 pada tahun 2057, beliau mengimpikan “kita sama-sama membina sebuah negara yang memakmurkan setiap warga, tanpa mengira kaum mahupun kepercayaan.”

Abdullah memperlihatkan sebagai Presiden UMNO beliau adalah pemimpin nasional yang komited untuk melindungi nasib orang Melayu, percaya kepada status quo dalam isu kontrak sosial tetapi memandangkan beliau juga adalah Perdana Menteri kepada semua rakyat pelbagai kaum dan agama, beliau perlu menjadi pemimpin yang adil.

Para pemimpin UMNO menyedari kedudukan Abdullah itu.

Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, Ahli Parlimen Larut yang juga Ketua UMNO Bahagian Larut memberitahu pemberita: “Kita yang berada di bawah ini memang senanglah meminta macam-macam, tetapi yang hendak menghadapi dan menyelesaikan apa yang kita tuntut itu ialah Pak Lah dan pemimpin-pemimpin yang berada di atas. Mereka kena mengambil kira pertimbangan pelbagai kaum.”

Datuk Suhaili Abdul Rahman, Ketua UMNO Bahagian Labuan mengetahui sendiri betapa halusnya seseorang perlu berpolitik dalam masyarakat berbilang kaum.

Beberapa bulan lalu parti-parti pembangkang cuba menjatuhkan imej UMNO dengan mendakwa sesetengah pemimpin UMNO di Labuan mempunyai hubungan dingin dengan pemimpin parti komponen BN seperti MCA.

Bagi menyanggah dakwaan itu, pada Hari Raya Aidilfitri lalu, Suhaili menjemput pemimpin-pemimpin MCA, MIC dan PBS ke rumah terbukanya dan kesempatan itu digunakan oleh mereka untuk memperbaharui kerjasama politik dengan cara yang dicita-citakan oleh Perdana Menteri.

Mengulas mengenai kedudukan Abdullah sebagai pemimpin nasional yang ditegaskan pada Perhimpunan Agung UMNO, Suhaili berkata: “Wakil-wakil rakyat UMNO bersetuju dengan pendirian Perdana Menteri dan sedar bahawa dalam UMNO mereka merupakan pemimpin parti tetapi dalam konteks politik yang lebih luas kita semua adalah pemimpin kepada semua kaum.”

Terdapat banyak tuntutan dikemukakan pada Perhimpunan Agung UMNO itu yang perlu diberi perhatian.

Salah satunya ialah desakan pemimpin-pemimpin Wanita UMNO supaya lebih ramai wanita diberi peluang bertanding dalam pilihan raya umum. Wanita UMNO juga menuntut pemimpin-pemimpin wanita diberi peluang yang lebih luas untuk menduduki jawatan-jawatan penting dalam parti, kerajaan dan lain-lain institusi di negara ini.

Berdasarkan fakta dan hujah yang diberikan semasa Perhimpunan Agung itu, wujud kesedaran politik yang tinggi di kalangan para perwakilan Wanita dan Puteri tentang keupayaan dan potensi mereka. Mereka menggesa senarai calon UMNO dalam pilihan raya umum akan datang mencerminkan pengiktirafan gender.

Mereka menuntut kira-kira 30 peratus calon UMNO dalam pilihan raya itu terdiri daripada calon wanita. Adakah harapan itu akan tercapai, kita hanya dapat mengetahuinya beberapa minggu atau bulan lagi apabila Abdullah membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum ke-12.

Sejak berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO 2006, pergerakan Wanita, Puteri dan Pemuda telah menjalankan kerja-kerja menghadapi pilihan raya umum. Mereka sudah bergerak menemui rakyat. Mereka telah tahu sebahagian besar profil pengundi di negara ini seramai 10.3 juta orang.

Selepas setahun menjalankan kerja-kerja itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz memberitahu Perhimpunan Agung Tahunan Wanita UMNO Selasa lalu bahawa Wanita UMNO kini berada dalam gear penuh untuk menghadapi pilihan raya.

Sungguhpun dalam ucapan dasar Presiden UMNO Rabu lalu Abdullah tidak sepatah pun menyentuh mengenai pilihan raya yang diperkatakan secara terbuka oleh Rafidah, ahli-ahli UMNO dapat merasakan bahawa pilihan raya umum sudah terlalu hampir.

Hanya kemudian semasa menggulung perbahasan pada hari Jumaat, baru Perdana Menteri menyatakan pandangannya mengenai pilihan raya. “Kita tidak pernah takut menghadapi pilihan raya. Kita bersedia menghadapi rakyat dengan dada yang terbuka,” katanya.

Seorang pegawai khas menteri UMNO memberitahu pemberita selepas ucapan penggulungan Abdullah itu bahawa cutinya telah dibekukan. Seorang pegawai kepada seorang Menteri Besar pula berkata, bosnya belum mengeluarkan apa-apa arahan kepadanya berhubung cuti tetapi meminta dia mula bekerja ke arah pilihan raya.

Ertinya, jentera UMNO telah mula memfokuskan kepada pilihan raya. Sejauh mana giatnya usaha itu bergantung kepada keprihatinan seseorang pemimpin tetapi pada umumnya mereka telah pun menyusur dengan paluan gendang perang.

Kini telah tiga tahun lapan bulan berakhir pilihan raya umum ke-11 pada Mac 2004 yang menyaksikan UMNO menerajui BN untuk menang besar dengan parti orang Melayu itu memenangi 109 daripada 198 kerusi Dewan Rakyat yang dimenangi oleh BN. Pada 2004, Dewan Rakyat mempunyai 219 kerusi.

Untuk pilihan raya umum-12 yang akan mempertandingkan 222 kerusi Parlimen, banyak pemimpin dalam UMNO tidak melihat pilihan raya itu akan diadakan selepas Mac 2008. Pilihan raya umum, menurut mereka, akan diadakan sebelum Mac tahun depan.

Bagaimanapun, mereka hanya dapat meramalkannya. Bila tarikh pilihan raya umum hanya Abdullah yang tahu. Perdana Menteri memberitahu Perhimpunan Agung UMNO: “Saya belum dapat ilham lagi.” Apabila kata-kata itu dilafazkan pada permulaan ucapan penggulungannya pada pukul 5.40 petang, banyak perwakilan terdiam.

Namun, mereka tidak kecewa dengan kenyataan Abdullah itu dan tidak mentafsirkan maknanya secara literal. Ilham pilihan raya itu, mereka tahu, boleh datang dalam seminggu lagi ataupun sebulan akan datang. Tugas mereka bukanlah menunggu tarikh pilihan raya dengan tangan kosong.

Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, Ketua UMNO Bahagian Lumut, pula melihat banyak isu telah diperjelaskan oleh Presiden UMNO pada perhimpunan itu sama ada dalam ucapan dasar atau penggulungannya. Isu-isu yang lebih sensitif, katanya, diperkatakan semasa majlis Taklimat Presiden.

Dr. Zambry berpendapat perhimpunan itu sebagai amat berjaya walaupun ucapan-ucapan perwakilan yang membahaskan usul-usul pada perhimpunan itu tidak berapi-api seperti tahun sebelumnya. “Apa yang saya nampak, Perhimpunan Agung 2007 memperlihatkan UMNO yang lebih matang, para pemimpinnya memahami sensitiviti dan sedang disediakan oleh Presiden parti untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.

Dalam Perhimpunan Agung itu, Perdana Menteri menggariskan isu-isu yang akan digunakan oleh UMNO dalam pilihan raya umum dimulai dengan pencapaian UMNO dan negara di bawah BN. UMNO muncul selepas perhimpunan itu sebagai parti yang mempunyai rekod pencapaian cemerlang dan sedang melaksanakan misi negara bangsa yang lebih hebat berbanding sebelum ini.

“Perhimpunan itu adalah titik peralihan kepada perjuangan orang Melayu dalam fasa kedua kemerdekaan negara. Kita sama-sama berfikir untuk menyediakan model pembangunan yang akan membawa mereka menempuh era yang lebih mencabar,” kata Datuk Rosli Mat Hassan, Ketua UMNO Bahagian Dungun kepada Mingguan Malaysia.

Terdapat berpuluh-puluh idea baru dikemukakan untuk membaiki kedudukan orang Melayu dalam bidang ekonomi, pendidikan, agama dan politik.

Komitmen kepada perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu yang merupakan isu sensitif beberapa tahun lalu diperkatakan semula. Abdullah tidak melarangnya.

Abdullah menggunakan Perhimpunan Agung itu untuk mengembalikan jati diri Melayu dalam UMNO dan memimpin parti itu memulakan langkah menempuh era 50 tahun kedua kemerdekaan negara. Ahli-ahli UMNO kini bercakap mengenai Misi 2057 dan pembangunan koridor, bukan lagi setakat Wawasan 2020, RMK-9, Misi Nasional dan Islam Hadhari.

Lebih 3.3 juta ahli UMNO sudah pasti akan mendekati rakyat menjelang pilihan raya dengan Misi 2057 yang digariskan oleh Abdullah dan komitmen Mengangkasakan Tamadun Bangsa yang dianjurkan oleh Najib. UMNO menjanjikan rakyat harapan yang lebih besar dan lebih hebat di atas keselesaan hidup yang telah diberikan selama ini.

Masalah-masalah ekonomi ekoran daripada kenaikan kos sara hidup dan harga minyak di pasaran dunia yang kini mencecah hampir AS$$100 dolar setong dihadapi UMNO dengan pendirian yang seimbang antara kepentingan kerajaan dan nasib rakyat.

Jika penyesuaian perlu dilakukan, mereka mencadangkan kerajaan merombak skim subsidi yang dikatakan berjumlah RM35 bilion setahun tetapi formulanya perlu dipastikan tidak menjejaskan rakyat miskin.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ketika membahaskan usul ekonomi dan pendidikan membayangkan kalau subsidi sebanyak itu dapat dihapuskan, dalam setahun kerajaan boleh menggunakan wang untuk subsidi bagi membina dua buah lagi Putrajaya.

Najib, Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri, pula dalam penggulungannya berkata, dari segi teori jika kerajaan tidak memperuntukkan RM35 bilion untuk subsidi, wang sebanyak itu boleh digunakan untuk projek-projek pembangunan yang mampu menggerakkan ekonomi Malaysia mencapai pertumbuhan kira-kira 10 peratus setahun.

Bagaimanapun, wakil UMNO Terengganu, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang berucap mencadangkan usul ucapan dasar Presiden pada perhimpunan itu mengingatkan, sekiranya keseluruhan subsidi itu ditarik balik sepenuhnya oleh kerajaan, ia umpama perbuatan pengebom berani mati. “Kita akan jadi seperti pengebom berani mati... kita akan bunuh diri jika kita tarik subsidi itu serta-merta,” katanya.

Menurut Syarifah Adawiyah Syed Ismail, Ketua Puteri UMNO Bahagian Alor Star, selepas berada lima hari di PWTC mendengar mesej-mesej politik pemimpin akar umbi dan amanat pucuk pimpinan UMNO, beliau dapat merasakan pilihan raya umum ke-12 terlalu hampir.

Beliau mengakui jentera UMNO telah lama bergerak dan di Kedah pemantauannya dilakukan secara berkala dan berterusan oleh pemimpin-pemimpin atasan UMNO.

“Kami keluar dari Dewan Merdeka pada Jumaat lalu dengan isu tarikh pilihan raya dalam minda. Dari segi jentera pilihan raya, kami bersedia menghadapi pilihan raya walaupun ia diadakan esok,” katanya.

Di Kuala Lumpur pula, bilik-bilik gerakan peti undi UMNO telah mula dibuka di beberapa kawasan Parlimen sehari selepas Perhimpunan Agung UMNO 2007 berakhir. Amanat Abdullah telah sampai kepada pekerja-pekerja parti di peringkat akar umbi.

Dalam diam-diam mereka bekerja. Dalam diam-diam mereka menjayakan harapan Perdana Menteri.

0 Komentar untuk "Menunggu pilihan raya umum"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI